Kalimah Iblis menurut bahasa arab adalah daripada perkataan [بَلَسَ ] daripada yang membawa erti [ ﻃَﺮَﺩَ ] iaitu dibuang, dicampak, atau dihalau, manakala kalimah Iblis, maka ia memberi maksud [المَطْرُودُ مِنْ رَحْمَةِ اللهِ] iaitu makhluk yang dicampak, dibuang, dan dihalau dari rahmat Allah S.W.T.
Al-Mabidi berkata, makna Iblis ertinya yang putus asa, merujuk kepada Iblis yang putus asa dari rahmat Allah S.W.T.. Juga direkodkan sebelum digunakan nama Iblis ini, nama asalnya adalah ‘Azazil. Ada juga yang berpendapat bahawa Iblis adalah bapa kepada seluruh Syaitan dan bukannya bapa kepada Malaikat ataupun Jin.
Nama Iblis diguna pakai sendiri oleh Allah S.W.T. ketika merujuk kepada mahkluk Jin asal yang ingkar perintah-Nya, sebagaimana dicatatkan:
“Dan tatkala kami berkata kepada para Malaikat untuk sujud kepada Adam, maka seluruhnya sujud kecuali Iblis, dan sesungguhnya ia adalah daripada kalangan Jin, maka (kerana keingkaran itu) dia telah fasiq dari arahan Tuhannya…”
(Al-Kahfi 18:50)
Kalimah Syaitan pula, ada yang mengatakan asal perkataan syaitan adalah daripada kalimah syatana yang bererti jauh dari kebenaran. Ada juga pendapat lain menyatakan asalnya daripada kalimah syata yang membawa makna terbakar dalam kemurkaan.
Namun pendapat pertama adalah lebih kukuh menurut Dr. Saif Al-Duri. Demikian juga pandangan Abu Al-Raghib Al-Asfahani, perkataan syaitan bermaksud ‘menjauhkan’. Oleh itu, syaitan terdiri daripada golongan jin dan manusia yang cuba menjauhkan serta menyesatkan hamba Allah daripada memperhambakan diri kepada-Nya dengan digunakan pelbagai cara dan tipu daya.
Syaitan wujud dalam bentuk yang tidak boleh dilihat seperti jin, dan juga boleh wujud dalam kalangan manusia. Syaitan adalah hasil zuriat keturunan Iblis, yang sentiasa berusaha melakukan hasutan dan menipu manusia untuk membalas dendam atas pengusiran nenek moyang mereka Iblis dari syurga ekoran keengganan untuk sujud kepada Nabi Adam A.S.
Ciptaan Iblis dan Syaitan
Iblis telah diciptakan daripada api. Sama seperti jin yang lain kerana Allah S.W.T. menyatakan Iblis itu dahulunya daripada kalangan jin. Namun berbeza dengan malaikat yang dicipta daripada cahaya, manakala manusia daripada tanah. Allah S.W.T. berfirman:
“…Kecuali Iblis, dan sesungguhnya ia adalah daripada kalangan jin…”
(Al-Kahfi 18:50)
Ayat ini juga secara jelas menunjukkan telah wujudnya jin sebelum Iblis. Ringkasnya Iblis adalah asalnya jin namun dinamakan Iblis disebabkan keingkaran terhadap perintah Allah S.W.T. Tercatat di dalam Al-Quran:
“Dan tatkala kami berkata kepada semua para Malaikat untuk sujud kepada Adam, maka seluruhnya sujud kecuali Iblis, dan sesungguhnya ia ingkar dan sombong, dan tergolong daripada kalangan orang-orang yang kufur.”
(Al-Baqarah 2: 34)
Secara jelas juga disebutkan di dalam Al-Quran, punca kepada keingkaran itu adalah disebabkan kesombongannya yang berpunca daripada sangkaannya bahawa api itu lebih mulia dan hebat daripada tanah yang diciptakan daripadanya Adam.
Allah berfirman:
“Iblis menjawab, ‘Aku lebih baik daripadanya. Engkau ciptakan aku daripada api, sedangkan dia Engkau ciptakan daripada tanah.”
(Sad 38:76)
Kemudiannya, Iblis telah memohon kepada Allah S.W.T. supaya diberikan penangguhan kematian terhadapnya supaya ia dapat menguji Nabi Adam dan seluruh umat manusia.
Allah S.W.T. memperkenankan permintaan Iblis dan seterusnya dihalau oleh Allah dan dilaknat sehingga hari Kiamat. Iblis seterusnya bersumpah akan menggoda anak Adam sehingga hari Kiamat juga. Semua hal ini disebutkan dalam ayat berikut:
“Allah berfirman, “Hai Iblis, apa sebabnya kamu tidak (ikut sujud) bersama-sama mereka yang sujud itu?” (32) Berkata Iblis, “Aku sekali- kali tidak akan sujud kepada manusia yang Engkau telah menciptakannya daripada tanah liat kering (yang berasal) daripada lumpur hitam yang diberi bentuk.” (33) Allah berfirman, “Keluarlah dari syurga, kerana sesungguhnya kamu terkutuk.”(34) “Dan sesungguhnya kutukan itu tetap menimpamu sampai hari kiamat.” (35) “Berkata Iblis, “Ya Tuhanku, (Jikalau begitu) maka beri tangguhlah kepadaku sampai hari (manusia) dibangkitkan.” (36) Allah berfirman, “(Jikalau begitu) maka sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh, (37) sampai hari (suatu) waktu yang telah ditentukan.” (38) Iblis berkata, “Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, m (39) kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka.” (40) Allah berfirman, “Ini adalah jalan yang lurus; kewajiban Aku-lah (menjaganya).” (41) “Sesungguhnya hamba- hamba-Ku tidak ada kekuasaan bagimu terhadap mereka, kecuali orang-orang yang mengikut kamu, iaitu orang-orang yang sesat.” (42)
(Al-Hijr 15:32-42)
Syaitan pula adalah daripada keturunan Iblis yang ingkar sama ada daripada kalangan jin dan manusia. Allah S.W.T. menegaskan bermaksud:
“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap- tiap Nabi itu musuh daripada syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jikalau Tuhanmu mengkehendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.”
(Al-An’am 6:112)
Allah S.W.T. juga memberikan salah satu sebab mengapa Syaitan boleh menguasai manusia dengan kata-Nya:
“Sesiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan yang maha pemurah (Al Quran), Kami adakan baginya Syaitan (yang menyesatkan), maka Syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.”
(Az-Zukhruf 43: 36-38)
Peringkat Godaan Iblis dan Syaitan
Secara umumnya, Imam Ibn Qayyim menyatakan enam tingkat godaan dan tipu daya Iblis secara ringkas, iaitu:
Pertama: Berusaha mengkafirkan manusia dan menjadikannya syirik.
Kedua: Peringkat bid’ah (ciptaan baru ibadah), Iblis berusaha pada tahap ini untuk menjadikan manusia lebih suka mencipta bid’ah dan beramal dengannya. Jikalau gagal, Iblis akan beralih ke tahap ketiga.
Ketiga: Tahap perlakuan maksiat dan dosa besar, mendorong manusia melakukan maksiat dan dosa besar mengingkari Allah S.W.T.. Jikalau gagal dia pergi ke peringkat keempat.
Keempat: Peringkat dosa-dosa kecil, Iblis akan mendorong manusia melakukannya, memandang kecil akan dosa ini. Jikalau manusia berjaya mengelaknya, dia akan pergi ke tahap kelima.
Kelima: Iblis berusaha menyibukkan manusia dengan hal ehwal yang harus sehingga lalai dan habis waktunya dengan hal tersebut.
Keenam: Berusaha menyibukkan manusia dengan amalan ibadat yang kurang utama lalu tertinggal dan melupakan yang afdhal.
Ibn Qayyim menyatakan lagi:
“Jalan yang dilalui oleh manusia hanya empat; kanan, kiri, depan, ataupun belakang. Mana-mana jalan yang dilalui, syaitan sentiasa menunggunya. Jikalau dia melalui jalan itu untuk melakukan ketaatan, syaitan akan menghalangnya dan melambat-lambatkannya. Jikalau dia melalui jalan itu untuk melakukan maksiat, syaitan akan mengalu-alukan dan membantunya. Jikalau perlu untuk masuk dari bawah (demi menyesatkan manusia), syaitan pun akan melakukannya.”
(Ibn Qayyim)
Sumber: Belitan Tipu Daya Iblis – Syarah Terpilih Tablis Iblis Ibnu Al-Jauzi oleh Dr. Zaharuddin Abdul Rahman
Leave a Reply