Kalau tengah lapar, masakan ayam kampung goreng panas dicecah dengan budu, sambal belacan yang dicampur ulam, memang kena dengan selera orang Malaysia terutama orang Melayu yang sukakan selera kampung.

Mereka yang datang dari arah Puchong, jangan masuk LDP dulu, berhenti sebentar di Restoran A. Hassan Sdn. Bhd. yang menyediakan hidangan ayam kampung dan nasi campur yang menarik. Restoran ini terletak di sebelah kiri LDP bersebelahan dengan pusat khidmat pelanggan Touch ‘n Go.
Restoran A. Hassan ini menyediakan beraneka lauk-pauk kegemaran Malaysia seperti singgang ikan mabong, paceri nenas, masak lemak ikan kembung, asam pedas daging, sup daging, paru goreng, ikan bilis sambal garing, dan sebagainya untuk dipilih oleh pelanggan. Namun, hidangan yang paling popular di sini ialah ayam kampung goreng!



Ayam kampung disukai ramai kerana dagingnya yang lebih halus dan rasanya yang lebih perisa berbanding ayam daging biasa. Bahagian ayam kampung selalunya bersaiz kecil sedikit, jadi sebahagian ayam kampung ialah seperempat ekor ayam. Selain ayam kampung goreng, restoran juga menyediakan ayam kampung gulai yang tidak kurang lazat rasanya.
Kalau berjiwa kampung, ulam-ulaman memang menjadi pilihan dan pelanggan disediakan dengan pelbagai jenis daripada pegaga, kacang botol, kubis putih, serta petai mentah dan petai rebus. Dicampur dengan budu dan sambal belacan, memang berbaloi.
Untuk yang rindukan masakan kampung, bolehlah singgah ke Restoran A. Hassan Sdn. Bhd. untuk menjamu selera sebelum meneruskan perjalanan. Isilah perut dahulu sebelum memasuki LDP yang sering sesak.
Restoran A.Hassan Ayam Kampung (LDP Sunway)
LDP, 47500 Subang Jaya, Selangor
Buka 10 pagi – 5 petang
Jumaat tutup
Leave a Reply