Berkata Imam Al Jauzi yang bermaksud:
“Tatkala Nuh A.S.sedang naik perahu, beliau melihat lelaki tua (jelmaan Iblis) yang sebelumnya tidak pernah dilihatnya. Nabi Nuh A.S. bertanya, ‘Apakah yang mendorongmu masuk ke kapal ini?’ Orang tua itu menjawab, ‘Aku masuk ke sini untuk mengambil hati sahabat-sahabatmu bersertaku dan membiarkan jasadnya bersamamu.’ Nabi Nuh A.S. membalas, ‘Keluarlah wahai musuh Allah.’ Iblis berkata, ‘Aku akan merosakkan manusia dengan lima perkara. Aku akan memberitahumu tiga daripadanya dan tidak akan memberitahu dua yang lainnya.””
“Lalu Allah mewahyukan kepada Nuh A.S., ‘Kamu tidak memerlukan yang tiga perkara itu. Maka suruhlah Iblis memberitahu dua sahaja daripadanya.’ Maka Iblis menjawab, ‘Dengan dua perkara itu aku akan merosakkan manusia dan keduanya tidak akan berdusta, iaitu tamak dan dengki.
Kerana dengki aku dilaknat dan aku menjadi syaitan yang terkutuk. Dan kerana tamak, aku memberi kesempatan kepada Adam A.S., lalu aku menggodanya sehingga dia dikeluarkan daripada syurga.”
Syarah dan Tahqiq
Dua perkara yang boleh merosakkan dan menjahanamkan manusia ke arah lembah kejahatan.
Dua perkara itu adalah TAMAK dan juga DENGKI.
Ini diberitahu sendiri oleh syaitan kepada Nabi Nuh A.S. ketika peristiwa azab banjir besar yang ditimpakan oleh Allah S.W.T. kepada umat Nabi Nuh A.S. Kerana keengganan dan kesombongan dalam menerima dakwah yang dibawakan oleh Nabi Nuh A.S. selama 950 tahun, Allah S.W.T. telah menimpakan ke atas umat Nabi Nuh A.S. banjir yang amat besar dan dahsyat sehingga menenggelamkan seluruh umatnya, termasuklah isteri dan anaknya.
Kisah ini ada dinukilkan di dalam Al-Quran.
Tamak bermaksud satu kehendak yang melampau-lampau sehingga sanggup mengetepikan hukum-hakam. Syaitan telah menusukkan jarum halus iaitu tamak kepada Nabi Adam A.S. sehingga sanggup melanggar perintah Allah S.W.T. Kisah Adam A.S. dan Iblis ada disebutkan di dalam surah Al-Baqarah.
Hasad dengki bermaksud seseorang yang mencemburui dan menginginkan keruntuhan dan kehancuran nikmat yang dimiliki oleh seseorang yang lain. Hukumnya haram di sisi Islam.
Berbeza pula dengan Ghibtah. Ghibtah bermaksud iri hati. Iri hati yang dimaksudkan adalah iri hati terhadap nikmat yang dikurniakan, nikmat yang serupa ataupun lebih, tanpa berniat kepada orang lain dan berusaha untuk mendapatkan menjatuhkan nikmat orang lain.
Ghibtah sebegini hukumnya harus jikalau berkaitan dengan urusan dunia sehingga jatuh kepada hukum sunat (mustahab) jikalau ia berkaitan dengan hal ibadah.
Sumber: Belitan Tipu Daya Iblis, Syarah Terpilih Kitab Tablis Iblis Ibnu Jauzi oleh Dr Zaharuddin Abdul Rahman
Leave a Reply