Teks Khutbah Jumaat: Wilayah Sejahtera, Masyarakat Bahagia

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya. Mudah-mudahan kita semua beroleh kerahmatan dan keberkatan dalam kehidupan di dunia hingga akhirat.

Bersempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan kali ke-19 dan tahun ke-49 penubuhan Wilayah Persekutuan, khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: “Wilayah Sejahtera, Masyarakat Bahagia”.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Setiap manusia mendambakan kemakmuran dan kesejahteraan hidup di kediaman dan komunitinya. Usaha untuk mengisi dan mengekalkan kemakmuran dan kesejahteraan merupakan suatu cabaran yang besar. Allah SWT telah memberikan panduan kepada orang yang beriman terutama mereka yang menjadi ketua dan pemimpin negara untuk membentuk sebuah kepimpinan dan pemerintahan yang adil, telus dan membawa kebaikan kepada rakyat. Inilah ciri-ciri kepimpinan yang baik sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Hajj, ayat 41 yang dibacakan tadi yang membawa maksud:

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

(Surah al-Hajj 22:41)

Ayat tersebut menjadi asas kepada pemimpin dalam mengatur pemerintahan dan merancang pembangunan negeri yang seimbang dan stabil dalam aspek sosio-budaya, ekonomi dan kaum dalam mencapai kesejahteraan hidup bermasyarakat. Pengisian sesuatu kepimpinan dan pemerintahan mestilah adil dan seimbang dalam memberikan hak-hak yang selayaknya kepada penduduk tanpa mengabaikan pemeliharaan terhadap alam sekitar.

Oleh itu, tema “Wilayah Persekutuan Untuk Semua” dipilih bertujuan menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai aspirasi kepada semua dengan membawa imej komuniti bandar madani yang sarat nilai perpaduan, kesefahaman dan kekitaan di samping melambangkan nilai muafakat yang didokong oleh semua warga tanpa mengira latar bangsa, kaum dan agama.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Adalah menjadi tanggung jawab semua warga Wilayah Persekutuan untuk menjaga dan memelihara kedaulatan, keharmonian dan pembangunan ekonomi supaya kemakmuran hasil bumi ini dapat dikongsi dan diagihkan secara saksama dan dalam masa yang sama kebajikan rakyat yang kurang bernasib baik dapat dibela sebaiknya. Dalam menghadapi cabaran ekonomi yang semakin getir, semua pihak mestilah mengamalkan pengurusankewangan yang berhemah.

Perancangan kewangan yang bijak menjadi pemangkin kepada pengukuhan ekonomi bagi keluarga, syarikat, pusat pentadbiran negeri dan lain-lain. Sebagai umat Islam, kita sebolehnya memainkan peranan untuk memastikan kelestarian kesejahteraan di Wilayah melalui penerapan nilai-nilai murni yang didasari dengan aspek peningkatan ilmu, integriti, ketekunan, istiqamah melakukan kebaikan dan kebajikan serta ikhlas menunaikan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara bagi menjayakan visi Malaysia Madani.

Sememangnya kita mengimpikan negeri ini dan seluruh negara sentiasa bergerak ke arah yang terbaik dalam semua aspek seperti pembangunan, ekonomi, perpaduan kaum dan kestabilan politik. Dalam masa yang sama, kebajikan warganya sentiasa menjadi keutamaan.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Matlamat utama yang hendak dicapai ialah supaya bandar raya Kuala Lumpur yang merupakan ibu negara menjadi bandar raya komersial bertaraf antarabangsa dan kosmopolitan, Putrajaya sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan bandar pintar serta Labuan sebagai pusat kewangan antarabangsa dan pulau bebas cukai yang mampu bersaing untuk menjulang nama Malaysia di persada dunia.

Menyedari cabaran ekonomi pada masa kini yang kian kritikal dan menghimpit rakyat, pengisian program-program Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2023 memberi fokus kepada program-program kesejahteraan dan kebajikan yang berterusan kepada golongan B40 dan miskin di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan. Di samping itu, aspek pendidikan anak-anak golongan B40 dan asnaf turut mendapat perhatian melalui pelaksanaan program kelas tambahan di peringkat sekolah rendah dan menengah dengan mensasarkan anak-anak yang menetap di Projek Perumahan Rakyat atau Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Di antara program-program lain turut dianjurkan ialah:

  • Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan
  • Program Mucang-Mucang Se-Wilayah iaitu program gotong-royong di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan
  • Program Baiti Jannati@Wilayah Persekutuan iaitu program pemilikan unit kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) secara percuma kepada kumpulan sasar seperti asnaf, miskin tegar dan orang kelainan upaya (OKU).
  • Program Jualan Rakyat MyGrocer@Wilayah turut diadakan untuk menjual barangan keperluan dan makanan asas pada harga subsidi
  • Program Derma Darah sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2023 bertujuan untuk meningkatkan kesedaran berkaitan kepentingan serta manfaat menderma darah.
  • Program Formasi Muzikal Air Wilayah Persekutuan turut dianjurkan bagi menerapkan nilai kasih sayang melalui aktiviti riadah berkeluarga di samping dapat memajukan sektor pelancongan.

Dalam usaha menerapkan penghayatan Islam kepada masyarakat, program-program dan aktiviti-aktiviti keagamaan turut dianjurkan di masjid-masjid dan surau-surau di sekitar Wilayah Persekutuan antaranya ialah program Bacaan Yaasin dan Solat Hajat, Qiyamullail, Ihya’ Subuh, ceramah khas, forum hal ehwal Islam, kuliah dhuha muslimat, kuliah subuh khas, kayuhan dakwah dan lain-lain sebagai usaha agar Wilayah-Wilayah Persekutuan sentiasa diberkati dan dirahmati Allah SWT.

Kita mengharapkan program-program yang dilaksanakan dapat mencapai objektif penganjurannya demi mengukuhkan semangat perpaduan, kesejahteraan dan kebajikan agar warga Wilayah Persekutuan sentiasa harmoni, prihatin, maju dan sejahtera. 

Bersama-samalah kita merenungkan hadis riwayat Imam Muslim, daripada Abu Sa‘id al-Khudri RA, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 

“Sesungguhnya dunia ini menawan lagi menghijau, dan sesungguhnya Allah SWT menyerahkan urusan dunia ini kepada kamu semua. Lalu Dia akan melihat bagaimana kamu melakukannya.”

Sebagai warga Wilayah Persekutuan, di samping kita bersama-sama memperkukuhkan taraf ekonomi, kita juga bertanggungjawab memperlihatkan dan mempamerkan nilai-nilai dan akhlak yang mulia berasaskan minda kelas pertama dengan mematuhi segala peraturan dan undang-undang serta menjadi warga yang saling menyantuni di antara satu sama lain.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Allah SWT telah memberikan panduan kepada orang yang beriman terutama mereka yang menjadi pemerintah dan pemimpin negara untuk membentuk sebuah kepimpinan dan pemerintahan yang adil, telus dan membawa kebaikan kepada rakyat.

Kedua: Suburkan perpaduan sesama kita walau berbeza bangsa, agama dan budaya serta amalkan budaya saling memberi dan saling membantu kepada mereka yang sangat memerlukan pertolongan.

Ketiga: Jadilah warga Wilayah Persekutuan yang saling menyantuni, berperibadi mulia dan patuh kepada peraturan dan undang-undang sebagai warga yang mempunyai pemikiran kelas pertama.

Mengakhiri khutbah, renungkan bersama firman Allah SWT menerusi surah al-Baqarah, ayat 58 yang bermaksud: 

“Dan (kenangkanlah) ketika Kami berfirman, masuklah
kamu ke bandar ini, kemudian makanlah dari benda-benda yang ada di
dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu sukai. Dan
masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah diri) dan
(mintalah ampun dengan) berkata: “Ya Allah, ampunilah dosa kami.” Supaya
kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambah pula
pahala orang-orang yang berbuat baik.”

(Al-Baqarah 2:58)

Tarikh Dibaca: 12 Rejab 1444H/3 Februari 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: