Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan menjunjung dan melaksanakan segala perintah-Nya serta meninggalkan segala yang larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan takwa yang kita bangunkan, kehidupan kita akan menjadi lebih baik, diberkati dan dilimpahi rahmat Allah SWT.
Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: “Ibrah Musibah Menyubur Keinsafan”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kehidupan di dunia ini hanyalah sementara, kehidupan di akhirat itulah yang abadi dan kekal selamanya. Dunia ini adalah medan ujian sama ada kesenangan mahupun kesusahan untuk menentukan sejauh mana tahap keimanan dan kesabaran manusia ketika mengharunginya.
Pelbagai bentuk ujian ditimpakan kepada manusia sama ada dengan kelaparan, kesusahan hidup, bencana alam dan lain-lain lagi sebagai menguji sejauh mana kita meletakkan pergantungan dan keredaan kepada Allah SWT.
Renungkan firman Allah SWT menerusi surah al-Baqarah ayat 155 yang dibacakan tadi yang bermaksud :
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
(Al-Baqarah 2: 155)
Tiada siapa yang dapat menduga dan meramal tanggal 6 Februari 2023, para penduduk di Selatan Turkiye dan Utara Syria digegarkan dengan kejadian gempa bumi yang dahsyat berskala 7.8 magnitud yang telah mengorbankan kira-kira hampir 8000 orang dan jumlah korban tersebut dijangka terus meningkat. Dalam sekelip mata, gempa bumi ini telah memusnahkan, melenyapkan dan meruntuhkan bangunan-bangunan, menjadikan suasana yang tenang ketika itu bertukar menjadi huru hara dengan hiruk pikuk jeritan manusia dan suara tangisan meminta pertolongan. Sungguh tidak dapat dibayangkan, kejadian ini memberikan gambaran kepada kita bahawa kiamat itu benar dan pasti akan berlaku dengan lebih dahsyat lagi.
Bencana alam yang membawa kepada kehilangan nyawa dan harta benda juga merupakan satu ujian kepada manusia. Sebagai muslim, kita wajib mempercayai qada’ dan qadar Allah SWT yang telah menetapkan kejadian gempa ini berlaku. Di sebalik ianya sebagai bencana alam, namun kita juga harus sedar bahawa peristiwa ini juga merupakan teguran Allah SWT kepada kita agar tidak leka dengan kehidupan dunia sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai hamba-Nya di atas muka bumi.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Peristiwa gempa bumi juga menjadi salah satu daripada tanda-tanda kiamat dan menunjukkan bahawa kehidupan kita semakin hampir kepada penghujungnya. Justeru, kita mestilah mempersiapkan diri dengan bekalan yang secukupnya melalui amalan ketaatan dan kebajikan dengan penuh keikhlasan, memperbaiki hubungan silaturrahim dan persaudaraan sesama insan, tinggalkan perbuatan yang sia-sia, berdampinglah dengan alim ulama dan mengikuti kelas-kelas pengajian agama supaya kita tidak hidup dalam kejahilan serta perbanyakkan taubat kepada Allah SWT.
Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidak akan berlakunya Kiamat sehingga diangkat ilmu, banyaknya berlaku gempa, masa berlalu dengan pantas, terzahirnya fitnah-fitnah dan banyaknya pembunuhan.”
(HR Abu Hurairah RA)
Orang yang beriman adalah orang yang sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan sentiasa menginsafinya. Justeru, marilah kita kembali mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya dengan sebenar-benar ketaatan. Tidak ada yang berkuasa melainkan Dia. Tidak ada yang hebat melainkan Allah SWT.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Melihat situasi yang dihadapi oleh mangsa-mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria, hati sesiapa jua pasti akan tersentuh. Seluruh dunia meratapi pemergian insan-insan yang terkorban tidak mengira lapisan umur dewasa atau kanak-kanak. Sebagai muslim, kita tidak seharusnya hanya duduk berdiam diri tanpa menghulurkan apa jua bentuk bantuan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.
Sebagai tanda kasih sayang sesama Islam dan sesama insan, atas dasar ukhuwah, nilai-nilai kemanusiaan dan solidariti, marilah kita bersatu hati membantu mereka dengan menghulurkan sumbangan derma melalui tabung kutipan mangsa-mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria melalui tabung kutipan jumaat di seluruh masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan yang akan diselaraskan di bawah Tabung Musaadah JAWI dan akan disumbangkan melalui kerajaan Malaysia.
Tabung Musaadah JAWI
Nombor Akaun: 14023010052811
Bank Islam Malaysia Berhad
Sesungguhnya, inilah bukti solidariti dan kebersamaan kita terhadap mereka. Jika kita dapat membantu mereka, maka Allah SWT juga pasti akan membantu kita. Hayatilah hadis riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Siapa yang meringankan salah satu daripada kesusahan seorang mukmin di dunia, maka Allah akan meringankan salah satu daripada kesusahannya di hari kiamat. Dan sesiapa yang mempermudahkan sesuatu kesusahan, maka Allah akan mempermudahkan kesusahannya di dunia dan di akhirat.”
(HR Abu Hurairah RA)
Marilah kita bersama-sama memohon kepada Allah SWT agar dipermudahkan urusan para pasukan penyelamat dari pelbagai negara termasuk Malaysia, diberikan kekuatan dan kesabaran kepada mangsa-mangsa yang telah kehilangan insan tersayang mahupun harta benda.
Kita juga mendoakan semoga Allah SWT mengampuni dosa-dosa mereka yang telah terkorban dalam kejadian ini.
Semoga peristiwa sebegini akan memberikan keinsafan kepada kita untuk saling membantu, saling mendoakan, saling berkerjasama dan bersatu padu tanpa mengira kaum dan latar belakang agar umat Islam dilihat mampu mendepani semua masalah dan musibah dengan baik dan pantas jika berlaku bencana walau di mana sahaja seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya terutama di dalam negara.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Dunia ini adalah medan ujian sama ada kesenangan mahupun kesusahan untuk menentukan sejauh mana tahap keimanan dan kesabaran manusia ketika mengharunginya.
Kedua: Bersatulah kita dalam membantu mereka dengan memberikan sumbangan derma kepada mangsa-mangsa terlibat, ketepikan semua perbezaan dan rapatkanlah saf untuk bersolidariti atas nama Islam.
Ketiga: Doakan agar Allah SWT mempermudahkan urusan penyelamatan mangsa-mangsa yang masih terperangkap, memberikan ketabahan dan mengampunkan dosa-dosa mereka yang telah terkorban.
Mengakhiri khutbah, renungkan bersama firman Allah SWT menerusi surah al-Hadid, ayat 22 yang bermaksud:
“Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.”
(Al-Hadid 57:22)

Tarikh Dibaca: 19 Rejab 1444H/10 Februari 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a Reply