Teks Khutbah Jumaat: Raikan Ramadan, Jauhi Pembaziran

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita memperteguhkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala tegahan-Nya. Semoga kita sentiasa istiqamah melakukan amalan ketaatan sebagai bekalan di hari kebangkitan. Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: “Raikan Ramadan, Jauhi Pembaziran”.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Ramadan bakal tiba beberapa hari sahaja lagi. Sebagai muslim, kita seharusnya menyambutnya dengan cara terbaik melalui persiapan ilmu, penjagaan kesihatan fizikal dan mental serta memperkukuhkah lagi dengan melazimi solat berjemaah di masjid dan surau. 

Kita juga sangat digalakkan memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat dan amalan kebajikan di samping meninggalkan segala perbuatan yang sia-sia dan merugikan. Semoga kita dapat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan nanti dengan sempurna supaya dapat digolongkan bersama orang-orang yang bertakwa di sisi Allah SWT. 

Hayati firman Allah SWT menerusi surah surah al-Baqarah ayat 183 :

“Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

(Al-Baqarah 2:183)

Sememangnya Ramadan ialah bulan rahmat dan berkat. Allah SWT mengurniakan pelbagai kelebihan dan ganjaran kepada hamba-hamba-Nya yang taat mengerjakan ibadah dan amalan kebaikan. 

Justeru, kita tidak seharusnya mensia-siakan bulan yang bakal tiba ini dengan sebarang perlakuan yang sia-sia. Perkara yang sering kali berlaku pada setiap kali tibanya Ramadan yang tidak disedari ialah pembaziran makanan yang meningkat melebihi bulan-bulan biasa.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Pembaziran makanan ialah perbuatan yang keji dan sangat ditegah oleh Islam. Jika dilihat berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), pada tahun 2019 Malaysia telah dinobatkan sebagai negara yang paling banyak membazirkan makanan iaitu sebanyak 260 kg bagi setiap seorang yang kebanyakan berlaku ketika bulan Ramadan.

Setiap hari kita menghasilkan sekurang-kurangnya 38,000 tan sampah atau sisa yang mana 44.5% daripada jumlah sisa tersebut ialah sisa makanan iaitu hampir sebanyak 17,000 tan sisa sehari. Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, secara purata sebanyak 2,400 tan sampah dihasilkan sehari, dan sampah yang dijana pada bulan Ramadan dijangka meningkat sebanyak 20% iaitu bersamaan dengan 2,760 tan sehari. Sisa makanan menjadi penyumbang terbesar pada bulan Ramadan terutamanya daripada bazar dan majlis berbuka puasa. 

Bukankah Allah SWT mengingatkan kita menerusi firman-Nya di dalam surah al-Isra’ ayat 27 yang bermaksud: 

“Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

(Al-Isra 111: 27)

Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan khususnya melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan bagi memastikan isu permasalahan berkaitan pengurusan sampah dan sisa pepejal dapat diuruskan dengan baik.

Selaras dengan itu, kita mengharapkan masyarakat dapat memberikan kerjasama yang erat dan sedar akan kepentingan memelihara kebersihan alam sekitar. Kempen-kempen kesedaran kepada masyarakat mesti dipertingkatkan lagi seperti penganjuran Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran, Kempen Trash to Cash, Kempen Berani Tegur dan lain-lain program yang selaras dengan Matlamat Pembangunan Mapan ke-12.

Kita perlu dan mesti mengubah sikap kita di bulan Ramadan. Bersederhanalah ketika berbelanja membeli juadah berbuka, rancanglah dengan bijak ketika hendak membeli bahan-bahan mentah untuk masakan dan janganlah mengikut hawa nafsu.

Makanan berbuka puasa bukanlah semata-mata untuk kenyang tetapi sewajarnya ia diambil sekadar yang sepatutnya di samping dapat mengembalikan tenaga untuk beribadah di malam-malam Ramadan.  Utamakan juadah yang tinggi khasiat dan protein untuk kesihatan diri. 

Kepada peniaga-peniaga bazar Ramadan, pengusaha-pengusaha restoran dan majlis berbuka puasa, sediakanlah juadah mengikut keperluan dan permintaan supaya makanan yang disediakan dapat dijual dan tidak menjadi pembaziran sehingga terpaksa dibuang. Jika ada lebihan makanan, hadiahkanlah kepada pihak yang memerlukan kerana inilah di antara amalan yang sangat digalakkan di bulan Ramadan. 

Di samping itu, amalkan kebersihan diri dan premis serta gunakan bungkusan makanan yang mesra alam sekitar. Bahan-bahan mentah masakan yang tidak habis digunakan mestilah disimpan dengan rapi dan selamat.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Tidak dinafikan bahawa kita sedang menghadapi keadaan peningkatan kos sara hidup. Sudah tentu ianya memberi kesan kepada perbelanjaan keluarga dan isi rumah. Lazimnya, kita mampu meminimakan perbelanjaan tatkala berada di bulan Ramadan. Namun, dalam suasana peningkatan kos sara hidup sudah tentu ianya turut memberi kesan kepada peningkatan perbelanjaan harian. Dalam menghadapi keadaan ini, kita mestilah mengetahui hak-hak sebagai pengguna dan mempraktikkannya sebaik mungkin.

Terdapat lapan hak pengguna yang mesti kita fahami iaitu hak mendapatkan keperluan asas, hak mendapatkan barangan dan perkhidmatan yang selamat, hak mendapatkan maklumat, hak membuat pilihan, hak menyuarakan pendapat, hak mendapatkan ganti rugi, hak mendapatkan pendidikan pengguna dan hak untuk hidup dalam keadaan alam sekitar yang sihat dan selamat.

Bertepatan dengan tema Hari Pengguna Kebangsaan 2023 iaitu “Pengguna Berdaya, Negara Rahmah Sejahtera”, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan inisiatif Payung Rahmah yang merangkumi lima program utama iaitu Bakul Rahmah, Jualan Rahmah, Pakej Rahmah, Kafe Rahmah dan Menu Rahmah. Di bawah inisiatif ini, penggembelengan usaha di antara kerajaan, pemain industri, pengusaha dan pengguna dapat dilihat terutama komitmen kerajaan membantu rakyat mendepani cabaran peningkatan kos sara hidup.

Sebagai pengguna, kita mesti bijak dalam bertindak dan mendapatkan hak-hak kepenggunaan. Jika ada sebarang kesalahan atau pelanggaran terhadap undang-undang oleh mana-mana peniaga, salurkan segera aduan kepada KPDN melalui Aduan Suri yang boleh dibuat menggunakan aplikasi Whatsapp dan portal eAduan. Sebarang pertikaian dengan pihak penjual, penipuan atau tidak mendapat perkhidmatan yang sewajarnya, kita boleh membuat tuntutan tebus rugi melalui Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.

Khatib sekali lagi menegaskan kepada Jemaah sekalian, marilah kita menjadikan Ramadan kali ini sebagai Ramadan yang terbaik di sepanjang kehidupan kita. Di samping memperbanyakkan ibadah dan amalan, kita mestilah mengelakkan sebarang bentuk pembaziran terutamanya makanan.

Jadilah pengguna yang bijak dalam menguruskan perbelanjaan keluarga dan mengamalkan kesederhanaan agar rahmat dan keberkatan Ramadan dapat kita perolehi.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Sambutlah ketibaan Ramadan dengan persiapan ilmu, penjagaan kesihatan fizikal dan mental serta melazimi solat berjemaah di masjid dan surau.

Kedua: Amalkanlah kesederhanaan di sepanjang Ramadan dengan mengelakkan sebarang bentuk pembaziran terutamanya dalam penyediaan dan pembelian makanan.

Ketiga: Jadilah pengguna yang bijak dengan mempraktikkan hak-hak kepenggunaan dan segera bertindak melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang oleh peniaga.

Mengakhiri khutbah, renungkan bersama firman Allah SWT menerusi surah al-Furqan, ayat 67 yang bermaksud: 

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.”

(Al-Furqan 77: 67)

Tarikh Dibaca: 24 Syaaban 1444H/17 Mac 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: