Oleh: Ida Natasha
Percaya atau tidak, terdapat banyak kajian yang dibuat oleh universiti di seluruh dunia tentang kesan leteran kepada pasangan. Penyelidik Denmark dari University Copenhagen menyimpulkan bahawa pasangan yang gemar berleter memendekkan jangka hayat pasangan yang seorang lagi, dan menyebabkan kadar kematian meningkat 3 orang daripada 100 orang setiap tahun. Dan, kebanyakan ‘mangsa’ leteran ialah daripada kalangan lelaki.
Namun, terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa leteran pasangan boleh mengurangkan risiko untuk menghidap penyakit kencing manis. Kajian seluruh negara yang dipacu oleh seorang profesor sosiologi Universiti Michigan State menunjukkan bahawa lelaki yang sering dileter mempunyai risiko yang lebih rendah untuk menghidap diabetes dan peluang yang lebih tinggi untuk mendapat rawatan yang berjaya jika mereka menghidapnya. Ini kerana, isteri mereka tidak berhenti berleter dan untuk mengurangkan leteran yang diterima, mereka menurut sahaja apa yang isteri sarankan.
Hakikatnya semua orang boleh berleter tetapi leteran ini juga ada beberapa cara. Secara amnya terdapat 3 jenis leteran:
Leteran Akibat Bimbang – Ramai di antara kita yang meleteri orang yang kita sayangi kerana bimbang tentang sesuatu perkara, samada tentang masalah yang sedia ada atau perkara yang kita takuti terjadi. Sebagai contoh, suami yang suka merokok, yang tidak suka minum air, yang minum banyak gula, dan sebagainya.
Leteran Kritis – Leteran jenis ini meletus apabila pasangan telah melakukan apa yang disuruh tetapi tidak berpuas hati dengan hasil kerja tersebut. Sebagai contoh, isteri telah meminta suami mop rumah tetapi rumah menjadi basah kuyup kerana suami tidak perah kain mop dengan baik. Apabila perkara ini terjadi, isteri berleter untuk menyatakan ketidakpuashatian tentang kerja yang telah suami lakukan. Atau isteri meminta suami menukar baju anak tetapi baju yang dipilih tidak bersesuaian dengan apa yang isteri jangkakan. Lantas, si isteri berleter tentang perkara itu. Suami juga tidak kurang juga leterannya jika isteri tidak memenuhi keperluan yang dijangkakan.
Leteran Ganas – Leteran ganas ini ialah leteran yang menyebabkan penderaan emosi. Ini terjadi apabila pasangan dengan tanpa segan silu memalukan atau menyalahkan dengan penuh penghinaan dan tiada rasa hormat. Tidak kiralah siapa yang hadir di keliling mereka, leteran ganas ini akan memudaratkan perhubungan dan individu.
Namun begitu, walau apa pun jenis leteran, pasangan disaran agar mengurangkan berleter dan kalau boleh, buang sahaja sifat ini daripada perhubungan, kerana, ianyanya meletih dan merimaskan.
Sebaliknya lakukan langkah-langkah ini untuk memperbaiki hubungan.
Langkah 1: Belajarlah untuk sabar dan tambah tapisan dalam diri
Ada banyak cara yang lebih kreatif yang boleh digunapakai selain berleter. Jika sikap pasangan itu sudah terbentuk sepanjang dia hidup, leteran kita tidak akan mengubahnya semudah itu. Jika dia suka minum air banyak gula, kurangkanlah gulanya. Biar dia pula yang merungut kerana air kurang manis. Jika rokok menjadi masalah, bincang dengan dia bagaimana dia boleh kurangkan merokok. Bukan sahaja lebih baik untuk kesihatan, ia juga boleh menambah bajet keluarga. Sebenarnya berbincang itu lebih efektif berbanding berleter. Bawa-bawa berbincang berbanding berleter. Komunikasi yang baik akan menghasilkan kesan yang lebih baik, insyaAllah.
Langkah 2: Belajar untuk sedar diri dan berubah untuk kebaikan
Pasangan yang sering dileteri pula boleh membuat perubahan untuk mengurangkan kadar leteran atau menamatkannya sekali gus. Lebih bijak, jangan dibenarkan leteran ini bermula dari awal perhubungan. Fokus kepada berbincang lebih daripada berleter. Kalau tidak dapat berubah secara mendadak, berubah sedikit-sedikit. Usaha anda itu pasti akan dihargai pasangan dan ini akan mengurangkan kadar leteran. Atau, anda usahakanlah satu perjanjian di mana kalau saya begini, awak berhentilah berleter!
Langkah 3: Janganlah Jadi Perfectionist
Kita kena sedar bahawa setiap orang itu mempunyai kelemahan. Jika kita jengkel dengan perangai dia, dia juga begitu dengan perangai kita. Yang membezakannya ialah satu orang vokal dan satu lagi memendam rasa. Ajar diri untuk tutup sebelah mata dan menerima kekurangan pasangan kita. Yang mana kita boleh betulkan tanpa berleter, lakukan sahaja. Berusahalah untuk menerima dia seadanya dan bukan menjadi kaunselor yang tak habis-habis ingin mengubah pasangan kita.
Langkah 4: Jadilah Kreatif untuk Mencari Bahagia
Kalau kita kata kita sayang pasangan kita, lakukan apa yang terbaik agar semuanya terpelihara, terjaga. Jika dia seorang yang cenderung untuk mendapat sakit kencing manis, pastikan dietnya terjaga. Tidak perlu kita leteri dia, potong sahaja apa yang dia tidak boleh makan. Orang lelaki selalunya tidak banyak ragam tentang perkara ini. Jika dia tidak suka minum air, kita belikan dia botol air dan masukkan air supaya dia senang capai dan minum pada bila-bila masa. Selain berleter, fikirkan cara kreatif apa lagi yang kita boleh buat untuk memperbaiki keadaan kerana berleter is so passé.
Berleter bukan solusi kepada permasalahan keluarga atau pasangan kita lebih-lebih lagi leteran ganas yang boleh membawa kepada permusuhan dan kebencian. Tapis apa yang ingin keluar dari mulut kita untuk kemaslahatan seluruh keluarga.
Leave a Reply