Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya di samping mendekatkan diri kepada-Nya dengan melakukan amalan-amalan ketaatan. Mudah-mudahan kita sentiasa berada dalam rahmat serta perlindungannya di dunia dan di akhirat.
Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: “Al-Quran Dihayati, Selawat Dilazimi”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Alangkah bertuahnya umat Islam dimuliakan oleh Allah SWT kerana menghayati al-Quran dan ajarannya. Al-Quran adalah kitab mukjizat yang menjadi penyuluh yang menerangi kehidupan serta memandu manusia kepada taufiq dan hidayah Allah SWT. Sejak al-Quran diturunkan, ianya telah dipelihara dengan begitu rapi.
Ramai penghafaz al-Quran setiap zaman bermula zaman Rasullullah SAW lagi hinggalah ke hari ini. Al-Quran juga dipelihara dalam bentuk tulisan dan cetakannya. Semua penjagaan al-Quran dalam bentuk mushaf dan hafazan menjadi bukti yang kukuh bahawa al-Quran terpelihara daripada segala khilaf, kesalahan dan kekurangan sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Hijr, ayat 9 yang dibacakan tadi yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”
(Al-Hijr 15:9)
Menurut as-Sa‘di dalam kitabnya Taysirul Karimir Rahmani fi Tafsiri Kalamil Mannan, menyatakan bahawa ayat ini mengandungi maksud pemeliharaan al-Quran ketika penurunannya dan selepasnya. Ketika penurunannya, ia terpelihara daripada gangguan syaitan. Manakala selepas penurunannya, Allah SWT menempatkannya di dalam hati Rasul-Nya dan selepas itu, Allah SWT menempatkannya di hati umat Baginda SAW.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Membaca dan menghafaz al-Quran adalah ibadah yang dituntut kepada umat Islam. Sebagai umat Islam, kita mestilah berusaha untuk menghafaz dan mengingati al-Quran. Imam al-Tirmizi meriwayatkan hadis daripada Ibn ‘Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Orang yang tidak ada di dalam dadanya sepotong pun ayat al-Quran adalah ibarat seperti rumah yang ditinggalkan kosong.”
(HR Imam al-Tirmizi)
Sememangnya usaha melahirkan para huffaz di tanah air menunjukkan perkembangan yang positif. Pelbagai bentuk pengajian disediakan di peringkat menengah seperti program Pendidikan Ulul Albab, Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA), Maahad-Maahad Tahfiz Al-Quran dan seumpamanya termasuklah pusat-pusat tahfiz swasta yang selaras dengan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT).
Demikian juga di peringkat pengajian tinggi, program-program sijil dan diploma turut ditawarkan seperti di Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, malah ijazah tahfiz al-Quran turut ditawarkan oleh institut-institut pengajian tinggi di dalam negara sama ada awam atau swasta.
Kita telah berjaya melahirkan ramai generasi huffaz yang berkualiti, namun cabaran yang sedang kita hadapi ialah bagaimana membangunkan generasi huffaz ini sebagai aset yang sangat penting dalam pembangunan dan kemajuan negara. Justeru, setiap pengusaha sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian tahfiz khususnya swasta mestilah menyediakan pembelajaran yang tidak hanya tertumpu kepada pengajian tahfiz sahaja malah turut memberikan pendidikan dan kemahiran selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan sesuai mengikut perkembangan semasa.
Kemenjadian mereka sebagai pelajar tahfiz yang mempunyai ilmu, kemahiran, kelayakan dan kemampuan mesti diperkasakan supaya mereka bersedia memenuhi semua kerangka dalam membangunkan negara dan masyarakat.
Marilah kita mengambil peluang ini supaya anak-anak dapat mengikuti bidang pengajian ini dan dalam masa yang sama, tidak mengabaikan bidang akademik dan kemahiran yang lain bagi melahirkan insan madani yang berilmu, berkemahiran dan proaktif dalam memberikan sumbangan kepada ummah dan negara. Kita pasakkan azam dan bertekad supaya sekurang-kurangnya terdapat seorang hafiz atau hafizah dalam setiap keluarga kita.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita sangat dituntut untuk memperbanyakkan selawat dan salam kepada Rasulullah SAW lebih-lebih lagi di hari Jumaat yang barakah ini. Berselawat kepada Baginda SAW itu adalah doa kita kepada Allah SWT untuk diberikan kurniaan kepada baginda SAW.
Justeru, selawat merupakan suatu tanda cinta dan terima kasih kita kepada Nabi SAW di atas jasa yang besar kepada kita, yang tidak terbalas oleh kita sebagai umatnya. Kita tidak mampu untuk membalas jasa baik Baginda SAW melainkan dengan hanya berdoa kepada Allah SWT supaya ditambahkan kebaikan untuknya.
Amalan berselawat adalah sebagai tanda ingatan yang tidak berbelah bahagi kepada Baginda SAW yang telah mengajarkan dan membimbing kita ke jalan Islam yang benar dan menyelamatkan kita daripada tersungkur ke lembah kegelapan dan kejahilan. Sesungguhnya berselawat inilah antara amalan yang dapat mendekatkan hati dan jiwa kita dengan Rasulullah SAW biar pun tidak pernah sekali pun kita bersua dengannya. Apa yang kita harapkan ialah syafaatnya nanti di akhirat kelak bagi menghadapi penghitungan amalan di hadapan Allah SWT. Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Abdullah bin ‘Amr RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya sesiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.”
(HR Imam Muslim)
Amalan berselawat juga dapat menyuntik semangat untuk lebih giat menuntut ilmu Islam yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, lebih berusaha mengamalkannya dalam setiap cabang kehidupan dan menyampaikannya kepada orang lain untuk mengikuti ajaran Islam yang sempurna serta sunnah-sunnah yang ditinggalkan oleh Baginda SAW. Renungkan firman
Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran, ayat 31 yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Ali ‘Imran 3:31)
Justeru, untuk mengakhiri khutbah pada hari yang mulia ini, khatib ingin mengajak diri sendiri dan para jemaah sekalian supaya kita tidak meninggalkan amalan berselawat sepertimana yang telah diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW. Luangkanlah masa untuk sentiasa membasahkan lidah dengan berselawat kepada baginda Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan Allah SWT menempatkan kita dalam kalangan pencinta Nabi Muhammad SAW serta mendapat syafaatnya dan menghimpunkan kita bersama baginda Nabi Muhammad SAW di dalam syurga-Nya kelak.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Al-Quran adalah kitab mukjizat yang menjadi penyuluh yang menerangi kehidupan serta memandu kita kepada taufiq dan hidayah Allah SWT.
Kedua: Berilah galakan kepada anak-anak untuk mengikuti bidang pengajian tahfiz tanpa mengabaikan bidang akademik dan kemahiran bagi melahirkan berilmu, berkemahiran dan proaktif kepada ummah dan negara.
Ketiga: Perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW bagi menyemarakkan cinta kepada Baginda SAW, mengikuti setiap ajarannya dan mengamalkan sunnah-sunnah yang telah ditinggalkan.
Mengakhiri khutbah, renungkan bersama firman Allah SWT menerusi surah an-Nuur, ayat 54 yang bermaksud:
“Katakanlah lagi (kepada mereka): Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah. Kemudian jika kamu berpaling ingkar maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Rasul Allah hanya bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepadanya, dan kamu pula bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepada kamu. Dan jika kamu taat kepadanya nescaya kamu beroleh hidayah petunjuk; dan (sebenarnya) Rasul Allah hanyalah bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah dengan penjelasan yang terang nyata.”
(An-Nuur 24:54)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Mimbar mengambil kesempatan ini mengajak sidang jemaah sekalian, marilah kita bersama-sama untuk menghadirkan diri beserta dengan ahli keluarga ke Program Karnival Kuala Lumpur Madani Dan Majlis Selawat Dan Munajat Perdana Bersama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 11 Mac 2023 bertempat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur,
Cheras. Di samping itu, marilah juga kita memeriahkan Ekspo Huffaz Tahun 2023 yang sedang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan bermula pada 10 hingga 12 Mac 2023. Pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat telah disusun kepada semua peringkat umur dan lapisan masyarakat sepanjang program-program tersebut berlangsung.
Semoga dengan kehadiran kita ke program-program yang bermanfaat ini dikira sebagai amalan kebaikan di sisi Allah SWT.

Tarikh Dibaca:17 Syaaban 1444H/10 Mac 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a Reply