Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Bertakwalah kita semua kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Taati suruhan Allah SWT di setiap masa dan di mana jua. Mudah-mudahan rahmat kasih Allah SWT sentiasa memenuhi hidup kita di dunia dan di akhirat sana.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Israk dan Mikraj merakamkan banyak pengajaran yang dapat kita petik untuk dijadikan pedoman. Di dalam Kitab Al-Rahiq Al-Makhtum dimuatkan beberapa tauladan. Antaranya peristiwa Rasulullah SAW ditawarkan untuk memilih susu atau arak sebagai minuman, lantas Baginda SAW mengambil susu sebagai pilihan. Maka dikatakan kepada baginda SAW: “Kamu telah memilih fitrah. Jika kamu memilih arak, nescaya umatmu akan terpedaya.”
Israk adalah perjalanan Rasulullah SAW pada waktu malam dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Al-Aqsa di Palestin. Allah SWT merakamkan kejadian ini melalui ayatnya yang dibacakan pada permulaan khutbah di dalam surah Al-Isra ayat pertama yang maksudnya:
“Maha suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa, Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”
(Al-Isra 17:1)
Manakala mikraj pula adalah perjalanan Baginda dari langit pertama sehingga ke Sidratul Muntaha sepertimana yang digambarkan oleh Allah SWT di dalam surah Al-Najm ayat 13-18 yang maksudnya:
“Dan Demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, Dalam bentuk rupanya Yang asal) sekali lagi. di sisi “Sidratul-Muntaha”; Yang di sisiNya terletak syurga “Jannatul-Makwa”. (Nabi Muhammad melihat Jibril Dalam bentuk rupanya Yang asal pada kali ini ialah) semasa “Sidratul Muntaha” itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, Yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan Dengan tepat (akan pemandangan Yang indah di situ Yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya, ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan Luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya.
(Al-Najm 53:13-18)
Para tetamu Allah yang dimuliakan,
Peristiwa Isra’ dan mikraj yang dialami oleh Rasulullah SAW mempunyai banyak ibrah, antaranya :
Pertama: Sebelum Rasulullah SAW diangkat untuk mengadap Allah SWT, dada baginda SAW dibelah dan hatinya disucikan. Ini menunjukkan betapa pentingnya kita memelihara hati daripada noda dan dosa.
Kedua: Perjalanan baginda SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dalam keadaan sedar dan jaga, sebelum diangkat (mikraj) ke langit. Ini memberi pengertian bahawa masjid merupakan wadah hubungan antara hamba dengan PenciptaNya. Oleh itu kita harus terus meningkatkan iltizam dan kesungguhan kita mengimarahkan masjid agar kita tergolong dalam golongan yang diredhai Allah SWT.
Ketiga: Allah SWT telah menciptakan tunggangan yang mampu bergerak jauh dengan kelajuan yang tidak mampu dibayangkan oleh manusia. Inilah bukti keagungan Allah serta kekayaanNya dalam menjadikan sesuatu yang tidak dapat dicapai oleh logik akal manusia. Apakah kita masih meninggi diri di hadapan Allah SWT sedangkan kita tidak mampu menandingiNya sedikitpun.
Keempat: Dalam perjalanan yang agung ini , Allah SWT memerintahkan Malaikat Jibril A.S untuk mengiringi Rasulullah SAW sebagai teman perjalanan. Allah SWT mengisyaratkan bahawa teman merupakan kekuatan bagi seseorang. Terbukti, hidup manusia memang sukar tanpa teman. Namun teman yang kita pilih haruslah yang mampu membawa kita menuju kepada mardhatillah, seperti mana Malaikat Jibril yang menemani Rasulullah SAW dalam perjalanan ini.
Kelima: Dalam peristiwa ini juga, Rasulullah SAW dibawa menyaksikan pelbagai gambaran siksaan bagi manusia yang ingkar. Baginda SAW diperlihatkan siksaan-siksaan yang mengerikan seperti orang yang suka memakan harta anak yatim secara zalim, pengamal riba dan penzina. Semua peristiwa ini haruslah menjadi iktibar dan pengajaran kepada kita agar kita tidak terjerumus ke lembah dosa dan kebinasaan.
Keenam: Hikmah dari ibrah yang paling besar dalam peristiwa ini adalah kewajipan solat 5 waktu yang diterima daripada Allah SWT secara terus tanpa perantaraan malaikat. Ini menggambarkan betapa pentingnya perintah solat kepada setiap muslim. Namun malang sekali, kita masih mengambil sikap sambil lewa dan sering mengambill mudah akan kewajipan menunaikan solat fardu. Justeru, peliharalah solat dengan sebaik-baiknya.
Firman Allah SWT di dalam surah Al Mukminun ayat 1 dan 2 yang maksudnya:
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang beriman, Yang khusyuk Dalam sembahyang mereka.”
(Al-Mu’minuun 23: 1-2)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan daripada khutbah pada hari ini, khatib ingin menyimpulkan beberapa perkara yang perlu dititik beratkan:
Pertama: Perjalanan Israk dan Mikraj Rasullullah SAW memberi pengajaran kepada kita agar sentiasa mematuhi perintah Allah SWT dalam kehidupan kerana azab Allah SWT amat pedih bagi mereka yang menderhaka kepadaNya.
Kedua: Maha suci Allah, bahawa Allah SWT berkuasa yang memperjalankan hambanya Rasullullullah SAW perjalanan yang jauh dalam satu malam sebagai tanda kekuasaaan dan kebesaran dalam melakukan kehendakNya.
Ketiga: Marilah kita, bersungguh-sungguh menjunjung perintah melaksanakan solat dengan penuh khusyu, berkualiti dan sempurna. Firman Allah SWT di dalam surah al-‘Ankabut ayat 45 yang bermaksud:
“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”
(Al-Ankabut 29:45)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Mimbar mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selaku agensi yang diamanahkan untuk menjaga keamanan perairan negara, sempena Hari Ulangtahun APMM ke 18, pada 15 Februari 2023.
Sesungguhnya tugas dan peranan agensi ini amatlah besar demi memastikan keselamatan dan keamanan perairan negara Malaysia sentiasa terpelihara dan selamat.
Sebagai rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama melaporkan kepada APMM sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan berlaku di perairan negara seperti pencerobohan haram atau kemasukan pendatang asing melalui jalan laut. Selain itu, marilah kita berganding bahu menjalankan tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan dan keindahan peraitan negara demi kebaikan ekosistem dan hasil laut yang amat bernilai harganya.

Tarikh Dibaca: 26 Rejab 1444H/17 Februari 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a Reply