Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Abu Dzar al-Ghifari RA yang bermaksud:
“Wahai Abu Dzar:
1. Perbaikilah perahu kamu kerana lautan sangat dalam.
2. Ambillah bekalan yang banyak kerana perjalanan sangat jauh.
3. Kurangkanlah bebanan kamu kerana jalan sangat terjal.
4. Ikhlaslah ketika beramal kerana yang menilai baik dan buruk ialah Zat Yang Maha Melihat.”
(HR Abu Dzar al-Ghifari RA)
Perbaharuilah niat, setelah memperbaiki niat kesemua amal perbuatan dan segera meninggalkan perbuatan buruk untuk meraih pahala supaya terhindar dari seksa Allah.
Khalifar Umar RA pernah menulis surat kepada Abu Musa RA: “Barang siapa yang niatnya tulus, Allah SWT akan mencukupkan keperluannya kepada Allah dan kepada manusia.”
Salim bin Abdullah bin Umar bin Khattab RA juga pernah menulis surat kepada khalifah Umar bin Abdul Aziz: “Ketahuilah Umar, pertolongan Allah kepada hamba-Nya bergantung kepada niat. Jika niat seorang hamba tulus, maka sempurnalah pertolongan-Nya. Namun jika, niat seorang hamba tidak tulus, pertolongan Allah SWT padanya juga akan berkurangan hanya sebatas niatnya sahaja.”
Ikhlas beramal bererti menganggap kesemua amal dalam pantauan Allah SWT. Abu Sulaiman ad-Darani pernah berkata: “Sungguh beruntung orang yang dalam setiap langkahnya mengharap reda Allah.”
Ungkapan beliau petik daripada sabda Nabi Muhammad SAW yang ditujukan kepada Mu’az RA:
“Beramallah dengan ikhlas kerana meskipun amal itu kecil, pahalanya akan mencukupkanmu.”
(HR Mu’az RA)
Seorang penyair berkata:
“Seorang manusia wajib bertaubat
tetapi meninggalkan dosa lebih wajib
Sabar menghadapi musibah itu berat,
tetapi lebih berat lagi jika kehilangan pahala sabar
Perubahan zaman itu, suatu perkara yang menakjubkan,
tetapi kelalaian manusia jauh lebih menghairankan
Setiap harapan kadang-kadang terasa dekat,
tetapi kematian itu jauh lebih dekat.”
Diriwayatkan daripada Anas RA: “Pada suatu hari, Rasulullah SAW keluar rumah, sambil berganding tangan dengan Abu Dzar. Baginda SAW bersabda,
“Wahai Abu Dzar, tahukah kamu, di hadapan kita ini ada rintangan yang amat terjal dan tidak mudah didaki, kecuali oleh orang-orang yang bebannya ringan?”
Lantas ada seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah, aku termasuk orang yang bebannya ringan ataukah yang berat?”
Baginda SAW bertanya kembali: “Apakah kamu mempunyai makanan untuk seharian?”
Lelaki tadi hanya menjawab: “Ada.”
Rasulullah SAW bertanya lagi: “Apakah kamu memiliki makanan untuk hari esok?”
Dia menjawab: “Ada.”
Lantas Baginda SAW bertanya lagi: “Apakah kamu memiliki makanan untuk hari lusa.”
Dia menjawab: “Tidak ada.”
Lalu Baginda SAW bersabda: “Jika kamu mempunyai makanan untuk jatah sampai tiga hari kemudian, kamu termasuk orang-orang yang bebannya berat.”
(HR At-Thabrani dan Al-Baihaqi)
Sumber: Nashaihul ‘Ibad
Leave a Reply