Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya. Semoga bersama ketakwaan kita sentiasa mendapat rahmat dan keampunan daripada Allah SWT.
Menelusuri hari-hari awal memasuki gerbang tahun baru 2023 yang sedang kita lalui, marilah kita hayati khutbah Jumaat yang bertajuk: “Akidah Benteng Kekuatan Ummah”.
Sebagai peringatan kita bersama, istiqamahlah melakukan amal ibadah dan amalan ketaatan, imarahkan rumah-rumah Allah melalui solat fardu secara berjemaah, beriktikaf dan mengikuti kuliah-kuliah pengajian.
Di samping itu, didiklah ahli keluarga khususnya anak-anak untuk mendirikan solat dan membaca al-Quran. Di samping itu, laksanakanlah amar makruf dan nahi mungkar dan suburkan hubungan persaudaraan sesama kita. Teruskan bermunajat kepada Allah SWT dan bertaubat atas segala dosa, pohonlah doa agar kita dikurniakan petunjuk untuk memandu kehidupan yang diberkati dan dirahmati oleh-Nya.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kitaran masa dan kehadiran tahun baru, membawa erti bahawa usia kita semakin hampir ke noktah akhirnya. Semakin meningkat usia kita pula, juga memberi maksud peluang untuk kita memperbaiki diri, kehidupan dan amal ibadah kita semakin sempit dan tidak boleh disia-siakan. Sama ada kita sedar atau tidak, perubahan ke satu tahap yang lebih baik adalah suatu kemestian hidup yang perlu dilakukan bermula dengan pemantapan akidah sebagai jaminan kepada kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.
Allah SWT telah mengingatkan kita tentang pentingnya merubah sikap dengan berpandukan pedoman syariat demi meraih hidayah di sepanjang kehidupan.
Firman Allah SWT di dalam Surah al-Kahfi ayat 57 yang dibaca tadi bermaksud:
“Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu dia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya, sesungguhnya (disebabkan itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya.”
(Surah Al-Kahfi 18:57)
Dalam kita menyusun langkah di awal tahun baru ini, kita mestilah mengatur strategi menuju ke arah yang lebih baik dan positif bermula daripada diri sendiri, keluarga, organisasi dan masyarakat. Ianya menuntut kita untuk lebih bersedia dalam aspek rohani, jasmani dan material. Nilaikan kembali kelemahan dan kekurangan diri seperti sikap malas, pentingkan diri sendiri, bersangka buruk dan lain-lain. Berazamlah untuk berubah menjadi insan yang lebih baik, rajin berusaha, mengambil berat terhadap orang lain, bersatu padu dan saling mengukuhkan untuk memacu kecemerlangan diri, keluarga, organisasi, masyarakat dan negara.
Marilah juga kita berazam untuk menjadi seorang bapa dan ketua keluarga yang lebih bertanggungjawab dengan memastikan keperluan nafkah isteri dan anak-anak dapat ditunaikan dengan sebaik-baiknya, memenuhi keperluan rohani mereka dengan didikan Islam yang sebenar, membina pegangan akidah yang mantap, menerapkan ilmu pengetahuan dan mengamalkan setiap ajaran Islam.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Apa jua perkara yang hendak kita lakukan dan usahakan, aspek pemantapan akidah mestilah menjadi keutamaan. Ia ialah asas utama yang mesti disemai ke dalam jiwa lebih-lebih lagi terhadap anak-anak ramaja.
Sebagai ibu bapa, kita mestilah memainkan peranan menyempurnakan tanggungjawab besar ini. Memupuk akidah yang mantap ertinya menanamkan keyakinan terhadap keesaan Allah SWT sebagai Tuhan yang layak disembah dan yang memiliki kekuasaan dalam menentukan apa juga takdir ke atas semua makhluk-Nya.
Akidah yang mantap akan mendorong kita melakukan kebaikan dan menghindarkan diri daripada melakukan perbuatan syirik. Ia juga membantu kita untuk membina kekuatan rohani dan jasmani dalam menghadapi apa jua cabaran dan dugaan kehidupan. Justeru, usaha-usaha memantapkan akidah berpandukan Ahli Sunnah Wal Jamaah perlu dipergiatkan melalui beberapa tindakan, iaitu:
Pertama: Kita perlu memantapkan penghayatan iman melalui pengajian akidah yang tepat bersumberkan al-Quran dan hadis. Ia bermula melalui pemahaman terhadap falsafah rukun Islam dan rukun iman iaitu beriman kepada Allah SWT, para Malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya, hari akhirat serta qada’ dan qadar. Kita mesti berpegang dengan setiap rukun melalui kefahaman yang jelas, betul dan tepat. Akidah yang mantap mampu mendorong kita melakukan kebaikan dan menghindarkan kemaksiatan kerana sesungguhnya perlakuan dosa itu berpunca daripada lemahnya iman.
Kedua: Kita mestilah meningkatkan kefahaman beragama di dalam keluarga di samping beristiqamah mengamalkan syariat Islam. Yakinlah bahawa syariat itu diturunkan bertujuan untuk mendisiplinkan kita bagi menjamin kebahagiaan dan keharmonian hidup. Kita mesti mengangkat sifat ihsan sebagai manifestasi akidah yang sahih iaitu keyakinan bahawa Allah SWT sentiasa melihat apa jua ibadah, pertuturan dan perbuatan yang kita lakukan.
Ketiga: Kita mesti memupuk akhlak dan pekerti mulia berasaskan kesedaran betapa Allah SWT sentiasa mengawasi semua hamba-Nya. Akhlak mulia juga menjadi bukti ketinggian iman dan kemantapan akidah kita. Anak-anak yang dididik dengan akidah yang mantap ini akan mampu menjalani kehidupan di dunia dengan bahagia dan menghindari diri daripada unsur-unsur ajaran yang menyesatkan. Jiwa mereka subur dengan watak kehambaan lantaran dibajai dengan rasa bertuhan yang ampuh.
Tanpa akidah yang kukuh, mereka mudah terpengaruh dengan ajaran yang salah sehingga berani melanggar perintah dan hukum-hakam yang ditetapkan Allah SWT. Apa yang membimbangkan ialah jika perbuatan dosa dan maksiat dianggap suatu kebiasaan.
Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abdullah bin Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang mukmin itu melihat dosa- dosanya seolah-olah dia duduk di bawah gunung yang ditakuti akan menimpanya, sebaliknya seorang fajir (pelaku dosa) melihat dosanya hanya bagaikan seekor lalat yang hinggap di hidungnya.”
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Khatib ingin mengulangi peringatan, dunia tanpa sempadan hari ini semakin mencabar. Pelbagai bentuk pemikiran, ideologi dan pegangan kepercayaan yang bertentangan dengan Islam serta menyeleweng begitu mudah disebarkan terutama di media-media sosial sehingga boleh merosakkan akidah umat Islam.
Justeru, kita wajib berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah bagi menangkis pemikiran yang salah seperti liberalisme dan pluralisme yang jelas menyeleweng dan sesat. Akidah yang mantap mengikut aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah dapat menyelamatkan kita
dan anak-anak daripada tersungkur ke lembah kemurkaan dan kesesatan. Marilah kita berdoa dan berusaha dengan sedaya upaya agar kita sentiasa dibantu dan dipandu di atas landasan Islam yang lurus.
Semoga dengan kemantapan akidah hidup kita sentiasa mendapat limpahan rahmat dan inayah Allah SWT.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Perubahan hidup yang lebih baik adalah suatu kemestian yang mesti dilakukan bermula dengan pemantapan akidah sebagai jaminan kepada kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.
Kedua: Mantapkan penghayatan iman melalui pengajian akidah yang benar, tambahkan penghayatan beragama di dalam keluarga dan pupuklah akhlak mulia yang menjadi bukti ketinggian iman dan kemantapan akidah kita.
Ketiga: Tingkatkan usaha yang berterusan memantapkan akidah anak-anak bagi melahirkan generasi yang mendapat limpahan rahmat dan barakah Allah SWT di dalam kehidupan.
Mengakhiri khutbah, renungkan bersama firman Allah SWT menerusi Surah an-Nisa’ ayat 175 yang bermaksud:
“Oleh itu, orang-orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada (ajaran Al-Quran) ini, maka Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat-Nya (yang khas iaitu Syurga) dan limpah kurnia-Nya (yang tidak terkira), dan Allah akan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus (jalan agama Islam), yang membawa kepada-Nya.”
(Surah An-Nisa’ 4:175)
Tarikh Dibaca: 13 Jamadilakhir 1444H/6 Januari 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a Reply