CATATAN PENCINTA KOPI – Monotoni Menuju Ilahi

Oleh: AJ

Pernah menonton filem Groundhog Day dibintangi Bill Murray di mana watak utamanya, Phil Connors, terperangkap di dalam gelung masa dan perlu melakukan perkara yang sama, setiap hari selama bertahun-tahun lamanya sehingga beliau melakukan perkara yang betul?  

Kehidupan seorang mukmin itu sebenarnya persis Groundhog Day. 

Setiap kali mata terjaga selepas diulit mimpi, seorang mukmin itu harus segera bangkit untuk menunaikan tanggungjawabnya kepada pencipta, melapor diri, mengakui kebesaran Allah Azza Wa Jalla, menerima hakikat bahawa dirinya itu hanyalah seorang ibād, seorang hamba yang menyerahkan segalanya kepada Al-Rabb yang satu, memohon nikmat dan rahmat kehidupan dari Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, sebelum dia meneruskan kehidupan sehariannya, kekal berada di landasan yang digariskan.

Kehidupan seorang mukmin itu harus teguh berdisiplin, penuh kawalan diri, kuat kawalan emosi, stabil dan tidak harus diganggu gugat oleh elemen persekitaran yang sifatnya mengasyikkan, melekakan dan melalaikan. Seorang mukmin itu tidak boleh beralasan kerana manual kehidupan baik yang dituntut itu telah diturunkan dan diperjelaskan melalui Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. 

Setiap hari, mukmin itu perlu berpesan-pesan kepada kebaikan, berpesan-pesan dengan kesabaran.

Apabila tibanya waktu-waktu melapor diri kepada Ilahi, seorang mukmin itu tidak harus berlengah, mengetahui hakikat bahawa Tuhannya tidak sekelumitpun memerlukan ibadahnya itu, tetapi kehidupan dia itu keseluruhannya bergantung kepada Ar-Rahman, Yang Maha Pemurah.

Rezekinya, kesihatannya, bahagianya, deritanya, amalannya, wai’ma doanya perlu disandarkan kepada Tuhan Yang Maha Esa untuk membenarkan dia berdoa kepada-Nya. 

Setiap langkahnya, perbuatannya, pandangannya, pendengarannya, tuturkatanya, gerak langkahnya, gerak hatinya, seorang mukmin itu perlu sedar bahawa Allah itu memerhati. Tiada apa yang terlepas dari radar dan catatan Yang Maha Kuasa, walau sekelumit pun kebaikan atau kejahatan, segalanya dirakam, direkod dengan perincian yang hebat.

Hanya taubat yang datang dari hati yang benar-benar insaf sahaja mungkin mampu memadamkan rekod-rekod dosa jelik yang ada, itupun dengan keizinan Tuhan Yang Maha Pengampun, Al-Ghaffar. Lantas, manusia itu setiap harinya perlu merayu agar rekod kehidupannya disunting agar kurang cacat dan celanya.

Setiap hari kehidupan mukmin itu ialah monotoni menuju Ilahi. 

Kalau begitu di manakah keseronokan menelusuri kehidupan? Lelah bertahun-tahun beribadat dan kemudiannya disimpan 6 kaki di bawah bumi? 

Hakikatnya, seorang mukmin itu perlu jelas bahawa kebahagiaan itu ialah mengetahui bahawa destinasi yang ingin dituju itu, lokasinya bukan di sini, dan bahawa sesungguhnya dia telah melakukan persiapan untuk ke alam yang kekal itu dengan sedaya upayanya ketika dia punya usia. 

Dan akhirnya, walaupun setelah beristiqamah di sepanjang hayatnya, setiap jiwa mukmin itu mengharapkan belas kasihan Tuhannya, agar dia diberi kebenaran untuk menikmati kehidupan seterusnya di alam kekal serba magikal di syurga Firdausi.    

~~~    

Dapatkan Buku-Buku karya Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di sini:

                                   

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: