Melazimkan Ketaatan, Meninggalkan Keharaman

Makna ketaatan adalah melaksanakan kewajipan terhadap Allah, menjauhi larangan-larangan-Nya dan bersandar pada hukum-hukumnya.

Tentang firman Allah s.w.t.,

وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا
Ertinya:
“… dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dan (kenikmatan) duniawi…”

(Al-Qasas 28:77)

Mujahid berkata: “Iaitu hamba mengamalkan ketaatan kepada Allah s.w.t. Ketahuilah bahawa pangkal ketaatan adalah pengetahuan (al-‘ilm) kepada Allah, ketakutan kepada Allah, harapan kepada-Nya dan pengawasan batin terhadap-Nya. Apabila hamba tidak memiliki sifat-sifat ini, ia tidak akan memperoleh hakikat keimanan. Sebab, tidaklah sah ketaatan kepada Allah kecuali setelah mengenali-Nya dan mengimani kewujudan-Nya sebagai Pencipta; Yang mengetahui dan Maha Berkuasa; Yang tidak terliput oleh pengetahuan dan tidak dapat dibayangkan oleh fikiran. Tidak ada sesuatu pun yang menyerupai-Nya. Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat.” 

Seorang Arab Badwi bertanya kepada Muhammad ibn Ali ibn al-Husain: “Apakah anda melihat Allah ketika beribadah kepada-Nya?”

Dia menjawab: “Aku tidak pernah menyembah Tuhan Yang tidak aku lihat.” 

Orang Badwi itu bertanya lagi: “Bagaimanakah anda melihatnya?”

Muhammad ibn Ali r.a. menjawab: “Dia tidak dilihat oleh pandangan mata, melainkan oleh hati dengan hakikat keimanan. Dia tidak tergapai oleh pancaindera dan tidak menyerupai manusia. Dia dikenali dengan ayat-ayat dan disifatkan dengan tanda-tanda. Itulah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia, Tuhan bumi dan langit.”

Orang itu pun berkata: “Allah Maha Tahu ketika Dia menjadikan risalah-risalah-Nya.”

Seorang arif ditanya tentang ilmu batin. Dia menjawab: “Ia adalah salah satu rahsia Allah yang disimpan di dalam hati para kekasih-Nya, yang tidak dititipkan kepada malaikat dan juga manusia.”

Diriwayatkan bahawa Ka’ab al-Ahbar berkata: “Kalau saja anak Adam mencapai keyakinan sebesar biji dalam keagungan Allah s.w.t., nescaya mereka boleh berjalan di atas air dan angin. Maha Suci Zat Yang menjadikan pengakuan kelemahan mencapai makrifat-Nya sebagai keimanan, sebagaimana Dia menjadikan bagi orang yang diberi nikmat kelemahan untuk berterima kasih kepada-Nya.

Ketika telah teguh pengetahuan tentang ketuhanan, akan nampaklah pengakuan dengan peribadatan. Apabila telah teguh keimanan dalam hati, wajiblah ketaatan kepada Tuhan.

Keimanan itu ada dua jenis: yang nampak (zahir) dan yang tersembunyi (batin). Yang nampak adalah pengucapan dengan dan yang lisan dan yang tersembunyi adalah keyakinan di dalam hati. Orang-orang yang beriman itu berbeza-beza dalam tahap kedekatannya dan berlainan dalam darjat ketaatannya. Keimanan mengumpulkan anugerah bagi mereka menurut kadar bahagian masing-masing dan memungkinkannya mencapai martabat tinggi dalam keikhlasan kepada Allah, bertawakal kepada-Nya dan keredhaan akan ketentuan-Nya. 

Sementara keikhlasan adalah keadaan ketika seorang hamba beramal tanpa mengharapkan balasan dari Yang Maha Pencipta. (Allah menciptakan kamu dan apa yang kamu kerjakan). Jika ketaatan itu merupakan harapan akan pahala dan takut akan seksa, bererti hamba itu tidak memiliki keikhlasan yang sempurna. Dia hanya bekerja untuk dirinya sendiri.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Janganlah ada di antara kamu orang yang seperti anjing yang buruk; jika takut, ia bekerja. Jangan pula menjadi seperti pekerja yang buruk; jika tidak diberi upah, dia tidak bekerja.”

Allah s.w.t. berfirman yang bererti:

“Di antara manusia ada orang yang menyembah Allah dengan berada di tepi. Jika ia memperoleh kebajikan, tetaplah ia dalam keadaan itu. Akan tetapi jika ditimpa bencana, berbaliklah ia ke belakang.”

(Al-Hajj 22:11)

Diwajibkan kepada kita beribadah kepada-Nya dan mentaati-Nya kerana kurnia yang telah diberikan kepada kita dan kebajikan yang telah dilimpahkan kepada kita, terutama kerana kebajikan itu diperintahkan kepada kita untuk diberi balasannya berupa keutamaan dan untuk membalas orang sesat darinya dengan keadilan.

Sementara tawakal adalah bersandar pada Allah s.w.t. Ketika ada keperluan, bergantung pada-Nya ketika dalam kesempitan dan keyakinan kepada-Nya ketika mendapat musibah; tetapi jiwa tetap tenang dan hatinya tetap tenteram. Orang-orang yang bertawakal kepada Allah mengetahui bahawa Dia menentukan takdir dan segala sebab berada dalam kebijaksanaan Pencipta Yang Maha Mengatur. 

Mereka tidak bersandar pada bapa, anak, harta dan perbuatan; melainkan dengan petunjuk-Nya mereka menyerahkan segala urusan kepada-Nya. Dalam keadaan apa pun, mereka tidak bergantung kecuali pada Allah. Barangsiapa bergantung pada Allah, cukuplah Dia baginya.

Sedangkan keredhaan adalah berjiwa lapang terhadap takdir yang berlaku. Seorang ulama berkata: “Orang yang paling dekat kepada Allah adalah yang paling redha terhadap kurnia-Nya.”

Di antara ungkapan orang-orang bijak adalah: “Betapa banyak kesenangan yang merupakan penyakit dan sakit yang merupakan ubat.”

Seorang penyair bersyair:

Betapa banyak maksiatmu dilipat 

di antara taring-taring bencana 

Kesenangan telah berubah

berbagai bencana menanti

Tabahlah atas kejadian pada masamu

kerana semua hal pasti berakhir

Di balik susah ada bahagia

di balik kemulusan ada cacat

Cukuplah bagi kita firman Allah s.w.t.:

عَسَى أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ

Ertinya:

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagi kamu.”

(Al-Baqarah 2:216)

Ketahuilah, ketaatan hamba kepada Tuhannya tidak akan sempurna kecuali dengan menolak keduniaan. Di dalam kata-kata hikmah disebutkan bahawa nasihat akan bererti selama tidak ada tirai yang menutup hati. Tirai itu adalah keduniaan. Selain itu, seorang bijak berkata: “Keduniaan itu sesaat, maka jadikanlah ia ketaatan.”

Abu al-Wald al-Baj berkata:

Jika aku tahu secara yakin

bahawa seluruh hidupku hanya sesaat 

Tak akan aku membaktikannya

jadilah ia dalam kebaikan dan taat

Seseorang berkata kepada Rasulullah s.a.w.: “Aku membenci kematian.”

Baginda bertanya: “Apakah kamu mempunyai harta?”

Dia menjawab: “Ya.”

Lalu baginda bersabda: “Berikanlah hartamu, kerana seseorang bergantung pada hartanya.”

Diriwayatkan bahawa Isa a.s. berkata: “Kebaikan itu terdapat pada tiga perkara: ucapan, pandangan dan diam. Barangsiapa yang ucapannya bukan zikir kepada Allah, bererti dia telah melakukan yang sia-sia. Barangsiapa yang pandangannya bukan mengambil pelajaran, bererti dia telah lalai. Barangsiapa yang diamnya bukan tafakur, bererti dia telah main-main. Mening- galkan keduniaan adalah dengan mengarahkan fikiran pada keadaannya dan meninggalkan kelemahan kerana kelazatannya. Fikiran akan membangkitkan keinginan kerana keterkaitan jiwa dengannya.”

Waspadalah jangan sampai mengarahkan pandangan pada sesuatu yang tidak halal, kerana ia adalah anak panah yang mengena dan kekuasaan yang mendominasi, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Pandangan itu merupakan salah satu anak panah iblis. Barangsiapa yang meninggalkannya kerana takut kepada Allah dan diikuti keimanan, ia akan mendapati manisnya dalam hati.” 

Seorang bijak berkata: “Barangsiapa menyalahgunakan pandangannya, nescaya banyaklah penyesalannya. Banyak memandang akan menyingkapkan rahsia, membukakan keburukan manusia, dan mengekalkan tinggal dalam neraka Saqar. Jagalah mata anda, kerana jika anda menyalahgunakannya, anda akan mendapati diri anda dalam sesuatu yang tidak disukai. Akan tetapi, jika anda menguasainya, anda boleh menguasai anggota-anggota tubuh anda yang lain.”

Seseorang bertanya kepada Plato: “Mana yang paling penting bagi hati, pendengaran atau penglihatan?”

Plato menjawab: “Kedua-duanya bagi hati bagai sayap burung: ia tidak dapat terbang kecuali dengan kedua-duanya; ia tidak dapat bangkit kecuali dengan kekuatan kedua-duanya. Kadang-kala salah satunya patah, namun yang satu lagi menanggung letih dan derita.”

Seorang zuhud melihat seseorang sedang mentertawakan seorang hamba. Orang zuhud itu lantas berkata kepadanya: “Wahai orang yang rosak akal dan hati; wahai orang yang rosak penalaran, tidakkah kamu berasa malu kepada malaikat pencatat semua perbuatanmu, yang memperlihatkan dan menjadi saksi bagimu di atas semua perbuatanmu; memperlihatkan dan menjadi saksi bagimu di atas bencana keburukan yang nampak dan tipuan tersembunyi tempat dirimu dihadapkan, di suatu maqam yang tidak hanya diperhatikan oleh mereka yang berdiri di situ tetapi menjadi perhatian seluruh makhluk.”

Ali k.w. berkata: “Mata adalah jalan syaitan. Mata segera mempengaruhi anggota-anggota tubuh yang lain dan paling kuat bantingannya. Jadi, barangsiapa yang menundukkan anggota- anggota tubuhnya di bawah kendali hawa nafsunya dalam memperoleh kelazatannya, bererti dia telah mensia-siakan perbuatan baiknya.”

Abdullah ibn al-Mubarak berkata: “Iman yang paling utama adalah mempercayai apa yang dibawa para Rasul. Barangsiapa yang mempercayai Al-Quran, dia mula mengamalkannya dan selamat daripada neraka. Barangsiapa yang menjauhi perkara-perkara haram, dia menuju kepada bertaubat. Barangsiapa makan dari usaha yang halal, bererti dia menuju kewarakan. Barangsiapa menunaikan kewajipannya, bererti benarlah kelslamannya. Barangsiapa selalu berkata benar, bererti selamatlah dia dari pembalasan qisas. Barangsiapa mengikut sunnah, bererti sahlah amalannya. Barangsiapa ikhlas kepada Allah, akan diterimalah amalannya.”

Diriwayatkan dari Abu ad-Darda’ bahawa dia memohon kepada Rasulullah s.a.w.:

“Ya Rasulullah, berilah aku wasiat.”

Baginda s.a.w. bersabda:

“Berusahalah dengan cara yang halal: lakukanlah kebajikan; memohonlah kepada Allah rezeki setiap hari; dan anggaplah dirimu berada di tengah-tengah orang mati. Hendaklah kamu waspada agar jangan membanggakan perbuatan baik, kerana hal itu merupakan penyakit yang paling berbahaya dan mensia-siakan perbuatan baik yang lain. Orang yang membanggakan perbuatan baiknya, dia tidak tahu apakah diterima atau tidak. Kemaksiatan mewariskan kehinaan dan kehancuran, sedangkan ketaatan mewariskan kemuliaan dan keagungan. Hendaklah juga berhati-hati terhadap riak.

Disebutkan dalam firman Allah s.w.t.:

وَبَدَا لَهُم مِّنَ اللهِ مَا لَمْ يَكُونُوا تَحْتَسِبُونَ 

Ertinya:

“Jelaslah bagi mereka azab dari Allah yang belum pernah mereka perkirakan.”

(Az-Zumar 39:47)

Dikatakan: “Mereka mengerjakan perbuatan-perbuatan baik yang pernah mereka lihat di dunia. Namun pada hari kiamat, semua itu dinampakkan kepada mereka sebagai keburukan.”

Ketika membaca ayat ini, sebahagian ulama salaf berkata:

“Aduhai, celakalah orang-orang yang bersikap riak!” 

Demikian pula disebutkan dalam firman Allah s.w.t..

صَـٰلِحًۭا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدًۢا (١١٠)
Ertinya:
“…janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya.”

(Al-Kahfi 18:110)

(Yakni janganlah menampakkan kerana riak dan jangan menyembunyikannya kerana malu).

Diriwayatkan dari Ibn Mas’ud bahawa ayat Al-Quran terakhir yang diturunkan adalah:

وَٱتَّقُوا۟ يَوْمًۭا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى ٱللَّهِ ۖ ثُمَّ تُوَفَّىٰ كُلُّ نَفْسٍۢ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ (٢٨١) 

Ertinya:

“Peliharalah diri kamu dari (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Masing-masing lalu diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sementara mereka sedikitpun tidak dianiaya.”

(Al-Baqarah 2:281)

Daud a.s. berkata kepada Sulaiman a.s.: “Yang menunjukkan ketakwaan seorang mukmin ada tiga: benar-benar bertawakal terhadap sesuatu yang tidak diperoleh; benar-benar redha terhadap apa yang telah diraih dan benar-benar bersabar di atas apa yang telah terlewat.”

Di antara perkataan orang bijak adalah: “Barangsiapa bersabar atas musibah, berani dia mencapai kesempurnaan. “Kesabaran itu memiliki beberapa cabang, iaitu: kesabaran dalam melaksanakan kewajipan dengan terus menekuninya secara sempurna pada waktu-waktu yang paling disukai; kesabaran dalam menunaikan ibadah-ibadah sunat; kesabaran di atas sahabat dan jiran tetangga; kesabaran ketika sakit, kesabaran di atas  kefakiran; kesabaran dalam menghindari kemaksiatan, syahwat, syubhat, keberlebihan tindakan semua anggota badan,  kesabaran di atas kemewahan dunia dan sebagainya.

Source: Mendidik Hati Mendekati Ilahi oleh Imam Al-Ghazali

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: