Oleh: Ida Natasha
Di zaman ini, begitu ramai pasangan yang menjadikan media sosial sebagai platform untuk berkongsi kisah dan butiran rumahtangga. Ada yang berkongsi bahagia, ramai yang meluah derita, sebahagian pula sekadar menulis cereka penglipur lara sedangkan dia sendiri belum ada pengalaman berkeluarga.
Apabila satu kisah dikongsi, beribu komen membanjiri. Ada yang memahami, ada yang memperlekeh, tidak kurang juga yang mencemuh, sebahagian memberi kata-kata semangat agar si penulis terus kuat menghadapi cabaran kehidupan.
Seringkalinya hantaran-hantaran ini kelihatan am, tidak ditujukan kepada sesiapa secara khasnya, sekadar penulisan bait-bait kata. Namun, apabila kawan-kawan di media sosial membaca hantaran yang menjurus kepada masalah perhubungan, komen-komen pun muncul dari pelbagai arah untuk memberikan pendapat masing-masing.
Natijahnya, penulis berasa puas hati kerana luahan hatinya mendapat perhatian daripada insan di luar sana, lantas menyakinkan dirinya bahawa dialah mangsa. Ternyata masih ada lagi insan yang ambil kisah, ambil peduli, kasihan kepada diriku ini.
Adakah Berkongsi Masalah Menyelesaikannya?
Hakikatnya, apabila masalah perhubungan dipaparkan di media sosial, masalah tidak akan selesai jika tiada usaha secara aktif untuk berbincang dengan pasangan dalam menangani masalah tersebut. Malangnya lagi, dalam limpahan ‘nasihat’ yang diberi oleh rakan-rakan di dalam ruangan komen, mungkin terdapat nasihat yang memudharatkan.
Tanggungjawab kita sebagai suami dan isteri di dalam perhubungan ialah untuk mengelak daripada memberi gambaran bahawa bahtera perhubungan kita sedang dilanda badai untuk tidak membenarkan orang luar meninjau-ninjau, menjadi kepochi untuk mengetahui masalah dalaman yang sedang kita alami.
Perkataan-perkataan yang kita pilih ketika berada di dalam keadaan kecewa, marah, geram, selalunya akan menjadi petunjuk, terbuka untuk diterjemah orang awam. Contoh: “Curang itu menyakitkan”. Dan situasi akan menjadi lebih parah apabila sebenarnya perhubungan kita tidak bergelora pun. Tetapi, akibat hantaran tadi, orang luar mula meneka-neka dan mengharapkan drama akan bermula.
Beri Fokus Kepada Bahagia
Apa yang kita fikir dan lakukan setiap hari membentuk minda dan penampilan kita. Andai bahagia itu sasarannya, kita perlu fokus untuk membina bahagia dengan menulis dan berkongsi kisah-kisah gembira. Bagaimana kita boleh tersenyum jika hantaran kita sering berkisar mengenai kerumitan, tekanan, masalah dan sebagainya.
Latih diri untuk menghasilkan hantaran yang positif dan bermesejkan bahagia seperti “Cinta dan rindu ini hanya untuk suami/isteriku tersayang”, “Ku janjikan kesetiaan sehingga hayat di kandung badan.”, “Walaupun ramai lelaki sado di luar sana, abang juo yang sado di hatiku ini.”
Kalau pasangan kita baca, tentu sekali tersenyum dan kembang dada. Kita boleh mencari bahagia dengan berusaha ke arah itu. Jika hari-hari ditasak dengan mesej derita ditambah dengan komen-komen penambah rasa bukan sahaja derita yang tiba, porak peranda pun digamit sama.
Jangan Dibanding Kehidupan Kita
Apa yang kita saksikan di media sosial itu kebanyakannya lakonan semata. Hidup orang lain akan sentiasa kelihatan lebih sempurna di mata kita. Bak kata orang Jawa, the grass is always greener on the other side. Adalah lebih baik kita menghargai rumput di halaman sendiri. Sebagai contohnya, andai isteri si polan bergaya dan isteri kita kurang daya, berilah isteri kita semangat untuk kelihatan lebih ceria.
Jika isteri sering membanding hadiah yang suami orang belikan kepada isteri mereka, janganlah kita bersedih, pasanglah strategi untuk menawan hati isteri. Contoh, Abang tak dapat bagi ayang beg mahal, abang tolong ayang basuh pinggan, boleh?
Janganlah kita sering mengkritik pasangan dengan melihat keburukan dia. Sesekali kita buatlah senarai itu untuk diri kita sendiri juga kerana kita tidak terlepas daripada kelemahan yang pasangan kita terpaksa kompromi. Janganlah sering syok sendiri dan merasakan diri kita itu sudah tiada ruang untuk diperbaiki.
Berfikir Sebelum Membuat Hantaran di Media Sosial
Elakkan daripada menulis di media sosial ketika hati sedang bergelora. Kawal nafsu kita. Cuba tarik nafas dan berfikir secara waras dan mengelak daripada berkongsi kisah rumahtangga dengan orang asing di media sosial. Sebagai pembaca yang tidak tahu hujung pangkal kisah kita, mereka tidak mungkin berupaya untuk memahami masalah yang sedang kita hadapi. Tambahan lagi apabila penulisan tersebut daripada sebelah pihak sahaja, tentulah banyak butiran yang tidak dimasukkan untuk menghasilkan kenyataan atau kisah yang berat sebelah.
Adalah lebih baik untuk kita meminta nasihat masalah rumahtangga daripada mereka yang berpengalaman seperti ibu ayah, kaunselor, dan kawan yang benar-benar rapat dan ikhlas agar kekusutan dapat dilerai bagai menarik rambut di dalam tepung. Jangan kerana amarah sedetik, kita mengheret masalah perhubungan kita ke lembah kemusnahan.
Kesan Kepada Persekitaran
Masalah perhubungan rumahtangga seringkali melibatkan ramai pihak sama ada kita sedar atau sebaliknya. Perasaan keluarga kedua belah pihak dan anak-anak perlu diambil kira sebelum kita memaparkan konflik perhubungan kita di media sosial. Secara peribadi kita merasakan diri kita berhak meluahkan perasaan. Tetapi, tanpa kita sedar, ibu mertua kita sedang membaca sambil menitiskan airmata.
Kita rasa kita boleh bercakap apa saja kerana ini akaun kita, tiba-tiba ada mata-mata kecil yang menatap coretan kita itu lantas merasakan kehidupan mereka akan ditimpa bencana. Jangan kerana kita merasakan begitu mudah meluah rasa di media sosial, ini adalah perkara enteng dan kita lakukan tanpa ada pertimbangan kepada mereka yang berada di persekitaran kita.
Kesimpulannya, kita perlu yakin bahawa kita mampu mengubah kehidupan kita dengan minda yang sihat dan perbuatan yang rasional. Berkongsi atau memberi petunjuk yang kita tidak bahagia di media sosial hanya akan mengundang bencana. Carilah saluran yang lebih sihat untuk kita meluahkan isi hati yang terpendam dan adalah lebih baik jika kita berbincang dengan pasangan untuk kehidupan yang lebih bahagia. InsyaAllah.
Leave a Reply