Sidang Jemaah yang Dirahmati Allah,
Marilah kita berusaha meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan setiap suruhan-Nya serta meninggalkan segala tegahan-Nya. Mudah-mudahan takwa yang dibina dapat memberi kebahagiaan bukan sahaja untuk kehidupan kita di dunia bahkan di akhirat kelak.
Marilah kita menghayati khutbah hari ini yang bertajuk: “Syukuri Anugerah Ramadan”.
Sidang Jemaah yang Dirahmati Allah,
Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah SWT kerana sekali lagi diberi kesempatan bertemu dengan bulan Ramadan al-Mubarak pada tahun ini. Bulan yang amat bermakna bagi seluruh umat Islam. Bulan keampunan yang penuh dengan pelbagai ganjaran dan keistimewaan. Bulan diturunkan padanya al-Quran bersama kewajipan berpuasa yang menjadi wadah untuk manusia mencapai ketakwaan. Inilah ketetapan yang jelas terpapar dari firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud:
“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Maka sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa di bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, lalu menggantikannya) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah di atas petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.”
(Al-Baqarah 2: 185)
Ramadan adalah anugerah terindah buat umat Muhammad SAW.
Bulan yang menyediakan ruang untuk kita kembali kepada kemurnian jiwa insan dengan anugerah keampunan, rahmat, barakah dan ganjaran pahala yang besar. Inilah peluang untuk mengembalikan jiwa kehambaan dan ketaatan kepada Allah SWT yang tersedia sepanjang Ramadan. Gambaran ini jelas disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah dan At-Tirmizi daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Apabila menjelang malam pertama Ramadan, dibelenggu syaitan-syaitan dan ketua-ketua jin, ditutup semua pintu neraka tiada satu pun yang dibuka, dibuka semua pintu syurga tiada satu pun yang ditutup dan berseru (malaikat) pemanggil, “Wahai yang inginkan kebaikan, tampillah. Wahai yang inginkan kejahatan, berundurlah” dan Allah memperuntukkan ramai yang dilepaskan dari neraka. Semua ini berlaku pada setiap malam (Ramadan)”.
Subhanallah.. Inilah Ramadan.
Hargailah setiap detik waktu Ramadan kita. Hadiri solat fardu dan tarawih berjemaah di masjid dan surau. Tambahkan amalan sunat untuk kita memupuk jiwa kehambaan. Sertai halaqah tadarus dan bacalah al-Quran, banyakkan sedekah dan infaq serta hidupkan qiyam pada malam-malam Ramadan.
Berusahalah untuk istiqamah melakukan semua amalan ini sehingga ke penghujung Ramadan.
Gunakan apa juga nikmat kurniaan Allah SWT kepada kita untuk mengimarahkan Ramadan dengan pelbagai amalan. Antaranya, memuatkan aplikasi al-Quran pada telefon bimbit kita untuk memudahkan kita membaca al-Quran dan memperuntukkan sebahagian wang untuk bersedekah setiap hari di bulan ini. Dan semua itu harus terjelma dalam paparan nilai, akhlak, adab dan tingkah laku yang mulia dan baik dalam seharian kita menjalani kehidupan.
Ambillah peluang berbuat baik sebanyak mungkin sama ada dengan menaja atau memberi juadah berbuka puasa kepada jiran tetangga, para pelajar, golongan yang memerlukan, gelandangan dan fakir miskin bagi meraih ganjaran puasa yang berlipat ganda, sebanyak pahala puasa semua mereka yang menikmati juadah tajaan kita. Hulurkan juga sumbangan dana dan infak ke tabung ihya’ Ramadan di masjid dan surau dalam kariah kita atau di mana-mana sahaja bagi meraih saham akhirat dalam menjayakan aktiviti pengimarahan di bulan yang mulia ini.
Sidang Jemaah yang Dirahmati Allah,
Bersama kemeriahan ihya’ Ramadan dengan amal ibadah, isu pemilihan makanan untuk berbuka dan bersahur juga perlu diberi perhatian. Justeru, khatib mengambil kesempatan untuk mengingatkan para jemaah sekalian untuk memastikan tuntutan halalan toyyiban dalam makanan dipandang serius. Pastikan makanan diperolehi dari sumber yang halal dan tiada unsur syubhah. Begitu juga ketika berkunjung ke bazar Ramadan atau mana- mana premis jualan, pilihlah juadah daripada peniaga yang mengamalkan kebersihan dan penyediaan makanan yang berkhasiat untuk memelihara kesihatan termasuk memelihara etika-etika yang baik supaya kita dapat menunaikan ibadah dengan khusyuk dan sempurna. Seperkara lagi yang perlu diingatkan ialah elakkan pembaziran makanan dan kawallah nafsu keinginan sewaktu membeli makanan untuk berbuka.
Bagi yang berbuka puasa di restoran, hotel dan premis-premis seumpamanya, pastikan tahap kebersihannya dan makanan yang disajikan mempunyai pengiktirafan halal oleh pihak berkuasa. Perlu juga diingatkan, hadirlah dengan berpakaian menutup aurat, makanlah sekadar perlu dan jangan pula kerana asyik melayani aneka juadah yang terhidang, solat fardu Maghrib pula terabai dan tertinggal. Kepada pengendali makanan, pilihlah bahan-bahan mentah yang berkualiti, baik, bersih dan segar.
Dapatkan suntikan anti-tifoid daripada mana-mana premis kesihatan dan sentiasalah mengamalkan kebersihan diri. Semoga kita dapat mengelakkan daripada berlakunya sebarang penyakit seperti keracunan makanan supaya kita dapat menumpukan kepada amal ibadah dan ketaatan di sepanjang bulan Ramadan ini dengan sempurna.
Sidang Jemaah yang Dirahmati Allah,
Khatib ingin menarik perhatian para jemaah sekalian mengenai kenaikan kos sara hidup yang sememangnya sangat dirasai oleh semua masyarakat sama ada di dalam negara mahu pun di seluruh dunia. Ia telah memberi kesan yang besar kepada kenaikan harga barang dan perkhidmatan termasuklah juga kos untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini yang telah meningkat sebanyak RM30,850. Inilah jumlah kos sebenar yang perlu dibayar oleh setiap jemaah haji Muassasah Malaysia. Melihat kepada peningkatan kos tersebut, kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji telah menetapkan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar kepada jemaah Muassasah kali pertama yang melibatkan kumpulan B40 dan M40.
Jumlah bantuan kewangan bagi kumpulan B40 ialah sebanyak 64% daripada kos keseluruhan iaitu RM19,870 termasuk RM1,000 bantuan daripada kerajaan Malaysia, menjadikan jumlah yang hanya perlu dibayar oleh jemaah ialah sebanyak RM10,980. Manakala bagi kumpulan M40 pula jumlah bantuan kewangan yang diterima ialah sebanyak 48% daripada jumlah kos keseluruhan iaitu RM14,870, menjadikan jumlah yang hanya perlu dibayar oleh jemaah ialah sebanyak RM15,980.
Justeru, keprihatinan pihak kerajaan dan Lembaga Tabung Haji terhadap kebajikan para jemaah haji sangatlah dihargai demi memastikan kelancaran urusan dan kemaslahatan mereka sama ada sebelum berangkat ke tanah suci sehinggalah selesai mengerjakan ibadah haji. Semoga Allah SWT mempermudahkan urusan ibadah para jemaah haji pada tahun ini.
Sidang Jemaah yang Dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Ramadan adalah anugerah terbesar buat kita umat Muhammad SAW yang perlu dihargai dan disyukuri dengan sebaik-baik penghayatan.
Kedua: Hargai setiap detik Ramadan dengan ibadah, sedekah, membaca al-Quran dan amal ketaatan. Ia adalah peluang untuk meraih rahmat, barakah, ganjaran besar dan keampunan.
Ketiga: Pastikan tuntutan halalan toyyiban diutamakan dalam pemilihan dan penyediaan makanan untuk menjamin kesejahteraan tubuh badan dan kemurnian jiwa agar kita dapat menunaikan ibadah dengan khusyuk dan sempurna di sepanjang Ramadan.
Renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Ankabut, ayat 7 yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh sesungguhnya Kami akan hapuskan dari mereka kesalahan-kesalahan mereka, dan Kami akan membalas apa yang mereka telah kerjakan dengan sebaik-baik balasan.”
(Al-Ankabut 29:7)

Tarikh Dibaca: 2 Ramadan 1444H/24 Mac 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a Reply