Mengenali Perwatakan Putera Puteri Dunia

Perkara yang amat dibimbangi oleh Rasulullah SAW akan berlaku kepada umatnya, selain daripada terlalu menuruti kehendak nafsu ialah panjang angan-angan. Sesungguhnya angan-angan yang berlarutan itu akan mengakibatkan manusia lalai daripada mengingati akhirat, sedangkan akhirat adalah hari menentukan balasan amal seseorang. 

Tidak ada pembetulan yang dapat dilakukan atas segala kekhilafan dan kesalahan yang telah dilakukan, tetapi di sanalah tempat bagi manusia merasai kebahagiaan atau penyesalan yang tidak berkesudahan.

Angan-angan tidak ada penghujungnya, ia tidak berjejak di alam nyata, malah kosong semata-mata. Justeru angan-angan bukanlah cita-cita, kerana cita-cita memerlukan tindakan usaha yang bersungguh-sungguh bagi mencapai apa yang dicita-citakan. Sebaliknya angan- angan hanyalah khayalan ibarat sebuah lakonan ke alam fantasi, yang tidak diketahui di mana letaknya seperti mengharungi lautan luas yang tidak berpantai.

Orang yang terperangkap dalam angan-angan pasti lupa dengan tujuan hidup di dunia ini, masa depannya hanyalah khayalan. Sekiranya dia tahu tentang akhirat, tetapi tidak mempunyai keyakinan, apa pun yang akan terjadi kepada dirinya di akhirat kelak tidak pernah difikirkannya. Sekalipun ada pihak mengingatkan dia tentang  perlunya membuat persediaan menghadapi hari akhirat, tetapi dia tetap menganggap akhirat itu masih jauh dan terlalu lama. 

Golongan yang dikhayalkan dengan angan-angan sentiasa menangguhkan amal kefardhuan atau amal kebajikan. Jika ketika itu telah masuk waktu solat fardhu, rakan-rakan mengajak dia pergi ke masjid atau musolla untuk menunaikan solat jemaah, dia akan menjawab, “Pergilah dulu.”

Demikian juga andainya dia mempunyai harta dan wang ringgit yang membolehkannya untuk menunaikan fardhu haji, tetapi dia tidak akan berbuat demikin, sebaliknya akan menangguhkannya dengan berbagai-bagai alasan.

Manusia yang dilamun angan-angan tidak akan menjadualkan masa dalam kehidupan mereka, sedangkan masa bererti usia. Walaupun masa berlalu namun dia tidak merasa usianya semakin susut dan terbuang secara sia-sia, kerana lamunan angan-angan yang panjang, dia tidak pernah berfikir bahawa kematian semakin menghampirinya.

Padahal umur manusia adalah antara anugerah Allah yang amat berharga tetapi terbatas, ia akan dipertanggungjawabkan ke atas diri seseorang di akhirat kelak dan akan ditanya ke mana ia dipergunakan. 

Usia bergerak bagi meninggalkan manusia, seperti pergerakan bumi dan cakerawala yang lain, ia terus melangkah meninggalkan manusia. Setelah usia berlalu, tiada siapa pun yang dapat melambai dan mengajak umur itu kembali mendekati dirinya.

Selain itu Rasulullah SAW menyatakan bahawa akhirat juga bergerak mendatangi manusia. Apabila umur manusia berjalan pergi dan sebaliknya melangkah mendatangi manusia, bererti ia akan mempercepatkan pertemuan manusia dangan akhirat. Ibarat dua orang menaiki dua kenderaan dari arah yang bertentangan di jalan raya, walaupun keduanya bergerak dengan jarak yang jauh, namun oleh kerana kedua-duanya bergerak ke arah yang sama, maka ia lebih cepat bertemu.

Gambaran itu begitu jelas bahawa manusia dan alam akhirat akan bertemu segera kerana kedua-duanya sedang bergerak pantas untuk bertemu. Hanya orang yang sedang dilamun angan-angan sahaja tidak menyedari umur yang sedang pergi dan akhirat yang kian mendatang, angan-angan yang panjang telah melalaikan mereka daripada menyedari hakikat itu.

Orang yang berangan-angan panjang tidak akan memikirkan kedatangan saat kiamat yang menghancurkan alam dunia ini, lantaran itu dia tidak pernah memikirkan persiapan bekalan yang patut disediakan semasa hidup di dunia bagi kepentingan akhirat. Walaupun usia dunia ini seperti orang tua yang sudah terlalu bongkok untuk menemui ajalnya, namun orang yang sedang dilamun angan-angan tidak akan menyedarinya. Sebaliknya kelak mereka akan terkejut sebaik saja dunia ini menemui ajalnya apabila kiamat.

Dunia mempunyai penyokong dan akhirat juga ada pengikutnya, kedua-duanya mempunyai putera atau anaknya masing-masing. Siapakah yang akan menjadi putera dunia serta penyokongnya? Dan siapa pula yang akan menjadi putera akhirat dan penyokong blok akhirat? Kesemuanya dapat dikenali dengan tingkah laku sikap dan pendirian mereka, kerana setiap pendirian dan sikap seseorang akan membuahkan tindakan.

Siapakah putera dunia? Mereka ialah orang-orang yang mentaati hawa nafsunya atau menjadikan hawa nafsu sebagai Tuhan. Merasa bahagia terhadap seruan mungkar, lantas menghayatinya dengan segala keupayaan diri dan kekuatan harta benda, serta merasa bahagia apabila berada dalam suasana mungkar itu. Putera dunia juga bagi mereka yang melakukan sebarang usaha hanya untuk kesenangan hidup di dunia yang sementara.

Putera dunia hanyalah mereka yang bergiat di sekeliling kehidupan duniawi tanpa menghubungkannya dengan akhirat. Jika memiliki kesenangan hanya untuk kepentingannya sendiri, orang lain seolah-olah tidak ada kaitan dengan dirinya. Sekalipun sekeliling mereka ramai orang yang menderita, baginya itu bukan urusannya.

Sementara putera akhirat adalah orang yang kehidupannya berteraskan kepada aqidah yang sebenar serta amalan yang bersumberkan syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Putera akhirat adalah orang yang mempertahankan kebenaran Islam, sedia mempertaruhkan jiwa dan raga demi membela Islam. Menghindari dan memerangi segala yang berbentuk mungkar dan maksiat.

Putera dunia dan putera akhirat mempunyai perbedaan yang jelas, antara kedua-duanya yang berlainan keturunan itu tidak mungkin bersatu.

Sumber: Taqwa oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: