By: mymuslimin.com
Berdesing telinga selepas menghirup kuah asam pedas di Mimpi Mour ini! Walaupun pedasnya lebih sedikit berbanding asam pedas di gerai asam pedas di Muar sendiri, kita hirup sampai licin. Alhamdulillah, asam pedas di sini memuaskan hati dengan ikannya yang segar dan rasa asam pedasnya yang perisa!
Kepada penggemar masakan Selatan terutama makanan Melaka/Muar di ibu kota, bolehlah mencuba nasi campur di Restoran Mimpi Muor yang terletak di Mutiara Damansara, berdekatan dengan The Curve dan Ikea.

Hidangan popular di sini tentu sekali asam pedasnya yang laku seperti goreng pisang panas! Dibuka bermula pukul 9 pagi, jika anda datang pukul 12 tengahari, makanan sudah susut teruk, dan mungkin ikan-ikan yang dihajati sudah diambil orang.
Mimpi Muor, seperti restoran asam pedas lain, menawarkan asam pedas ikan Merah, Jenahak, Parang, Sembilang, Mayong, Pari dan asam pedas daging tetel. Namun begitu, bukan semua jenis protein ada hari-hari, ikutlah untung masing-masing.
Harga kepala ikan dan badan lain, dan mengikut jenis ikan yang dipilih. Contohnya kepala ikan Merah dan Jenahak dalam lingkungan harga RM45-95, manakala badannya sekitar RM15-RM28. Ikan Parang pula berharga RM20-30 untuk kepala, dan badan sekitar (RM18-28). Lauk-lauk sampingan juga tersedia untuk dipadankan dengan asam pedas.
Lupakanlah sudu garfu kalau makan asam pedas ikan Parang. Tulang berselirat tetapi isi ikannya halus dan manis, sangat menyelerakan.



Selain asam pedas, Mimpi Muo juga menawarkan Muor Special iaitu masakan bangsa Johor terkemuka seperti Mee Bandung (RM15) dan Soto Ayam (RM10). Kedua hidangan ini ditawar hari-hari, dan pada hujung minggu, Mimpi Muor menyediakan Laksa Johor (RM15), Nasi Lemak (RM4.50) dan Lontong (RM8) untuk para pengunjung.
Mimpi Muor juga ada menjual kuih-muih dan pelbagai jenis kerepek. Keria gula melaka sangat popular di sini, lambat sedikit, melepas!
Kenapa Muor? Kerana orang Muar tak panggil Mu-ar, mereka panggil Muor. Dan, bila dah merasa asam pedasnya, boleh termimpi-mimpi kalau lama tak pekena.
Restoran Mimpi Muo
26-1 & 28-1, Jalan PJU 7/16a, Mutiara Damansara, 47810 Petaling Jaya, Selangor
Buka – 9:00 pagi hingga 5:30 petang setiap hari
Leave a Reply