By: mymuslimin.com
Selamat datang 2023. Tahniah kepada mereka yang telah menamatkan zaman bujang dan bagi mereka yang masih mencari pasangan hidup, teruskan usaha dan jangan lupa mengamalkan doa ini dari ayat 74 Surah Al-Furqan:
وَالَّذِيْنَ يَقُوْلُوْنَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ اَزْوَاجِنَا وَذُرِّيّٰتِنَا قُرَّةَ اَعْيُنٍ وَّاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ اِمَامًا
(Surah Al-Furqan 25: 74)
“Dan orang-orang yang berkata, “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.””
Bersangka baiklah kita dengan Allah SWT. Semoga yang masih mencari dapat dipertemukan dengan jodoh yang terbaik untuk dunia dan akhirat, insyaAllah.
Kali ini mymuslimin ingin membawakan 7 trend perhubungan popular pada tahun 2022. Bukanlah bertujuan untuk menggalakkan siapa-siapa untuk mencuba tetapi kita jadikan ini sebagai peringatan supaya kita hati-hati dalam menjalin perhubungan dan menjaga batas-batas kita sebagai seorang Islam dalam kita menjalani kehidupan dan perhubungan seharian.
1 – Cinta Ikut Situasi
Terma popular yang diguna orang muda ialah situationship dimana individu berpasangan tetapi tidak komited di dalam mana-mana perhubungan tetapi bergerak atas dasar ‘bila perlu’. Lantas, bila perlu kita berdua, kita akan berdua tetapi kita tidak berjanji akan mengikat pertalian perhubungan.
Rasulullah SAW pernah bersabda:
ثَلاَثَةٌ حَقٌّ عَلَى اللَّهِ عَوْنُهُمُ الْمُجَاهِدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمُكَاتَبُ الَّذِي يُرِيدُ الأَدَاءَ وَالنَّاكِحُ الَّذِي يُرِيدُ الْعَفَاف
Maksudnya: Tiga golongan yang Allah SWT menetapkan atas diri-Nya untuk membantu mereka: orang yang berjihad pada jalan Allah, hamba yang mukatab yang ingin membayar harga tebusannya dan orang yang berkahwin dengan sebab mahu menjaga kehormatan dirinya”
(HR al-Tirmidhi (1655), al-Nasa’I (3218))
Baginda bersabda lagi:
إِذَا تَزَوَّجَ الْعَبْدُ فَقَدِ اسْتَكْمَلَ نِصْفَ دِينِهِ؛ فَلْيَتَّقِ اللهَ فِي النِّصْفِ الْبَاقِي
Maksudnya: Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah berusaha menyempurnakan sebahagian agamanya, oleh itu hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada sebahagian lagi yang berbaki.
(HR al-Baihaqi (5486), al-Tabarani dalam Mu’jam al-Awsat (7647))
Elakkan daripada membina perhubungan tanpa ada niat untuk bernikah. Baca artikel tentang Tanggungjawab Sebuah Perkahwinan sebagai nasihat dan bimbingan kita.
2 – Aktif Mencari
Trend mencari pasangan menggunakan aplikasi semakin menular di mana individu boleh ‘memilih’ pasangan dengan hanya swipe di aplikasi. Kalau aku like aku like, kalau aku tak, aku swipe katanya. Sebagai seorang Islam, bolehkan kita menggunakan cara ini? Dapatkan pandangan mufti tentang Hukum Menggunakan Page Mencari Jodoh ini sebelum kita membuat keputusan.
3 – Ghosting
Ini ialah keadaan di mana seseorang sudah setuju untuk berjumpa dan kemudiannya menghilang diri, meninggalkan teman temu janji termangu sendiri. Jangan begitu. Bercakap benar dan jujur itu adalah lebih baik. Cukup sekadar satu mesej dalam WhatsApp untuk anda tidak menganiayai orang lain, dan melukakan hati mereka.
4 – Roaching
Roaching merujuk kepada situasi di mana kekasih anda tidak memberitahu bahawa dia juga ada hubungan romantik dengan beberapa orang lain. Elakkan diri daripada terjebak dengan lipas sebegini. Jika sudah tahu, lepaskanlah dia, kerana itu adalah lebih baik untuk masa depan.
5 – Cinta Serbuk Roti
Bahasa Inggerisnya ‘bread-crumbing’, ini ialah trend di mana seseorang menunjukkan minat untuk menjalinkan hubungan dan memberi harapan yang menggunung tetapi akhirnya merasakan anda tidak cukup untuk dijadikan teman seumur hidup. Pendek kata, you didn’t make the cut.
Dalam proses mencari pasangan, tentu sekali ada yang berjaya ke gerbang perkahwinan dan ada yang terkandas. Namun begitu, sebagai orang Islam, kita perlu tahu batas-batas pergaulan. Adalah lebih baik kita mendapatkan nasihat keluarga atau mereka yang lebih tua, untuk menentukan jodoh yang baik dan berkat untuk kita. Jangan mudah-mudah mempermainkan perasaan orang lain.
6 – Haunting
Trend Haunting pula merujuk kepada keadaan di mana seseorang tidak mudah melepaskan bekas kekasih dan terus menerus mengintai media sosial mereka, menonton stories mereka, membaca komen-komen, dan sentiasa ingin berada di dalam hidup bekas kekasih mereka. Cara paling mudah dan berkesan ialah block! Tiada kompromi, tidak perlu kasihan kerana ini membantu untuk masing-masing move on.
7 – Bom Cinta
Ini jenis mulut manis yang pandai membuatkan hati wanita cair. Belum pun apa-apa, masing-masing sudah melafazkan I cinta you til jannah. Caranya ialah, jika sudah berkenan, hantarlah rombongan untuk meminang. Tetapi, sebelum itu dapatkan ilmu tentang Apa itu Tunang
Trend datang dan pergi, sebagai orang Islam, kekalkanlah cara Islam yang berlandaskan Al-Quran dan hadis dalam kita mencari pasangan hidup dan carilah pasangan yang akan membawa ketenangan dalam perhubungan dan perkahwinan.
Leave a Reply