Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita tingkatkan takwa di sepanjang perjalanan hidup dengan mematuhi segala suruhan Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita kembali kepada Allah SWT kelak dalam keadaan diredai dan diampuni segala dosa serta dikurniakan syurga yang kekal abadi.
Khatib pada hari ini akan membicarakan khutbah yang: “Menyubur Mawaddah, Meraih Rahmah”.
Sebagai peringatan kita bersama, istiqamahlah melakukan amal ibadah dan amalan ketaatan, imarahkan rumah-rumah Allah melalui solat fardu secara berjemaah, beriktikaf dan mengikuti kuliah-kuliah pengajian.
Di samping itu, didiklah ahli keluarga khususnya anak-anak untuk mendirikan solat dan membaca al-Quran. Laksanakanlah amar makruf dan nahi mungkar serta suburkan hubungan persaudaraan sesama kita.
Teruskan bermunajat kepada Allah SWT dan bertaubat atas segala dosa, pohonlah doa agar kita dikurniakan petunjuk untuk memandu kehidupan yang diberkati dan dirahmati oleh-Nya.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Perkahwinan dan kehidupan berumahtangga merupakan sebuah fasa yang menghadirkan bahagia dalam kehidupan. Dua insan yang saling mencintai telah mengikat janji untuk hidup bersama dan saling setia, sanggup menongkah gelora dan badai dunia. Indahnya perkahwinan kerana ia merupakan anugerah Allah SWT yang membuktikan kekuasaan-Nya serta kasih sayang-Nya kepada setiap insan.
Firman Allah SWT di dalam surah ar-Rum, ayat 21 yang diperdengarkan pada muqaddimah sebentar tadi membawa maksud:
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
(Surah ar-Rum 30:21)
Perkahwinan ialah penyatuan antara dua insan dan dua hati yang mempunyai keserasian dan kesefahaman demi mencapai mardatillah (keredaan Allah). Ia mempamerkan salah satu maqasid al-Syariah atau tujuan syariat diturunkan iaitu menjaga keturunan. Islam amat menitik beratkan penjagaan batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita sebelum mereka diikat melalui ikatan perkahwinan yang sah. Perkahwinan tidak bergantung kepada tingginya nilai mas kahwin dan hantaran yang diberikan.
Sangat merugikan jika persediaan yang dibuat dengan belanja yang besardemi memenuhi tuntutan sementara, menggadaikan keberkatan dalam perkahwinan. Sesungguhnya perkahwinan itu bukan sekadar wasilah untuk melahirkan zuriat dan memelihara keturunan, tetapi yang lebih penting pembinaan ummah yang berkualiti di masa hadapan.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Keinginan untuk berkahwin adalah fitrah manusia yang bererti sifat semulajadi manusia sebagai makhluk Allah SWT. Setiap manusia yang sudah dewasa, sihat fizikal dan rohaninya, pasti memerlukan teman hidup yang dapat memenuhi keperluan biologi, yang boleh dicintai dan mencintai, dapat mengasihi dan dikasihi, boleh diajak bekerjasama untuk mewujudkan ketenteraman, ketenangan dan kesejahteraan hidup berumah tangga.
Bagi mereka yang sudah mempunyai kemampuan sama ada secara fizikal atau ekonomi, maka hendaklah segera bernikah. Ini kerana terdapat padanya banyak faedah dan kebaikan. Bukan itu sahaja, malah setiap individu yang ingin berkahwin perlu menjaga adab dan tatacara yang digalakkan oleh Islam sebelum masuk ke gerbang perkahwinan, seperti adab mencari pasangan berdasarkan sunnah Rasulullah SAW. Dalam memilih bakal isteri, Rasulullah SAW telah mengajarkan sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka peganglah dengan yang mempunyai agama. Engkau akan bahagia.”
(HR Abu Hurairah RA)
Bukan sahaja calon wanita, pemilihan calon lelaki juga mestilah diambil kira terutama bagi wali dengan melihat kepada pegangan agama dan akhlaknya. Ibnu Majah meriwayatkan hadis, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Apabila datang kepada kamu (golongan wali) mereka yang kamu reda akan akhlak dan agamanya maka kahwinkanlah dia (dengan anak-anak perempuan kamu). Sekiranya kamu tidak melakukannya, nescaya akan terjadi fitnah di atas muka bumi dan juga kerosakan yang besar.”
(HR Abu Hurairah RA)
Urusan perkahwinan melibatkan syarat-syarat dan rukun yang perlu dipatuhi untuk memastikan ianya sah di sisi syarak. Terdapat lima rukun yang wajib dipatuhi iaitu mesti wujud pengantin lelaki, pengantin perempuan, lafaz (Ijab dan Qabul), ada wali dan dua orang saksi. Selain daripada memenuhi rukun dan syarat yang ditetapkan syarak, pasangan yang berkahwin di Malaysia khususnya di Wilayah Persekutuan perlu mengikut prosedur pendaftaran perkahwinan yang telah ditetapkan melalui Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Akta 303.
Perkahwinan suatu perkara suci, maka ia perlu dilakukan mengikut undang-undang malah tatacara permohonan untuk berkahwin juga sangat mudah dilakukan. Peraturan-peraturan yang diwujudkan bukan bertujuan menyusahkan tetapi untuk menjaga kemaslahatan masyarakat, mengawal kerukunan keluarga dan memelihara nasab keturunan. Ketahuilah bahawa ketetapan pendaftaran perkahwinan bertujuan untuk menjaga kepentingan dan kesejahteraan masyarakat dan keluarga Islam agar tidak ada mana-mana pihak yang teraniaya. Oleh itu, selagimana arahan pemerintah yang tidak bertentangan dengan hukum syarak serta berkait rapat dengan kepentingan dan maslahat umat maka setiap umat Islam wajib mematuhinya.
Proses dokumentasi bagi sesuatu perkahwinan merupakan satu keperluan yang mesti dititikberatkan. Sekiranya sesuatu perkahwinan itu tidak berdaftar, kesannya ia akan menyebabkan berlaku kecelaruan terutama apabila berkait dengan tuntutan di Mahkamah Syariah seperti tuntutan nafkah, perceraian atau kematian. Lebih merumitkan lagi sekiranya berlaku kematian terhadap suami, pihak isteri tidak dapat membuktikan kesahan perkahwinan itu, maka sudah tentu isteri dan anak-anak hasil perkahwinan tersebut tidak dapat mewarisi harta pusaka peninggalan suami atau bapanya.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Daripada berdepan dengan pelbagai masalah yang mendatang, menjadi kewajipan bagi pasangan yang hendak berkahwin untuk mematuhi prosedur yang telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri.
Khatib menegaskan kepada umat Islam, janganlah sekali-kali terlibat dengan nikah sindiket iaitu perkahwinan yang dijalankan dengan tidak mengikut prosedur undang-undang, tanpa terlebih dahulu memohon kebenaran Jabatan Agama Islam Negeri atau dalam kes tertentu, kebenarandaripada Mahkamah Syariah. Apa yang dibimbangi ialah, perkahwinan tersebut tidak menepati hukum syarak dan berkemungkinan menjadi tidak sah.
Hari ini, urusan perkahwinan menjadi semakin mudah dengan terlaksananya Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) yang sangat efisien dan teratur. Modul-modul yang terdapat dalam sistem ini di antaranya ialah permohonan kursus pra-perkahwinan, permohonan kebenaran nikah, pendaftaran nikah, perceraian, rujuk dan rundingcara.
Justeru, sekiranya terdapat sebarang pertanyaan dan persoalan oleh mana-mana pihak yang hendak berkahwin, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan melalui Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga sentiasa bersedia membantu mereka yang memerlukan bantuan bagi memastikan urusan perkahwinan yang hendak dilaksanakan dapat dijalankan dengan betul dan sempurna mengikut hukum syarak dan undang-undang.
Mengambil kesempatan ini juga, khatib ingin berpesan kepada sesiapa yang berhadapan dengan masalah rumahtangga, janganlah membiarkan ia semakin membarah dan berlarutan. Dapatkanlah nasihat dan kaunseling daripada kaunselor yang bertauliah. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan mempunyai ramai pegawai yang terlatih memberi bimbingan, khidmat nasihat dan runding cara kekeluargaan Islam yang berperanan membantu masyarakat yang sedang menghadapi masalah rumahtangga untuk mencari jalan penyelesaian terbaik demi masa depan keluarga dan anak-anak.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Perkahwinan merupakan jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT kerana dengannya, terhindarlah kita daripada melakukan maksiat dan memelihara nasab keturunan yang sah bertepatan dengan Maqasid al-Syariah.
Kedua: Fahami dan ikuti setiap syarat dan rukun yang ditetapkan syarak berkaitan perkahwinan dan patuhilah undang-undang negara untuk mengelakkan kita terjebak dengan perkahwinan yang meragukan.
Ketiga: Patuhilah prosedur perkahwinan yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Agama Islam Negeri yang mudah untuk diikuti. Semoga perkahwinan yang didirikan mencapai mawaddah dan rahmah. Mengakhiri khutbah, renungkan bersama firman Allah SWT menerusi Surah an-Nur ayat 32 yang bermaksud:
“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.”
(Surah An-Nur 24:32)
Tarikh Dibaca: 20 Jamadilakhir 1444H/13 Januari 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a Reply