By: Mymuslimin.com
Dari Kuala Lumpur, kami turun ke Nilai, Negeri Sembilan semata-mata untuk menikmati hidangan masak lemak itik salai di Restoran Itik Salai Masthar. Kelazatan itik salai meresap mesra ke dalam kuah lemak cili padi dan daripada suapan pertama sudah memberikan ROI yang tinggi kepada perjalanan kami ke restoran ini.

Restoran Itik Salai Masthar di Nilai ini menawarkan nasi campur Melayu dengan lauk-lauk popular Negeri Sembilan. Berjenis hidangan masak lemak cili padi tersedia untuk dipilih para pelanggan.
Jangan disangka kuahnya sama kuning, rasanya serupa belaka. Rasa masak lemak itik salai di sini tidak serupa dengan rasa masak lemak siput sedut, masak lemak daging lembu atau masak lemak telur itik. Yang pasti, semuanya dimasak sangat sedap, tidak terlalu pedas, dihidang dalam portion yang baik dan ditawar dengan harga yang berpatutan.

Selain masak lemak cili padi, ayam goreng di Itik Salai Mashtar ini memang menarik! Digoreng keemasan, ayam goreng di sini rangup dan panas, bisa menambat mata dan hati siapa sahaja yang melihatnya. Harga ayam goreng kampung ini sekitar RM10-15 sekeping.
Bawal goreng dan tempe goreng juga mengancam kerana semuanya garing dan panas-panas belaka. Rendang, sup ayam, kerabu, ulam-ulaman juga tersedia sebagai penambah rasa. Di meja hadapan disusun hidangan ikan bakar (kembung, keli dan cencaru) bersambal yang boleh dipilih mengikut kegemaran masing-masing.

Sistem di Itik Mashtar ini mudah. Ambil dulang, ambil nasi, pilih lauk yang telah sedia dihidang di dalam mangkuk-mangkuk kecil, bayar dahulu dan makan!
Restoran ini dibina luas, banyak tempat parking, berkonsep terbuka serta mempunyai tandas dan surau untuk kemudahan pengunjung.
Di bahagian depan restoran juga tersedia gerai-gerai kecil menjual goreng-gorengan seperti pisang goreng dan coconut shake. Jadi selepas makan, bolehlah jenguk untuk manisan.

Restoran Itik Salai Masthar @ Nilai
Lot 655, 3265, 71800 Nilai, Negeri Sembilan
Waktu Operasi: 11 pagi – 5 petang (Isnin – Ahad), Jumaat Tutup
Leave a Reply