Diriwayatkan daripada Abu Hurairah yang menceritakan:
Ertinya: “Bahawa Rasulullah bersabda, ‘Sekumpulan pengikut saya akan melintasi saya pada hari kiamat, namun mereka dihalang daripada mendekati telaga. Lalu saya berkata, ‘Wahai Tuhanku, para pengikutku – dalam riwayat lain di sisinya (al-Bukhari): … umatku -. Maka, Dia berfirman, ‘Sesungguhnya engkau tidak mempunyai pengetahuan tentang apa yang mereka telah adakan selepasmu. Sesungguhnya mereka kembali kepada (kekufuran) dalam keadaan berpatah balik ingkar.””” Ibnu Mulaikah berkata, “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung dengan-Mu daripada kembali kepada (kekufuran) atau beratnya ujian keimanan .”
(HR al-Bukhari dan Muslim – lafaz al-Bukhari)
Diriwayatkan daripada Anas RA, beliau berkata,
Ertinya: “Pada suatu hari, ketika Rasulullah SAW berada bersama kami, tiba-tiba Baginda tidur sebentar. Kemudian Baginda (terjaga dan) mengangkat kepalanya dalam keadaan tersenyum, lalu kami berkata, Apakah yang menyebabkanmu ketawa (tersenyum) wahai Rasulullah? Baginda menjawab, ‘Suatu surah telah diturunkan kepada saya sebentar tadi.’ Lantas Baginda membaca, ‘Dengan nama Allah Yang Maha Mengasihani lagi Maha Merahmati. Sesungguhnya Kami telah mengurniakan al-Kautsar kepadamu. Maka, kerjakanlah solat kepada Tuhan-Mu dan lakukanlah sembelihan. Sesungguhnya orang yang membencimu ialah orang yang terputus (daripada rahmat Allah SWT). Kemudian Baginda bersabda, ‘Adakah kalian tahu apa itu al-Kautsar?’ Kami menjawab, ‘Allah dan Rasul-Nya sahaja yang mengetahui.’ Baginda bersabda, ‘Sesungguhnya ia adalah sebatang sungai yang telah dijanjikan oleh Tuhan saya Azzawajal kepada saya, padanya terdapat kebaikan yang banyak. Ia adalah telaga yang akan dilintasi oleh umat saya pada hari kiamat, bekasnya sebanyak bintang di langit. Namun seorang hamba dalam kalangan mereka dihalang, lalu saya berkata, ‘Wahai Tuhanku, sesungguhnya dia termasuk dalam kalangan umatku.’ Dia berfirman, ‘Engkau tidak tahu apa yang dia telah adakan selepasmu.””
(HR Muslim, Abu Daud dan al-Nasa’i – lafaz Muslim. Tahkik Sunan Abi Daud; Sanadnya sahih)
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA, beliau berkata,
Ertinya: “Rasulullah SAW bersabda di Arafah dalam keadaan Baginda berada di atas untanya yang terpotong hujung telinga, sabdanya, ‘Adakah kalian tahu apakah hari ini, apakah bulan ini, dan apakah negeri ini?’ Mereka (para sahabat) menjawab, ‘Inilah negeri haram, bulan haram dan hari haram.’ Baginda bersabda, ‘Ingatlah, sesungguhnya harta dan darah kalian menjadi haram ke atas kalian seperti haramnya bulan kalian ini, di dalam negeri kalian ini, pada hari haram kalian ini. Ingatlah, sesungguhnya saya mendahului kalian ke telaga dan saya berbangga dengan ramainya kalian di hadapan umat lain, maka janganlah kalian menghitamkan wajah saya (dengan melakukan maksiat). Ingatlah, sesungguhnya saya memohon diselamatkan sekumpulan manusia namun sekumpulan manusia dijauhkan daripada saya. Lalu saya berkata, ‘Wahai Tuhanku, mereka adalah para pengikutku’ Dia berfirman, ‘Sesungguhnya engkau tidak tahu apa yang mereka ada-adakan (lakukan) selepasmu.”
(HR Ibnu Majah. Menurut al-Bushiri, sanadnya sahih)
Pengajaran
- Al-Kautsar ialah sungai di syurga atau telaga syurga yang diberikan kepada Nabi SAW dan airnya diminum oleh umat Baginda.
- Al-Kautsar juga bermaksud kebaikan yang banyak merangkumi al-Quran, kenabian, syafaat dan sebagainya.
- Umat Nabi SAW dikenali pada hari kiamat melalui anggota badan yang bercahaya kerana lebihan basuhan wuduk.
- Golongan yang tidak dibenarkan mendekati telaga Nabi SAW ialah orang munafik dan murtad daripada agama Islam.
Sumber: Hadis Qudsi oleh Muhammad Yusuf A Kadir
Leave a Reply