Setiap seorang bercita-cita ingin menjadi hartawan. Tidak orang pun yang ingin hidup miskin kerana realiti kehidupan di dunia sekarang memerlukan kepada biaya hidup yang tinggi. Apatah lagi kehidupan moden sekarang perlu sokongan dan bantuan peralatan serba canggih. Semuanya perlu diraih dengan wang ringgit dan harta benda yang banyak.
Setiap detik dunia menjadi sibuk dengan penghuninya yang sibuk mencari rezeki. Bukan sekadar untuk memenuhi keperluan hidup, malah tidak kurang yang ingin memburu harta dan menghimpunnya sebanyak mungkin dengan apa cara sekalipun.
Kebetulan peluang sedang terbuka luas bagi mereka mengira halal dan haram, sudah tentu tawaran daripada pelbagai bank riba begitu lumayan bagi mendapatkan modal. Tindakan itu sesuai dengan dorongan dan galakan pihak tertentu hendak menjadikan rakyat negara ini setanding dengan negara maju dalam jangka masa 30 tahun akan datang.
Manusia dan harta seperti gula dan semut. Oleh itu setiap kali ada berita tentang peluang-peluang baru untuk mendapatkan harta, seperti terjumpanya emas di perut bumi di suatu kawasan, maka manusia akan berduyun-duyun datang. Mereka mengorek tanah siang dan malam untuk mengeluarkan emas, sehingga kadang kala mereka tertimbus di dalam terowong yang digalinya sendiri.
Suatu hari Rasulullah S.A. W telah dikunjungi oleh malaikat Jibrail, membawa tawaran dari Allah S.W.T untuk menukarkan semua bukit-bukit batu di sekitar Mekah menjadi bukit emas. Rasulullah S.A.W ketika mendengar tawaran itu menjelaskan sikapnya kepada Malaikat Jibrail itu melalui doanya yang bermaksud:
“Tidak wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku lebih suka dalam hidupku berkeadaan lapar sehari dan kenyang sehari, kerana ketika waktu lapar dapatlah aku ‘bertadharruk’ (merintih merayu) terhadap-Mu ya Tuhanku, dan apabila aku dalam keaadaan kenyang maka dapatlah aku memuji-Mu dan mensyukuri ni’matMu ya Allah.”
Cuba kita bayangkan tawaran seperti itu dikemukakan terhadap manusia yang sedang memburu harta dunia seperti sekarang ini, sudah pasti mereka akan mengatakan bahawa dia sedang berhadapan dengan harta karun yang datang tepat pada waktunya.
Namun bagi Rasulullah S.A.W. bersikap sebaliknya, baginda meredai kehidupannya yang sedang dilaluinya ketika itu, iaitu lapar sehari dan kenyang sehari. Lapar bukan semata-mata kerana baginda berpuasa, tetapi sememangnya realiti kehidupan Rasulullah S.A.W dan para isterinya kerap kali mengalami keadaan seperti itu, iaitu ketika dapur isteri-isteri baginda tidak berasap disebabkan tidak ada bahan makanan yang hendak dimasak pada hari itu.
Mengapa Rasulullah S.A.W merasa senang dengan keadaan hidup yang sehari berlapar dan sehari kenyang?
Justeru lapar di sisi orang mukmin boleh meningkatkan harapan yang tinggi terhadap Allah ar-Razzaq, menjadikan dia lebih hampir kapada Allah S.W.T apabila hatinya sentiasa merintih dan memohon limpah rezeki daripada-Nya. Menanti bilakah datangnya kurnia Allah itu menjadikan dia tidak pernah alpa walau sejenak daripada mengingati Allah.
Renunglah kembali bagaimana kanak-kanak yang mula berlatih menjalani ibadah puasa, dia menahan lapar hingga menjelang petang, sentiasa merintih di hadapan ibunya. Justeru ibunya sering memujuknya agar dia bersabar, kerana matahari akan terbenam tidak lama lagi. Rasa lapar menyebabkan timbulnya harapan untuk kanak-kanak itu menanti saat yang dijanjikan oleh ibunya iaitu waktu berbuka.
Rasulullah S.A. juga menyatakan bahawa lapar yang dialaminya menjadikan baginda sentiasa ‘tadharruk’ iaitu hatinya sentiasa merintih merayu kepada Tuhan. Sifat tadharruk itulah yang menyuburkan jiwa dan sanubari baginda kerana sentiasa berhubung dengan Allah S.W.T dalam rintihan dan doanya. Ini tidak bermakna bahawa hanya ketika lapar sahaja baginda bertadharruk kepada Allah S.W.T.
Kenikmatan akan lebih dirasai bagi seseorang yang mendapat sesuatu ketika mereka amat memerlukan. Apa yang diterimanya sungguh bermakna. Misalnya seperti orang yang sedang menanggung kelaparan tiba-tiba menerima sedekah atau hadiah makanan, atau seorang musafir yang bertemu telaga air di tengah padang pasir. Alangkah besarnya rasa kesyukuran mereka tidak dapat dibayangkan.
Demikianlah Rasulullah S.A.W yang sentiasa redha dengan kehidupannya sehari berlapar dan sehari kenyang, sikap dan pendirian baginda tidak menerima tawaran dari Allah yang menjanjikan kesenangan hidup apabila bukit bukau menjadi gunung emas. Justeru penolakan itu sesuai dengan iman yang dimiliki oleh Rasulullah S.A.W.
Selain itu, tawaran berupa gunung emas itu juga mungkin merupakan suatu ujian yang besar kepada Rasulullah S.A.W walaupun baginda yang mendapat tarbiyah terus dari Allah, pasti tidak akan terjejas keimanannya dengan kehadiran gunung emas yng ditawarkan itu. Namun baginda adalah suri teladan dan contoh ikutan kepada umatnya yang mesti berhati-hati dalam menghadapi pengaruh dunia.
Justeru tugas sebagai Rasulullah adalah amat berat, jerih payah dalam usaha melaksanakan dan memperjuangkan Islam itu tidak dapat diringankan semata-mata hanya dengan datangnya gunung emas anugerah yang ditawarkan oleh Allah S.W.T. Apabila Islam mencapai kejayaan yang gemilang setelah munculnya gunung emas, mungkin musuh-musuh Islam akan mengatakan bahawa sekiranya tanpa bantuan kekayaan dari gunung emas itu nescaya kejayaan Islam sukar dicapai.
Adalah tepat penolakan Rasulullah S.A.W terhadap tawaran itu, agar tidak timbul sebarang fitnah terhadap Islam. Kejayaan itu kerana disebabkan agama Islam sendiri mengandungi ajaran dan syariat yang sesuai dengan fitrah hidup manusia sepanjang zaman, ia dapat diterima oleh sekalian insan. Faktor lain yang sama pentingnya ialah akhlak dan sifat-sifat mulia yang ada pada baginda yang dikuti oleh para sahabatnya menjadi penentu terhadap kejayaan Islam dalam waktu yang singkat.
Demikianlah Rasulullah S.A.W memperlihatkan sifat zuhud dan qanaah dalam kehidupan hariannya, yang dianuti oleh para sahabatnya.
Bagaimanapun bagi mereka yang tidak terdaya melalui kehidupan zuhud seperti yang dicontohkan oleh baginda itu, mereka harus tahu menyesuaikan dengan tahap keimanan diri masing-masing, kerana Rasulullah S.A.W pernah mengingatkan umatnya bahawa,
“Kefakiran itu hampir menjerumuskan seseorang ke lembah kekufuran.”
Keimanan yang lemah memungkinkan terjadinya sesuatu yang negatif terpaksa dilakukan kalau telah diancam kelaparan, kadang kala manusia sanggup berbuat apa saja apabila sudah terdesak. Adalah dikira wajar bagi orang awam memiliki harta lebih-lebih lagi jika harta itu boleh membantu mempertahankan keimanan masing-masing.
Sumber: Taqwa oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a Reply