Jika anda ingin bersarapan suasana kampung dengan hidangan kampung di kawasan bandar, singgahlah di Pondok Santapan Larkin di Johor Bahru. Bertempat di Jalan Puyuh, Larkin Jaya, restoran ini menyediakan menu sarapan Melayu kampung yang lazat dan beraneka, rambang mata untuk membuat pilihan!

Seandainya anda tidak kenal lempeng, anda ialah seorang penduduk bandar tegar! Lempeng ialah penkek Melayu yang menggunakan bahan asas tepung dan garam sahaja, kadang-kadang dicampur kelapa parut. Sememangnya sajian marhaen, lempeng sering disediakan ibu-ibu di kampung supaya anak dapat kenyang bersarapan dengan kos seminima mungkin dan menggunakan kuah atau sambal lebihan semalam sebagai cecahan. Ada juga yang makan lempeng bersama gula jika kuah semalam pun tidak ada.
Di Pondok Santapan Larkin, lempeng (RM2.50) dipadankan dengan kuah kari daging dan sambal yang mantap! Tak pernah dan tidak pasti cara makan lempeng? Koyak, cecah, makan; serupa cara makan roti canai juga.

Pengunjung juga boleh mencuba Roti Arab (RM3.00) di sini. Persis puri, tetapi ianya dinamakan roti arab dan dimakan bersama kari ayam dan sambal. Roti Arab ini lompong di tengah, dan setiap tempahan diberi 2 keping roti.
Bagi mereka yang ingin sarapan berat, kami mencadangkan Nasi Ambeng kerana bukan sahaja ada nasi berlauk, malah mi juga dicampur sama. Memang berat bila dipegang, apatah lagi apabila dimakan sebagai sarapan.
Menu sarapan Johor lain juga tersedia seperti Laksa Johor, Lontong Kering, Lontong Basah, Mi Rebus, Mi Kari, Soto dan sebagainya. Apa yang menarik di sini ialah hidangan sampingan lain yang turut menggamit selera seperti paru goreng garing, tempe goreng garing, cucur, taufu fa, bubur sumsum, serta kuih muih beraneka jenis.




Tak cukup makan di restoran, pengunjung boleh membeli-belah biskut raya, kerepek-kerepek, bawang goreng garing dan sebagainya untuk dibawa pulang.
Kawasan Pondok Larkin Jaya ini luas dan turnover pelanggan juga agak tinggi, jadi tiada masalah untuk mendapat meja.
Kalau anda berada di Johor Bahru, abaikan sarapan percuma di hotel, marilah cuba makanan Johor di sini.
Pondok Santapan Larkin
No. 8, Jalan Puyuh Larkin Jaya, Larkin, 80350, Johor
Isnin-Ahad (7 pagi – 12 tengahari)
Jumaat (Tutup)
Leave a Reply