“Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.”
(Surah al-Isra’:37)
Ayat di atas melarang manusia daripada bersifat sombong. Dalam hal ini, Islam ternyata memberikan perintah agar manusia menyedari bahawa setinggi dan sehebat manapun kedudukannya di dunia ini tidak akan dapat melampaui keagungan ciptaan Allah SWT dan tidak dapat menembusi bumi bahkan juga tidak dapat menandingi ketinggian gunung. Sikap sombong ini tidak layak dimiliki oleh manusia sebagai makhluk Allah yang kerdil, hina dan tidak ada daya upaya apapun tanpa izin dan kekuatan daripada Allah SWT.
Bagaimanakah untuk menjadi manusia yang tawaduk dan tidak sombong kepada Allah SWT?
1. Laksanakan Solat
Pertama, laksanakanlah solat dengan sempurna kerana dengan melaksanakan solat menunjukkan kita adalah seorang hamba-Nya yang tawaduk, merendah diri dan taat. Sebagai hamba kita perlu merendahkan diri di hadapan Allah SWT, bersujud kepada-Nya dengan meletakkan kepala kita iaitu anggota badan yang paling tinggi dan mulia ke tempat paling rendah di atas lantai atau sejadah serta memuji-muji Allah SWT.
2. Berdoa & Memohon Hanya Kepada Allah SWT
Kedua, berdoa dan mohonlah segala hajat hanya kepada Allah SWT. Dengan berdoa menunjukkan kita ini seorang hamba yang sentiasa berhajat pada Allah SWT. Ketika berdoa kepada Allah SWT mohonlah dengan bersungguh-sungguh dan khusyuk tanpa jemu dan putus asa. Allah SWT akan memakbulkan doa hamba-hamba-Nya yang bertaqwa.
3. Bacalah Al-Quran & Teliti Makna-Maknanya
Ketiga, bacalah al-Quran setiap hari dan telitilah makna-maknanya untuk diambil pengajaran dan dijadikan panduan. Kita hanyalah hamba yang sentiasa memerlukan petunjuk dan bimbingan oleh Allah SWT. Al- Quran adalah mukjizat daripada Allah SWT kepada Umat Nabi Muhammad SAW. Santuninya setiap hari tanpa jemu. Jangan hanya dibiarkan sepi disudut meja tanpa dibuka dan dibaca. Berbicaralah melalui kalamullah untuk menunjukkan rasa syukur dikurniakan mukjizat al-Quran dan dengannya kita akan memperoleh ketenangan serta dapat menyuburkan rasa cinta kepada Allah SWT.
4. Berzikir Memuji Allah SWT
Keempat, berzikir memuji Allah SWT yang Maha Agung selayaknya yang perlu dilakukan oleh seorang hamba. Puji-pujian hanya untuk-Nya, dengan zikir kita akan mendapat ketenangan hati dan jiwa. Kehidupan kita sebagai hamba sentiasa diuji dengan kesedihan, penderitaan dan kesusahan kepada jiwa kerana kita memang diciptakan penuh kelemahan. Zikirlah yang menguatkan kita sebagaimana firman Allah SWT;
“(laitu) orang-orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”
(Surah Ar-Ra’d: 28)
5. Istighfar Kepada Allah SWT
Kelima, Istighfar kepada Allah SWT, sebagai hamba kita tidak lari dari melakukan kesalahan dan dosa. Jangan pernah jemu memohon keampunan daripada-Nya. Rendahkan hati mengaku dan mengadu serta memohon keampunan daripada Allah SWT selalu. Sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.
Manusia juga perlu sedar semua yang ada di dunia ini hanyalah sementara. Tiada yang kekal milik kita walau harta sebesar zarah sekalipun. Apatah lagi kuasa, pangkat dan darjat yang dimiliki. Jadilah manusia yang tidak sombong dengan Tuhannya dan tidak sombong dengan sesama manusia. Mari kita bermuhasabah dan memperbaiki diri. Kita perlu insaf dan akui bahawa kita manusia yang amat dhaif dan lemah. Segala kehebatan dan kelebihan yang ada pada diri kita adalah anugerah daripada-Nya dan akan ditarik balik pada bila-bila masa sahaja.

Sumber: Artikel Dakwah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)
Leave a Reply