Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita perteguhkan ketakwaan dengan ketaatan terhadap segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah SWT memasukkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang mendapat keampunan daripada-Nya dan memperoleh keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.
Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: “Pendidikan Islam Teras Pembangunan Ummah”.
Sebagai peringatan sebelum khatib memulakan bicara khutbah, marilah kita beristiqamah melakukan amal ibadah dan amalan ketaatan, mengimarahkan rumah-rumah Allah melalui solat fardu secara berjemaah, beriktikaf dan mengikuti kuliah-kuliah pengajian. Di samping itu, didiklah ahli keluarga khususnya anak-anak untuk mendirikan solat dengan tekun dan mempelajari bacaan al-Quran dan memahaminya.
Sebagai muslim yang baik, laksanakanlah amar makruf dan nahi mungkar serta suburkan hubungan persaudaraan sesama kita. Perbanyakkan bermunajat kepada Allah SWT dan bertaubat atas segala dosa, berdoalah agar kita dikurniakan hidayah dalam menjalani kehidupan.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Islam ialah agama ilmu pengetahuan. Iqra’ ialah wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW, iqra’ ialah lambang kepada ilmu pengetahuan. Kerana itu jugalah Allah SWT telah mengutus Rasulullah SAW untuk mentauhid, mengajar dan mendidik manusia melalui petunjuk al-Quran yang mengandungi pelbagai ilmu pengetahuan. Renungkan maksud firman Allah SWT menerusi surah al-Baqarah, ayat 151 yang dibacakan tadi:
“(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan kitab (al-Quran) serta hikmah kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.”
(Surah al-Baqarah, 2:151)
Al-Quran ialah tunjang pendidikan yang melahirkan tamadun manusia yang terbaik. Di zaman awal Islam memaparkan bukti dengan kemunculan tokoh-tokoh cendekiawan Islam seperti Abdullah bin Umar, Ibn Abbas, Abdullah bin Amr bin al-As, Anas bin Malik dan ramai lagi sahabat-sahabat yang lahir daripada hasil didikan dan tarbiah Rasulullah SAW sejak daripada mereka kecil.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Menuntut ilmu memerlukan usaha yang gigih, semangat yang kental, kesabaran yang tinggi, dan menggunakan masa yang banyak malah ia juga memerlukan dana yang mencukupi lebih-lebih lagi di peringkat yang lebih tinggi. Bahkan ia turut dianggap sebagai jihad dan menjadi satu ibadah yang membuahkan ganjaran pahala sebagai bekalan dan dipermudahkan menuju syurga. Imam Muslim meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Dan sesiapa yang menempuhi suatu jalan dengan tujuan mencari ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya jalan menuju ke syurga.”
(HR Abu Hurairah RA)
Keseimbangan ilmu duniawi dengan ukhrawi sangat penting untuk mendapatkan kehidupan yang sejahtera bukan sahaja di dunia, bahkan di akhirat. Islam sama sekali tidak meminggirkan ilmu-ilmu duniawi, malah menyeimbangkannya dengan ilmu-ilmu akhirat. Justeru, kerajaan telah menggubal dasar pendidikan arus perdana yang lebih komprehensif, holistik dan dinamik. Dalam mendepani cabaran di arus perdana hari ini, silibus sekolah agama dan swasta perlu bergerak lebih maju ke hadapan.
Kesejahteraan negara dan masyarakat mensyaratkan perubahan ke arah kemajuan dalam pendidikan sekolah agama bagi melahirkan masyarakat madani. Ia terangkum dalam usaha membangunkan Negara Madani iaitu negara yang rakyatnya maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan. Ia adalah usaha untuk membentuk masyarakat dengan menyemai nilai-nilai murni kekeluargaan.
Enam komponen utama iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan menjadi nilai penting untuk dihayati dan dijadikan panduan dalam pembangunan masyarakat dan negara. Semuanya bagi memastikan masa depan negara dan warganya terjamin serta terus berkembang maju.
Dalam aspek pendidikan Islam di negara kita, kita dididik mengenal agama di sekolah-sekolah rendah dan menengah, ada yang mengikuti pengajian tahfiz al-Quran, Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) dan pengajian-pengajian agama di berbagai peringkat sama ada rendah, menengah dan peringkat pengajian tinggi, yang telah memberi impak yang besar kepada pembangunan ummah dan negara sejak dari negara mencapai kemerdekaan.
Selain daripada ilmu-ilmu berteraskan Islam seperti akidah dan fekah, ilmu-ilmu kemahiran yang lain juga telah digabung dalam silibus pengajian agama seperti institusi-institusi yang menggabungkan dua aliran antara pendidikan tahfiz, pondok serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang bertujuan meningkatkan keboleh pasaran pelajar tahfiz dalam pelbagai bidang agar selari dengan perkembangan industri di negara kita.
Berdasarkan statistik semasa di Malaysia, terdapat kira-kira 1006 buah sekolah rendah agama negeri dan 715 buah sekolah rendah agama rakyat serta swasta bagi pengajian di peringkat sekolah rendah. Manakala bagi pengajian di peringkat menengah pula, terdapat kira-kira 60 buah sekolah menengah agama negeri dan 192 buah sekolah menengah agama rakyat serta swasta.
Bagi sekolah yang berasaskan tahfiz pula, terdapat kira-kira 17 buah maahad tahfiz negeri di seluruh negara dan 1193 buah maahad tahfiz swasta bagi aliran peringkat rendah dan menengah. Bagi sekolah yang mengamalkan sistem pengajian pondok pula, terdapat kira-kira 281 buah sekolah pondok atau madrasah di seluruh negara, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3464 buah institusi pendidikan agama yang sebahagian besarnya dibangunkan dan diusahakan oleh pihak swasta atau persendirian.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Dalam memastikan kejayaan pendidikan Islam di negara kita, masyarakat juga perlulah memainkan peranan yang penting dalam memberikan sokongan kepada kemajuannya. Antara bentuk sokongan yang boleh dilakukan ialah dengan berfikiran optimis terhadap pendidikan ini dan mengambil peluang dengan menghantar anak-anak untuk mengikuti pengajian yang disediakan, sekurang-kurangnya mereka dapat menguasai ilmu asas fardu ain, bukan sahaja mahir membaca dan menulis di dalam tulisan jawi serta mahir membaca al-Quran dengan baik tetapi dapat memahami agama dan mengamalkannya dengan baik.
Selain itu, antara bentuk sokongan yang boleh diberikan oleh masyarakat dalam membantu pengurusan sekolah-sekolah agama khususnya swasta dan persendirian ialah melalui pemberian sumbangan kewangan seperti bagi tujuan pengurusan dan pembangunan sekolah-sekolah tersebut.
Sumbangan dana juga dapat memastikan kebajikan para pelajar lebih-lebih lagi bagi sekolah swasta dan persendirian di kawasan-kawasan pedalaman dan terpencil dapat diuruskan dengan baik. Adalah sangat dialu-alukan jika sumbangan-sumbangan tersebut mendapat pengecualian cukai, namun ia memerlukan kajian oleh pihak-pihak yang terlibat.
Pengurusan sekolah yang cekap menjadi jaminan kelangsungan pendidikan agama Islam kepada para pelajar. Justeru, setiap dana yang disalurkan oleh kerajaan dan masyarakat mestilah diuruskan dengan jujur dan amanah, jauh sekali daripada perbuatan mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan.
Para pengusaha sekolah-sekolah swasta dan persendirian mestilah memastikan silibus pengajian yang ditawarkan menepati dasar Pendidikan Negara supaya anak-anak pelajar tidak ketinggalan dalam arus pendidikan negara.
Di samping itu, keperluan-keperluan pembelajaran mestilah dipenuhi dengan sebaiknya dan janganlah melakukan sebarang manipulasi kepada anak-anak seperti menggunakan mereka bagi tujuan kutipan derma dan sebagainya. Pengusaha sekolah pondok dan swasta juga bertanggungjawab menyediakan kerangka pendidikan yang lengkap agar kemenjadian anak-anak sebagai pelajar lepasan sekolah agama yang mempunyai ilmu, kemahiran, kelayakan dan kemampuan sebagai aset negara dapat dicapai dan mereka bersedia memenuhi semua kerangka dalam membangunkan negara dan masyarakat.
Semoga kita dapat melahirkan generasi pewaris negara yang memiliki ketinggian ilmu duniawi dan ukhrawi dalam memacu kecemerlangan negara di masa hadapan.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Rasulullah SAW diutuskan kepada manusia untuk mengajar dan mendidik mereka melalui petunjuk al-Quran yang mengandungi pelbagai ilmu pengetahuan merangkumi banyak aspek kehidupan.
Kedua: Keseimbangan ilmu keduniaan dan akhirat sangat penting untuk mendapatkan kehidupan yang sejahtera di dunia dan di akhirat.
Ketiga: Setiap anggota masyarakat perlu memainkan peranan dalam menyokong dan menggalakkan institusi-institusi pendidikan Islam agar ia dapat terus berkembang dan memacu kecemerlangan.
Mengakhiri khutbah, renungkan bersama firman Allah SWT menerusi surah al-Hajj, ayat 54 yang bermaksud :
“Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhinya; dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus.”
(Surah Al-Hajj 22:54)
Tarikh Dibaca: 27 Jamadilakhir 1444H/20 Januari 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a Reply