Ibubapa, pesanlah pada anak-anak agar jangan buat menarik atau mengalihkan kerusi ketika seseorang hendak duduk. Gurauan ini boleh mendatang mudarat besar pada mangsa.
Sepanjang saya berkhidmat sebgai doktor rehabilitasi, saya jumpa beberapa kes kelumpuhan kerana gurauan menarik kerusi ini. Kebanyakan kes ini melibatkan kanak-kanak.
Apabila kerusi ditarik, mangsa akan jatuh dalam keadaan terduduk. Ini boleh menyebabkan kecederaan tulang belakang dan saraf tunjang. Ia boleh menyebabkan ketidakupayaan yang kritikal.
Kecederaan pada tukang belakang dan saraf tunjang boleh menyebabkan gejala-gejala berikut:
■ kebas (hilangnya deria sentuhan)
■ kelumpuhan anggota
■ kehilangan kawalan kencing dan berak
■ kesakitan neuropatik
Gejala-gejala ini mengakibatkan pesakit tidak boleh berjalan, terpaksa memakai lampin, perlu memakai tiub kencing, bergantung pada ubat tahan sakit, dan berkemungkinan terlantar.
Gelaja-gejala ini adakalanya bersifat sementara, tetapi adakalanya bersifat kekal. Semakin lama gejala ini berlaku, maka meningkat pula kebarangkalian berlaku komplikasi serius.
Antara komplikasi serius yang boleh berlaku adalah: kekejangan (spasm) dan kekejungan (contracture) otot, otot mengecil (muscle wasting), luka tekanan (pressure sore), dan lain-lain.
Jika kecederaan yang berlaku agak parah, maka rawatan yang diperlu dijalankan akan memerlukan kos yang tinggi dan masa yang panjang. Boleh cecah ratusan ribu ringgit, dan bertahun-tahun lamanya.
Ada juga pesakit yang mengalami ketidakupayaan ini sehingga hujung nyawa. Ia memberi kesan yang amat besar dalam kehidupan seseorang.
Kecederaan akibat gurauan sebegini adalah sesuatu yang boleh dielakkan. Malah ia wajib dielakkan. Menjadi tanggungjawab ibubapa untuk didik dan tegah anak daripada melakukan gurauan itu.
Semoga bermanfaat.
Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan, Doktor Perubatan Rehabilitasi
#NotaDrKamarul
Leave a Reply