Sumpah Simpan Rahsia Suami Isteri

Oleh: mymuslimin.com

Kebelakangan ini kita telah menyaksikan beberapa upacara menandatangani sumpah simpan rahsia di kalangan pemimpin dan kakitangan awam kita. Peri pentingnya proses ini ialah untuk memastikan agar semua isu dan hal-hal dalaman tidak diketahui umum yang boleh mencetuskan huru-hara dan kecelaruan kerana apabila orang awam bercerita tentang perkara yang butirannya tidak mereka ketahui, pelbagai spekulasi boleh dibangkitkan yang akhirnya akan mengeruhkan suasana. 

Sama sahaja situasinya di dalam perkahwinan di mana apabila kita telah bernikah, suami isteri perlu faham tanggungjawab masing-masing dalam memastikan rahsia dan keaiban suami isteri itu dilindungi dan dipertahankan. 

Di dalam Al-Quran, Allah SWT menjelaskan bahawa pasangan suami isteri itu ibarat pakaian yang saling menutup keaiban dan melindungi sesama mereka, selain memelihara daripada terdedah kepada anasir-anasir luar yang memudharatkan.

“..Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka…”

(Surah Al-Baqarah 2: 187)

Lantas, peranan masing-masing ialah menghalang diri daripada membuka ‘pakaian’ tersebut dan akhirnya memalukan pasangan dan membiarkan khalayak menudingkan jari, mengeji, mengutuk, dan merendah-rendahkan pasangan kita, tidak kira bagaimana pun perasaan yang kita rasa. Apa kita sudah tiada simpati membiarkan pasangan kita tidak berpakaian di khalayak? Adakah kita begitu kejam sampai sanggup orang luar mengeluarkan kata-kata nista kepada pasangan yang kita sayang?

Apabila kita mengambil watak ‘yang tersakiti’, watak ‘si mangsa’, ramai di antara kita merasakan bahawa kita berhak dan mendapat lesen untuk membuka segala aib dan berkongsi segalanya dengan orang luar yang tentu sekali tidak melihat semuanya secara total, tidak tahu butiran punca krisis perkahwinan kita. Apa yang berlaku bukan sahaja akan mengundang dosa, malah menyuburkan fitnah dan merosakkan hubungan perkahwinan kita sehingga ke tahap sukar untuk diperbaiki.  

Di dalam Surah an-Nisa’, di antara ciri suami dan isteri soleh yang dituntut Islam adalah suami yang menjadi pemimpin dan pengawal kepada isteri mereka dan isteri yang memelihara diri dan keaiban suami ketika ketiadaan suaminya. 

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya.”

(Surah An-Nisa’ 4:34)

Islam menganjurkan pelbagai saluran untuk berkongsi permasalahan perkahwinan, dan tentu sekali media sosial tidak tersenarai di dalam pilihan pasangan. Bermesyuarahlah dengan ibu bapa, orang-orang yang lebih berpengalaman, mereka yang mengetahui hukum-hakam dan berdoalah kepada Allah yang Maha Esa, kerana Dia yang Maha Mengetahui dan Maha Mengabulkan semua doa kita. 

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;”

(Surah Al-Baqarah 2:45)

Para isteri juga perlu mengambil iktibar daripada kisah madu yang dipaparkan dalam surah at-Tahrim. Hayatilah surah ini, di mana Allah SWT telah menegur isteri-isteri Rasulullah SAW dengan tegas kerana gagal menyimpan rahsia yang dikongsi Rasulullah SAW kepada mereka. 

Kisah ini berlaku apabila Hafshah RA berpakat dengan Aisyah RA untuk mengatakan bahawa beliau dapat menghidu bau madu yang dimakan Rasulullah SAW di rumah isteri Baginda SAW, Zainab RA, sedangkan dia tidak menghidunya. Kemudian Rasulullah SAW berkata kepada Hafshah RA, “Hari ini aku haramkan madu daripada mulutku, kerana kamu telah menghidunya,” dan Rasulullah SAW telah meminta Hafshah RA tidak memberitahu sesiapa tetapi Hafshah RA telah memberitahu Aisyah RA.

Lalu, Allah SWT menurunkan ayat dalam Surah At-Tahrim yang menegur mereka secara tegas. 

“Dan (ingatlah), ketika Nabi memberitahu suatu perkara secara rahsia kepada salah seorang dari isteri-isterinya. Kemudian apabila isterinya itu menceritakan rahsia yang tersebut (kepada seorang madunya), dan Allah menyatakan pembukaan rahsia itu kepada Nabi, (maka Nabi pun menegur isterinya itu) lalu menerangkan kepadanya sebahagian (dari rahsia yang telah dibukanya) dan tidak menerangkan yang sebahagian lagi (supaya isterinya itu tidak banyak malunya). Setelah Nabi menyatakan hal itu kepada isterinya, isterinya bertanya: “Siapakah yang memberi tahu hal ini kepada tuan? ” Nabi menjawab: “Aku diberitahu oleh Allah Yang Maha Mengetahui, lagi Amat Mendalam PengetahuanNya (tentang segala perkara yang nyata dan yang tersembunyi) “. 

(Surah At-Tahrim 66:3) 

Kesimpulannya, isteri tidak boleh mengambil lewa tentang kerahsiaan rumahtangga. Rahsia yang dikongsi suami bukan untuk dijaja ke sana ke mari. Apabila terdapat ayat yang jelas tentang hal ini, maka manusia jangan mengambil mudah kerana  kedamaian rumah tangga boleh tergugat kerana kecuaian ini. 

Perlu diingat, kita juga bukanlah makhluk yang sempurna dan kita juga punya aib yang tidak mahu kita kongsi dengan orang lain apatah lagi dengan orang luar yang tidak kita kenali.  Oleh itu, berhati-hati agar kita tidak mengaibkan pasangan kita.

Perkahwinan yang baik itu memerlukan kedua-dua suami dan isteri memainkan peranan masing-masing. Di kala suami tidak tentu hala tujunya, isteri juga tidak berhak untuk tidak taat dan membuang hormat terhadap suami. Ingatlah bahawa isteri yang taat dijanjikan syurga sepertimana hadis Ummu Salamah RA yang bermaksud:

Sabda Rasulullah SAW: “Mana-mana isteri yang mati sedangkan suaminya reda terhadapnya, dia akan masuk ke syurga.”

(HR at-Tirmizi)

Mari kita hayati juga kisah Nabi Ibrahim sewaktu baginda menziarahi menantunya, isteri Nabi Ismail, ketika Nabi Ismail tiada di rumah. Si isteri itu tidak kenal akan bapa mertuanya kerana mereka tidak pernah bersua. Ketika Nabi Ibrahim bertanya akan khabar mereka sekeluarga, si isteri menjawab bahawa mereka sedang berada di dalam kesempitan, tidak pernah senang dan lapang.

Kemudian, Nabi Ibrahim meninggalkan pesan kepada anaknya, Nabi Ismail melalui isteri tersebut. “Jika suamimu pulang sampaikan salamku kepadanya, dan katakan kepadanya agar menukar tiang pintu rumahnya.” Apabila pesan itu disampaikan, Nabi Ismail faham bahawa ayahandanya meminta beliau melepaskan isterinya yang tidak tahu menjaga aib dan kerahsiaan keluarga. 

Kemudian, Nabi Ismail berkahwin lagi, dan sekali lagi Nabi Ibrahim singgah tanpa kehadiran anaknya, dan bertanyakan soalan yang sama kepada menantunya yang tidak mengenali dirinya itu kerana mereka belum pernah bertemu. Menantunya menjawab, “Syukur kepada Tuhan, kami semua dalam keadaan sejahtera tiada apa yang kurang.” Dan, sebelum pulang, Nabi Ibrahim berpesan agar Nabi Ismail mengekalkan tiang pintu di rumahnya itu. 

Kisah ini jelas menunjukkan bahawa ketaatan isteri itu dituntut oleh Islam dari dahulu sehinggalah ke akhir masa. 

“Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang dia suka (mengikut pilihannya).”

(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)
Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: