ASMAUL HUSNA – AR-RAQIB (Yang Maha Mengawasi) 

Asmaul Husna yang ke-44 ialah Ar-Raqib yang bermaksud Tuhan Yang Menjaga atau Tuhan Yang Mengawasi. Selain mengurniakan rezeki dan nikmat yang tidak terhingga, Allah SWT juga sentiasa mengawasi, mengintai dan memerhatikan gerak-geri hamba-Nya.

Setiap orang yang beriman mestilah sentiasa sedar bahawa sesaat pun dia tidak terlepas daripada pemerhatian dan pengawasan Allah SWT. Ketaatan dan keingkaran manusia sama ada ketika berseorangan atau ketika di khalayak ramai, semuanya tidak terlepas daripada pemerhatian Allah SWT yang bersifat Ar-Raqib.

Setiap manusia yang beriman kepada Tuhan yang bersifat Ar-Raqib hendaklah mengambil iktibar daripada sifat Tuhan yang sentiasa memerhati. Mereka juga sewajarnya meneliti dan mengintai keadaan diri, adakah terdapat sebarang perbezaan peribadi dan akhlak sepuluh tahun dahulu dengan keadaan sekarang dari segi mutu ketaatannya kepada Allah SWT. 

Masihkah lidahnya bercakap perkara yang sia-sia? Anggota-anggota yang lain turut berubahkah ke arah melakukan kebajikan dan meninggalkan yang mungkar? Hati dan sanubarinya berubah ataupun tidak daripada sifat mazmumah kepada sifat mahmudah? Demikianlah sepatutnya pertanyaan dan muhasabah terhadap diri sendiri sebagai bukti bahawa dia benar-benar beriman kepada Tuhan yang bersifat Ar-Raqib itu.

Selain memerhati ke arah diri sendiri, mereka juga hendaklah sentiasa merasakan bahawa dirinya berada dalam pemerhatian Allah SWT. Justeru itu jangan sampai Allah SWT melihat berlakunya kemungkaran dalam diri mereka. Waspadalah terhadap tingkah laku sendiri. 

Jangan bertembung dengan pemerhatian Tuhan ketika berada dalam kemungkaran. Sebagaimana seseorang itu takut gambarnya tersiar di dalam akhbar ketika mereka ditangkap khalwat. Cara menghindarinya ialah dengan terus mengelakkan diri daripada berada di tempat maksiat.

Kehebatan Pengawasan Allah SWT 

Dikisahkan pada suatu hari, Umar bin al-Khattab bertemu seorang pemuda yang bekerja sebagai penggembala kambing. Melihat pemuda tersebut, Umar cuba mahu menguji sejauh mana kejujuran pemuda tersebut. 

“Wahai anak muda, aku ingin membeli seekor kambing yang kamu ternak,” Umar menyampaikan hajatnya.

“Kambing-kambing ini bukan milikku. Ia adalah milik tuanku,” jawab pemuda itu telus.

“Aku sudah tahu bahawa semua kambing-kambing ini adalah kepunyaan tuanmu. Pun begitu, apa salahnya kalau kamu jualkan salah seekor dari semua kambing- kambing itu, apabila tuanmu bertanya, jawablah kepadanya bahawa kambing itu telah dimakan serigala,” Umar sekadar memprovokasi.

Penggembala itu merenung wajah Saidina Umar al- Khattab. Berkerut dahinya kehairanan apabila mendengar butir-butir kata Umar. Penggembala itu merasa aneh terhadap sikap Umar sehingga beliau berkata demikian. Padahal dia cukup mengenali siapa Umar. Baginya, tidak mungkin kata-kata begitu diucapkan oleh Umar. Dek kerana terkejut, terhambur dari mulut pemuda itu, “Allahu Akbar! Jikalau begitu, di manakah Allah?”

Mendengar kata-kata yang diungkap oleh pemuda itu, Umar tersentap. Tanpa disedari air matanya mengalir dan terus keluar dari mulutnya kalimah “Di manakah Allah SWT?” berkali-kali.

“Benar, di manakah Allah SWT?” Itulah ucapan Umar sebelum dia berpisah dengan pemuda tersebut. Umar terharu melihat kejujuran penggembala tersebut.

Biarpun dia boleh berbuat seperti yang Umar cadangkan tanpa pengetahuan tuannya, tetapi ternyata penggembala itu lebih takut kepada Allah SWT. Penggembala itu menginsafi biarpun tuannya tidak mengetahui, tetapi Allah SWT Maha Mengetahui. Andai diturutkan cadangan tersebut, dia boleh terlepas daripada hukuman tuannya, tetapi pemuda itu sedar hukuman Allah SWT mengatasi hukuman manusia.

Malam itu, Umar bin al-Khattab RA agak susah untuk melelapkan matanya disebabkan kebimbangan dengan keadaan rakyatnya. Benaknya sentiasa ditujah dengan pelbagai persoalan mengenai keadaan rakyat yang dinaunginya. Apakah wujud di kalangan mereka, orang yang kelaparan, kesusahan, menghadapi sebarang masalah hidup dan seumpamanya.

Apabila keadaan ini berlaku, Umar bin al-Khattab akan berjalan waktu malam untuk meninjau keadaan rakyatnya.

Tiba di sebuah rumah, Umar bin al-Khattab terdengar suatu perbualan seorang ibu tunggal dengan anak gadisnya.

“Anakku, campurkan sedikit air ke dalam susu,” kata ibu tersebut.

Mendengarkan arahan ibu tersebut, Umar sudah faham bahawa ibu tunggal adalah penjual susu yang ingin melakukan penipuan dan menambah air ke dalam susu. Supaya susu menjadi banyak.

“Wahai ibu, tidakkah engkau tahu bahawa Amir al-Mukminin telah mengeluarkan satu arahan rasmi yang melarang kita mencampurkan air ke dalam susu?” Balas anak gadisnya itu.

Jawapan yang diberikan oleh anak gadis itu menarik minat Umar untuk terus mengikuti perbualan dua beranak tersebut. Umar tidak menyangka, bahawa anak gadis itu akan menjawab sedemikian rupa.

“Umar bukan tahu. Dia tidak melihat kalau kita campurkan air ke dalam susu ini,” jawab ibu itu meremehkan si anak.

“Benar ibu. Walaupun Umar tidak melihat kita, tetapi Tuhan kepada Umar itu Maha Melihat apa yang kita lakukan,” jawab anak gadisnya ringkas, tetapi mengandungi hikmat terkesan kepada hati sesiapa yang mendengarnya.

Umar amat tersentuh dengan jawapan gadis itu, menyebabkan Umar terus pulang.

Apabila selesai menunaikan solat subuh, Umar bin al-Khattab memanggil semua anak-anak lelakinya dan berkata, “Wahai anak-anakku, apakah ada di antara kalian yang mahu berkahwin?”

Semua anak-anak Umar tidak bersuara. Mereka diam seribu bahasa. Mungkin kerana malu.

“Di perbatasan negeri, terdapat sebuah rumah yang dalamnya ada seorang ibu penjual susu tinggal bersama anak gadisnya. Anak gadisnya ternyata seorang perempuan yang solehah. Sesiapa dari kalangan kalian yang mahu menikahinya, pergilah meminangnya. Demi Allah, anak gadis itu tidak boleh keluar dari keluarga Umar. Jika seorang pun kalian tidak mahu menikahinya, Umar sendiri akan menikahi anak gadis itu,” jawab Umar tegas.

Anak-anak Umar itu terdiam, Umar itu terdiam, dan saling berpandangan sesama mereka. Melihat ketegasan bapa mereka sedemikian, mereka memahami bahawa anak gadis tersebut pasti seorang anak gadis yang sangat bertakwa.

‘Asim yang merupakan salah seorang daripada anak lelaki Umar telah bangun dan berkata, “Wahai ayahku, aku bersedia untuk menikahi anak gadis tersebut.”

Berkahwinlah anak gadis penjual susu dengan anak khalifah yang agung di zaman itu. Hasil perkahwinan mereka, dikurniakan anak yang bernama Layla. Kemudian, Layla berkahwin dengan seorang lelaki yang bernama Abdul Aziz. Perkahwinan di antara Layla dan Abdul Aziz telah dikurniakan seorang tokoh politik Islam yang terkenal dengan kewarakan dan ketakwaannya kepada Allah, iaitu Umar bin Abdul Aziz.

Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: