10 Lokasi Ikonik Kota London

Oleh: mymuslimin.com

Ramai warga Malaysia memilih kota London untuk melancong tatkala cuti sekolah. London menawarkan pelbagai lokasi menarik dan ikonik untuk dikunjungi, dan rata-rata semua lokasi boleh dihubungkan hanya dengan menaiki pengangkutan awam. Penerbangan terus ke Kota London mengambil sekitar 13 jam dan Malaysia Airlines menyediakan perkhidmatan penerbangan terus ke sana. 

Kota London mempunyai sistem pengangkutan awam yang hebat dan anda boleh melawat ke serata kota dengan hanya menaiki keretapi bawah tanah yang digelar Underground Tube, keretapi atas tanah atau Overground, dan bas dengan menggunakan kad Oyster. Harga ke satu destinasi menggunakan tube berharga £2.50 dan bas £1.65. 

Mymuslimin.com menyenaraikan 10 lokasi ikonik kota London mesti-pergi kepada mereka yang berhajat untuk ke ibu kota ini. 

1. Istana Buckingham 

Istana ini merupakan kediaman diraja Britain dan pusat pentadbiran diraja United Kingdom. Istana Buckingham tersergam indah di Bandar Westminster dan perkarangannya bebas diakses oleh pelawat yang ingin merakamkan kenangan ketika berada di hadapan istana. Untuk ke Istana Buckingham dengan tube, berhenti di St. James’s Park dan kemudian berjalan sekitar 10 minit. 

Di waktu pagi anda boleh menyaksikan perarakan kuda diraja yang dilakukan di hadapan istana. Ambillah gambar sepuasnya dan jika anda mempunyai bajet lebih, anda boleh mengikuti Tour Buckingham Palace (RM168) yang membawa pelancong melihat royal State Rooms, melihat Royal Collection, termasuk koleksi lukisan oleh Rembrandt, Rubens,  Canaletto, koleksi pinggan mangkuk dan perabut diraja serta melawat Garden Café diraja yang terkenal selama 2-3 jam. 

2. Trafalgar Square

Trafalgar Square merupakan dataran awam yang terletak di Bandar Westminster di Central London. Nama dataran ini diambil sempena memperingati Pertempuran Trafalgar di mana tentera laut British telah memenangi Perang Napoleon menentang Perancis dan Sepanyol di luar pantai Cape Trafalgar, di selatan Sepanyol. Dataran ini sekarang sering digunakan untuk menyambut Tahun Baru, dihiasi ketika Krismas, lokasi demonstrasi dan juga lokasi kepada acara sukan. Bersebelah Trafalgar Square ini terletaknya National Gallery yang menempatkan lebih 2600 lukisan tersohor dan boleh diakses secara percuma. Bagi pelancong, Trafalgar Square ini menjadi lokasi ikonik yang perlu diabadikan ketika melawat Kota London.

3. Big Ben 

Big Ben pula ialah menara jam besar yang terletak di Westminster, London. Siapa yang sudah sampai ke London dan tidak bergambar dengan Big Ben, anda belum sampai London! Disiapkan pada tahun 1859, menara ini berketinggian 94 meter, 12 meter lebar dan mempunyai 334 anak tangga. Menara jam ini terkenal di seluruh dunia dan menjadi Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak tahun 1987. 

4. Palace of Westminster

Bangunan Palace of Westminster ialah bangunan parlimen kerajaan United Kingdom. Bangunan ini terletak di tebing sungai Thames di bandar Westminster. Palace of Westminster telah mengalami banyak kerosakan akibat kebakaran dan perang Dunia Kedua, tetapi kerja-kerja pemulihan terus dilakukan untuk memastikan bangunan ini kekal teguh sebagai lambang sistem demokrasi Westminster semenjak 1707. Kalau anda nampak Big Ben, anda juga akan melihat Palace of Westminster. 

5. London Eye

London Eye atau dikenali juga sebagai Millennium Wheel merupakan roda Ferris tertinggi di dunia ketika dibuka pada tahun 2000. Roda ini terletak di South Bank Sungai Thames di tengah kota London dan ianya mempunyai 32 kapsul yang boleh disewa oleh orang awam untuk menikmati permandangan indah kota London selama 30 minit dengan harga bermula daripada £30.50 (RM165).  Selain itu, London Eye juga boleh disewa untuk acara peribadi seperti sambutan harijadi dengan harga £675 (RM3600) untuk setengah jam. 

6. Tower Bridge

Jambatan ikonik ini sering disangka London Bridge seperti di dalam lagu kanak-kanak popular ‘London Bridge is falling down’ itu. Sebenarnya bukan, London Bridge ialah jambatan berdekatan dan Tower Bridge ialah jambatan ikonik kota London. Tower Bridge merupakan jambatan tarik yang merentasi sungai Thames berdekatan Tower of London. Jambatan ini membenarkan kapal-kapal merentasinya melalui dek jambatan yang diangkat di bahagian tengah.

Ini bukan jambatan biasa, anda boleh membeli tiket untuk melawat Victoria Engine Rooms dan Glass Floor yang menawarkan permandangan Sungai Thames dan kota London berlantaikan kaca! Harga tiket dewasa £11.40 dan kanak-kanak pula £5.70. 

7. The Shard

The Shard ialah bangunan pencakar langit yang terletak di Southwark, London. Dibina pada 2012, The Shard digunakan sebagai kediaman dan ruang pejabat. Mengapa The Shard menarik? Kerana The Shard direka bentuk dengan bentuk piramid tidak sekata dari bawah ke atas, dan ditutup sepenuhnya dengan kaca. The Shard kelihatan jelas dari Sungai Thames tetapi untuk permandangan kota London dari atas The Shard, anda boleh menempah tiket yang berharga sekitar £32, di mana anda boleh berada di dek terbuka di tingkat 72. 

8. Piccadilly Circus

Foto: Canva

Piccadilly Circus ialah persimpangan jalan dan ruang awam yang berlokasi di West End London, bandar Westminster. Dibina pada tahun 1819, Piccadilly Circus dibina untuk menghubungkan Regent Street dengan Piccadilly. Ianya terletak berdekatan dengan pusat membeli-belah dan hiburan di West End. Mengapa Piccadilly Circus ini ikonik? Kerana ianya terkenal dengan papan tanda neon, paparan berbeza dan air pancut Eros yang terletak di tengah-tengah persimpangan jalan ini. Piccadilly Circus menawarkan pelbagai pawagam, teater, kedai dan restoran, termasuk pub Inggeris tradisional yang terkenal. Walaupun sekarang sudah tiada papan tanda neon yang telah diganti dengan skrin gergasi, Piccadilly Circus tetap menjadi lokasi ikonik pelancong ke kota London. 

9. Sungai Thames

Sungai Thames ialah sebahagian daripada sungai terpanjang di England, melebihi 200 batu. Ia menyalurkan air minuman kepada dua pertiga penduduk London dan anda boleh berenang di sepanjang sungai ini. Walaupun sungai ini berwarna teh susu, Sungai Thames dianggap sebagai salah satu sungai paling bersih di dunia yang mengalir melalui bandar. Sungai ini ikonik kerana ia sering menjadi latarbelakang kepada lokasi ikonik kota London. 

10. Battersea Power Station

Dahulunya stesen janakuasa, sekarang sudah bertukar menjadi pusat membeli-belah, kediaman dan pejabat tersohor di London. Pada tahun 2012, SP Setia Malaysia dan Sime Darby telah memeterai perjanjian untuk membangunkan Battersea Power Station untuk merangkumi 253 unit kediaman, bar, restoran, ruang pejabat, kedai dan ruang hiburan. Sehingga 2021, bangunan dan keseluruhan pembangunan tapak seluas 42 ekar ini dimiliki oleh konsortium pelabur Malaysia.

Kota London, kota metropolitan yang sarat dengan imej ikonik dipenuhi dengan warga dunia. Di mana-mana sahaja di London pelbagai bahasa dapat didengari kerana penduduk dan pelawatnya yang berbilang bangsa. Kota ini warnai dengan kehadiran bas merah dua tingkat, pondok telefon merah yang masih terdapat di sekitar bandar walaupun telefonnya sudah tidak boleh digunakan, teksi hitam (black cab) yang begitu London, taman-tamannya yang cantik serta warganya yang berjalan sepantas kilat. Di kota ini, ke mana sahaja anda pacukan lensa kamera, fotonya pasti akan memukau.

Foto: mymuslimin.com

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑