Daripada Anas R.A bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud;
“Setiap harta yang dinafkahkan itu kesemuanya dikira fisabillah kecuali harta yang dibelanjakan untuk membina rumah, tiada kebajikan padanya.”
(HR Anas RA)
Berdasarkan hadis tersebut, sudah nyata bahawa setiap ringgit yang dinafkahkan merupakan kebajikan yang tidak boleh dipertikaikan, sama ada ia dibelanjakan untuk memberi makanan, pakaian, pelajaran untuk anak-anak dan juga keluarga, ia dianggap sebagai berbelanja ke jalan Allah S.W.T. Apatah lagi jika harta itu didermakan untuk meninggikan dan memperjuangkan agama Allah S.W.T. Yang demikian amatlah nyata sebagai usaha fisabilillah.
Bagaimanapun dalam hadis tersebut, Rasulullah S.A.W menyifatkan bahawa harta yang dibelanjakan secara habis-habisan untuk membina rumah dianggap sebagai tidak ada kebajikan.
Sesungguhnya rumah adalah keperluan hidup manusia. Lantaran itu, memenuhi keperluan tersebut sebagai ikhtiar manusia untuk berlindung daripada panas dan hujan tidaklah bercanggah dengan Islam. Bagaimanapun manusia dijadikan oleh Allah S.W.T ibarat singgah sejenak di dunia dalam perjalanannya menuju destinasi kehidupan yang sebenar iaitu akhirat. Oleh sebab manusia diciptakan bukan untuk menjadi warga dunia untuk selamanya, maka sudah pasti keperluan rumah itu mestilah disesuaikan dengan tujuan sebenar hidup manusia yang diciptakan untuk berbakti kepada Allah SWT.
Sifat manusia yang sering lalai merasakan bahawa kehidupan di dunia begitu abadi buat dirinya. Lantaran itu, sebahagian besar daripada kalangan manusia telah berusaha mengumpul wang ringgit, berbelanja habis-habisan untuk membina rumah kediaman bagai mahligai dengan bahan binaan yang mahal, batu marmar bernilai tinggi yang diimport daripada luar negeri. Dibina tembok berlapis untuk memagari rumah besar mereka serta pintu pagar elektronik yang canggih, bukan sekadar penceroboh sukar memasukinya malah tetamu pun tidak mudah untuk singgah.
Lazimnya rumah besar seperti itu agak sulit bagi menawarkan sebarang khidmat untuk golongan fakir miskin, jauh sekali untuk meraikan golongan malang untuk singgah, bagi memberi peluang mereka berteduh menghilangkan rasa lapar atau untuk mengadukan pelbagai masalah kerana tembok rumah besar itu menyulitkan mereka menjengukkan wajah. Mungkin sekali dalam setahun orang boleh singgah ke rumah jenis ini, apabila ada pengumuman ‘rumah terbuka’ pada hari raya.
Walaupun rumah itu mempunyai ruang dewan yang cukup luas, namun belum pasti menjanjikan ruang bagi aktiviti keagamaan seperti majlis kuliah dan seumpamanya. Mungkin dia tidak gemar dirinya disinggung kerana wang berjuta yang dilabur untuk membina mahligai itu bukanlah daripada perbendaharaanya sendiri. Sebaliknya bergantung dengan ihsan bank. Dia tidak senang jika soal riba mungkin dibangkitkan dalam kuliah-kuliah tersebut.
Itulah jenis rumah yang tidak mendatangkan kebajikan kepada pemiliknya. Malah mungkin ia akan menjadi beban tertanggung apabila tiba hari perhitungan di padang Mahsyar kelak.
Wang yang dibelanjakan untuk pembinaan rumah seperti itu dianggap wang yang telah mati dan tidak dapat dikembangkan.
Apabila Rasulullah S.A. W menjelaskan bahawa harta yang dibelanjakan untuk pembinaan rumah itu tidak berkebajikan, bukan bererti semua rumah tidak dapat dimanfaatkan. Jika rumah digunakan untuk tujuan yang makruf selain daripada keperluan, tetapi juga untuk memberikan penginapan kepada rakan taulan yang memerlukan atau mengadakan jamuan bagi mengeratkan silaturrahim antara jiran tetangga dan anggota masyarakat. Apatah lagi jika digunakan untuk majlis ilmu dan tazkirah bagi membentuk masyarakat Islam yang baik, sudah tentu memberikan kebajikan kepada pemiliknya.
Kesederhanaan dalam menyediakan tempat tinggal walaupun dia seorang pemimpin, adalah lebih menepati kehendak Islam. Lihatlah Umar bin Abdul Aziz, seorang khalifah yang mempunyai kehidupan empayar kerajaan Islam yang besar. Kematiannya telah diratapi oleh King Charles, raja Perancis yang hidup sezaman dengan beliau. King Charles memujinya dan menganggap Umar sebagai seorang pembesar Islam negara yang patut dicontohi.
Menurut King Charles, meskipun Umar bin Abdul Aziz memiliki kerajaan yang besar, menguasai perbendaharaan negara, namun kehidupannya amat sederhana. Beliau tidak memiliki istana, hanya rumah biasa seperti rumah yang dimiliki oleh rakyat biasa yang miskin. Beliaulah sebenar-benar ulama dan pembesar negara. Demikian menurut King Charles ketika mengulas kematian Umar bin Abdul Aziz.
Sebenarnya Islam menganjurkan setiap orang yang beriman agar mereka sentiasa berusaha menghindari sesuatu yang tidak mendatangkan sebarang manfaat buat dirinya, lebih-lebih lagi perkara yang mendatangkan bencana besar di akhirat, seperti pembinaan rumah atau pembelian yang berasaskan riba.
Sumber: Taqwa oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a Reply