CATATAN PENCINTA KOPI – Ramadan itu Masa Berpuasa atau Bersuka-Ria?

Oleh: AJ

Menghirup kopi di pagi hari ini sambil menatal media sosial di skrin telefon pintar, terlihat beberapa iklan bufet Ramadan yang telah pun diaktifkan. Ramai juga warga facebook yang telah mengikuti group Bufet Ramadan 2023, yang setakat ini berjaya mengumpul hampir 7 ribu ahli. Group Hotel Bufet dan Bufet Ramadan 2023 sudah mempunyai 37 ribu ahli dan poster-poster promosi sedang giat diedarkan supaya umat Islam dapat menempah awal pakej bufet yang berkenan di hati. 

Terdetik di hati ini, mengapa Ramadan ini membawa kita memikirkan tentang makanan yang berjenis-jenis, yang lazat-lazat, yang mewah-mewah. Imej kambing golek yang telah diperap dengan rempah ratus berkilat dibakar, udang-udang harimau yang dimasak beraneka jenis, belum lagi dicampur dengan hidangan nasi-nasi berlauk, ditambah hidangan kek dan manisan yang menggamit selera, air bandung cincau dan sebagainya? 

Namun, bukankah fokus puasa ialah menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkannya?

Sebenarnya, andai kita mahu jujur dengan diri sendiri, ramai daripada kita yang telah tersasar daripada objektif hadirnya Ramadan. Ingatlah bahawa syaitan itu sentiasa ada dan sentiasa bekerja. Bukankah syaitan itu dirantai di bulan mulia ini? Jadi mengapa kita mengikut nafsu yang membuak untuk berlebihan dan bermewah tatkala berbuka?  Jadi, dimanakah salahnya?

Di bulan Ramadan sepatutnya kita mengurangkan jumlah makanan yang kita ambil dan bukannya kita gandakan hanya kerana kita telah berpuasa di siang hari. Bulan Ramadan mengajar kita menginsafi diri, melihat kesusahan dan keperitan hidup orang lain, agar kita mampu meringankan tangan untuk bersedekah, bukan melempias nafsu dengan makanan yang berjenis-jenis sehingga tubuh terbongsang selepas berbuka. Bersedekah di bulan ini besar faedahnya.

Bulan Ramadan menuntut agar kita mempergiatkan ibadat dari sebelum subuh sehingga ke witir selepas tarawih ditambah lagi dengan qiamullail. Tetapi, jika perut sudah penuh dan masa berbuka dihabiskan di hotel dan restoran untuk memastikan duit yang kita bayar itu berbaloi, ke mana letaknya prioriti amalan kita di bulan yang mulia ini? Apabila sudah membayar lebih RM88 satu kepala, agak berat untuk solat segera, dan lama. Sepuluh malam Ramadan terakhir akan menuntut lebih daripada kita; adakah kita bersedia untuk komited beramal di bulan yang suci ini dan meninggalkan suka-ria dan nafsu-nafsi?

Bulan Ramadan sepatutnya mengajar kita menghargai setiap rezeki yang Allah SWT beri, bukan untuk kita berbelanja ikut hati di pasar Ramadan dan kemudiannya membiarkan makanan yang dibeli tidak habis dimakan. Ramai juga yang gemar mengadakan perjumpaan beramai-ramai untuk berbuka puasa bersama tetapi jangan sampai mengabaikan ibadat kerana yang ruginya itu ialah kita.

Ramadan menghidangkan lebih kurang 30 hari sahaja tempohnya untuk kita kaut segala yang Allah SWT hadirkan di bulan penuh barakah ini. Janganlah kita kerugian hanya kerana godaan si kambing golek dan nasi Arab.

Bulan Ramadan yang mulia dan istimewa datangnya sekali sahaja dalam setahun. Namun, begitu ramai umat yang lalai dengan memberi fokus yang salah kepada tujuan Ramadan. Lantas Ramadan akan berlalu, dan ramai yang akan ditimpa kerugian. Walaupun seluruh umat teruja dengan kedatangannya Ramadan, jika fokus kita salah, Ramadan akan meninggalkan kita tanpa kita dapat memanfaatkan kelebihannya. 

Marilah kita sama-sama perbetulkan objektif kita, perhalusi niat kita, tingkatkan tekad untuk komited kepada ibadah yang disyorkan, muhasabah diri dan menginsafi kewujudan kita yang singkat di dunia, di dalam bulan yang suci ini.

Marilah kita jadikan Ramadan yang akan tiba ini, Ramadan terbaik yang pernah kita lalui, dipenuhi dengan ketaqwaan kepada Allah yang Maha Esa. Semoga apabila Ramadan meninggalkan kita, kita masih kekal tawaduk dan istiqomah dengan ibadah yang kita usahakan, dan kita menjadi seorang hamba yang taat kepada segala perintah-Nya sehingga kita dipertemukan lagi di Ramadan seterusnya, insyaAllah. 

NOTA: Kolum Catatan Pencinta Kopi dibuka kepada sesiapa sahaja yang ingin berkarya di mymuslimin.com. Hantarkan kisah atau catatan anda ke email kami di mymuslimin2022@gmail.com dan kami akan menyiarkannya di kolum ini sekiranya terpilih.

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: