Athar dipetik daripada kitab Talbis Iblis:
يُوسُفُ بْنُ أَسْبَاطِ قَالَ، قَالَ سفيانُ، يَا يُوسُفُ إِذَا بَلَغَكَ عَنْ رَجُلٍ بِالْمَشْرِقِ أَنَّهُ صَاحِبُ سُنَّةٍ فَابْعَثْ إِلَيْهِ بِالسَّلَامِ وَإِذَا بَلَغَكَ عَنْ آخَرَ بِالْمَغْرِبِ أَنَّهُ صَاحِبُ سُنَّةٍ فَابْعَثْ إِلَيْهِ بِالسَّلَامِ فَقَدْ قَلَّ أَهْلُ السُّنَّةِ وَالجَمَاعَةِ.
“Yusuf Bin Asbath berkata, ‘Sufyan berkata kepadaku, ‘Wahai Yusuf, jikalau engkau mendengar seseorang di timur, bahawa dia berpegang kepada As-Sunnah, maka sampaikanlah salamku kepadanya, dan jikalau di barat engkau mendengar seseorang berpegang kepada As-Sunnah, maka sampaikanlah salamku kepadanya, kerana sedikit sekali orang daripada kalangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.”
Syarah dan Tahqiq
Digalakkan setiap orang yang mengamalkan Islam mengikut ajaran yang benar iaitu Ahlus Sunnah Wal Jamaaah untuk berkenalan di seluruh dunia. Sesungguhnya seluruh Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah bersaudara.
Maksud Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah orang Islam yang mengamalkan ajaran Islam berlandaskan sunnah yang ditinggalkan oleh baginda Nabi Muhammad S.A.W. Semua ajaran yang bertentangan dengan apa yang diajarkan Nabi adalah tidak benar dan sesat.
Tujuan menyampaikan salam kepada orang adalah untuk yang mengamalkan sunnah mengeratkan hubungan di antara Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Dengan mengirimkan salam, menunjukkan bahawa ukhuwah di antara ahlus sunnah itu kuat walaupun berjauhan.
Ini juga secara tidak langsung mengembangkan lagi jaringan ukhuwah dan dakwah kepada orang lain melalui ikatan tali persaudaraan. Umat Islam tidak hanya dilihat pada kekuatan fizikalnya, malahan kepada kekuatan ukhuwahnya. Ukhuwah yang kuat boleh menjamin dari timbulnya perpecahan dan persengketaan.
Kisah ukhuwah Aus dan Khazraj boleh dijadikan pedoman kepada umat Islam pada hari ini. Bagaimana dua puak yang selalu bertelagah, bersengketa, dan berperang akhirnya dapat disatukan selepas kedatangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.
Dua puak ini yang kelihatan mustahil dapat didamaikan pada masa itu akhirnya berjaya didamaikan oleh Nabi dan ukhuwahnya lebih hebat daripada kaum yang tidak pernah bersengketa. Dan akhirnya mereka bersatu teguh berdiri di belakang Nabi mempertahankan agama yang dicintai.
Begitulah pentingnya ukhuwah dan persahabatan sesama Islam, khususnya sesama Ahlus Sunnah Wal Jamaah.
Sumber: Belitan Tipu Daya Iblis, Syarah Terpilih Kitab Tablis Iblis Ibnu Jauzi oleh Dr Zaharuddin Abdul Rahman
Leave a Reply