Oleh: Norana Johar
Pengurusan mikro ini melibatkan pengurus yang tidak memberi kebebasan kepada kakitangannya untuk melakukan tugasan mereka. Pengurus mikro selalunya akan mengawal setiap langkah pekerjanya dengan memberi teguran bagaimana tugasan itu boleh dilakukan dengan lebih baik, mengikut cara dia. Sekiranya tugasan tidak dilakukan seperti cara yang dia kehendaki, mungkin tugasan itu tidak lengkap dan perlu diperbaiki.
Pengurus yang baik akan membantu kakitangan untuk berkembang dan menjadi penyumbang syarikat yang lebih baik; manakala pengurus yang tidak digemari akan membantutkan perkembangan kakitangan dan merencatkan pembangunan individu.
Rata-rata tiada pengurus yang mengakui bahawa dia mengamalkan pengurusan mikro. Bagi mereka inilah pengurusan, dalam memastikan tugasan disempurnakan mengikut penanda aras yang dia tentukan. Jadi, jika kakitangan tidak patuh kepada arahan serta langkah yang telah dia tetapkan, bagaimanakah kecemerlangan itu dapat dicapai?
Apa yang gagal dilihat oleh ramai pengurus sebegini ialah kesan pengurusan mikro terhadap kakitangannya. Mungkin benar pengurusan mikro ada kebaikannya, tetapi percayalah bahawa keburukan itu lebih mudarat.
Kebaikan Pengurusan Mikro
Pengurusan mikro ini mungkin membantu kakitangan untuk mengenali halatuju, objektif tugasan mereka dengan lebih baik. Jika pengurus sering menegaskan bagaimana tugasan itu perlu dilaksanakan, kakitangan tidak perlu bimbang sama ada mereka berada di landasan yang betul dan tidak. Ini adalah lebih baik berbanding dengan pengurus yang tidak cakna terhadap kakitangannya, dan menyebabkan seluruh pasukan keliru tentang apa yang perlu dicapai mereka.
Dari sudut pandang pengurus pula, pengurusan mikro memastikan bahawa tugasan dapat dilakukan dengan baik dan mana-mana kesilapan, jika dilakukan, dapat diperbetulkan dengan pantas tanpa mengganggu perjalanan projek dan garis masa yang telah ditetapkan.
Manakala bagi kakitangan, apabila mengetahui bahawa pengurus mereka sentiasa memerhati dan memberi maklumbalas di setiap peringkat, dia tidak perlu terlalu risau dalam melakukan sesuatu projek yang ditugaskan kerana kalau salah, pengurus mesti akan betulkan.
Keburukan Pengurusan Mikro
Walaupun begitu, pengurusan mikro ini juga mampu memberi impak negatif kepada para pekerja apabila pengurus sentiasa memerhati setiap pergerakan mereka dan mengganggu proses kerja. Sebagai contoh, pereka grafik selalunya mempunyai proses tersendiri dalam menghasilkan sesuatu karya. Sekiranya pengurus asyik memberi komen di sepanjang proses, ini akan melemaskan dan membunuh kreativiti. Lebih teruk apabila pengurus sentiasa berada di belakang mereka dan memberi arahan secara berterusan. Ini tentu sekali melemaskan dan pereka grafik merasakan mereka tiada ruang untuk berkarya.
Pekerja tentu sekali akan terasa rimas apabila kerja yang dilakukan sentiasa mendapat kritikan dan semuanya perlu dilakukan mengikut cara pengurus. Jika setiap proses perlu dilakukan mengikut cara ketua mereka, kerja yang satu perlu dilakukan dua tiga kali untuk sampai kepada piawaian yang ditetapkan pengurus. Ini membantutkan produktiviti kakitangan.
Lebih daripada itu, pengurusan mikro ini menjadikan perlaksanaan tugasan itu menjengkelkan dan membuatkan kakitangan berasa tidak seronok untuk bekerja. Apabila pekerja merasakan dirinya tidak diyakini dan hasil kerjanya pasti akan ditegur oleh pengurus di setiap peringkat, penglibatan pekerja akan terbantut dan ini akan mewujudkan perhubungan yang tidak sihat di antara pengurus dan pekerja.
Mungkin pengurus tidak menyedari betapa terkesannya pekerja dengan cara pengurusan mikro ini, tetapi untuk jangkamasa panjang, ini akan menyebabkan kakitangan kecewa dan tidak berpuashati kerana dia tahu di akhir tugasan, semuanya ialah hasil buah fikiran dan kritikan pengurus dan bukannya hasil usaha diri dia sendiri.
Selalunya stail pengurusan mikro ini akan menyebabkan ramai pekerja berhenti kerana tidak tahan dengan kritikan berterusan yang diterima daripada pengurus. Tiada siapa yang mahu bertugas dalam keadaan ‘bodoh’ dan perlu sering dipimpin.
Dan sekiranya pengurusan mikro ini berterusan, ia bukan sahaja akan memberi impak kepada pekerja, malahan ianya akan memberi kesan buruk kepada pengurus itu sendiri.
Pengurus tidak akan dapat membina keyakinan ke atas pasukannya kerana dia sering merasakan mereka akan gagal tanpa bantuan daripadanya. Dia akan risau jika membiarkan pekerjanya melakukan sesuatu tugasan itu sendiri tanpa pemerhatiannya dan ini akan menambah tekanan kepada diri dan tidak mampan. Apabila tekanan memuncak, konflik di pejabat akan tercetus dan ini adalah sesuatu yang perlu dielakkan.
Pengurus Yang Seimbang
Memberi halatuju, membuat penambahbaikan kepada kerja-kerja kakitangan itu adalah pengurusan yang baik tetapi untuk memerhatikan setiap langkah mereka tanpa gagal adalah kegilaan.
Apabila seorang kakitangan itu diterima bekerja setelah ditemuduga, ini bermakna kakitangan tersebut layak untuk menjawat jawatan tersebut dan melakukan tugasan yang disenaraikan. Jika terdapatnya kekurangan, syarikat dan pengurusan perlu membimbing dengan menawarkan kursus-kursus yang berkaitan.
Kerja mengurus itu tidak mudah kerana keseluruhan tanggungjawab itu terletak di atas bahu pengurus. Namun begitu, ini tidak bermakna pengurus perlu mencengkam dan memastikan agar setiap pekerjanya tidak melakukan kesalahan langsung dan terus-menerus perlu mengikut cara dia. Yakin dan percaya kepada kebolehan pekerja itu perlu ada dan kesilapan yang kadang-kadang terjadi itu merupakan cara untuk pekerja maju dan menjadi penyumbang yang lebih baik.
Pengurus yang baik itu perlu memberi kebebasan untuk kakitangannya melakukan tugasan dan membuka ruang untuk mereka berbincang sekiranya terdapat kekeliruan atau pertanyaan. Pekerja perlu selesa untuk berkhidmat dan tidak berasa ditekan dan tertekan oleh pengurus. Kakitangan yang berasa sumbangan mereka diperlukan dan dihargai adalah lebih bernilai kepada syarikat kerana kakitangan ini akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan yang terbaik setiap masa untuk pengurus dan syarikatnya.
Tentang Penulis: Mempunyai Ijazah Psikologi Sains dari Indiana University, Amerika Syarikat dan pernah berkhidmat selama lebih 2 dekad menerajui bahagian penjualan, pemasaran dan operasi produk antarabangsa, dan telah berurusan dengan ramai kakitangan yang mengalami cabaran demi cabaran dalam kerjaya.
Leave a Reply