Asmaul Husna yang ke-50 ialah Al-Ba’its yang bermaksud Tuhan Yang Menghidupkan Semula. Semua manusia di akhirat kelak setelah semuanya dimatikan dengan peristiwa kiamat. Mereka akan dibangkitkan di padang Mahsyar untuk menjalani kehidupan yang kekal dan menerima balasan amal.
Sama ada memasuki syurga atau dicampakkan ke dalam neraka, segalanya akan bergantung kepada apa yang telah manusia lakukan semasa hidup di dunia ini. Syurga merindui mereka yang bertakwa dan sentiasa patuh kepada Allah SWT, manakala neraka pula menanti penuh amarah mereka yang kufur dan ingkar terhadap Allah SWT.
Termasuk juga dalam erti kata Al-Ba’its iaitu Tuhan yang menghidupkan semula hati yang mati. Dalam erti kata hati yang keras yang tidak bersedia menerima Allah SWT boleh disifatkan sebagai hati yang mati. Apabila hati itu dihidupkan semula oleh Allah SWT daripada hati yang keras seperti batu, bertukar menjadi hati yang lembut hingga imannya kembali subur, semua itu adalah atas sifat Allah SWT yang bernama Al-Ba’its.
Justeru itu, manusia mesti berusaha menyuburkan hati dengan menambah ilmu tauhid dan akidah serta beramal dengannya, supaya semakin subur keimanan mereka kepada Allah SWT. Bahkan juga semakin mendalam keimanan terhadap hari akhirat. Dengan demikian akan meningkat amalan mereka berdasarkan ilmu yang dikuasai.
Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a Reply