Teks Khutbah Jumaat: Ramadan Dihidupkan, Rumah Allah Diimarahkan

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita memperteguhkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala tegahan-Nya di samping memperbanyakkan ibadah dan amalan ketaatan di bulan yang mulia ini. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang berjaya melalui tarbiah Ramadan.

Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: “Ramadan Dihidupkan, Rumah Allah Diimarahkan”.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Hari ini genap sembilan hari umat Islam menjalani ibadah puasa. Dalam tempoh hampir satu pertiga bulan kita menjalani ibadah puasa, ia pastinya sedikit sebanyak dapat mendidik dan memperbaiki akhlak kita ke arah yang lebih baik dan positif. Peranan puasa dalam pembinaan akhlak adalah sejajar dengan matlamat utama umat Islam diwajibkan berpuasa. 

Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang dibacakan pada permulaan ayat tadi di dalam surah Al-Baqarah ayat 183 bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

(Al-Baqarah 2: 183)

Berdasarkan ayat ini dapat difahami bahawa ibadah puasa adalah wasilah dalam menuju takwa. Ia merupakan salah satu cara yang mampu membina, mempertingkatkan dan memperkukuhkan rohani dan akhlak bagi orang yang berpuasa serta melorongkan mereka untuk taat dan patuh hanya kepada perkara-perkara yang diredai oleh Allah SWT. Inilah hikmah yang terbesar daripada perlaksanaan ibadah puasa yang penuh dengan adab dan etikanya.

Ibadah puasa bukan sahaja membantu dalam pembinaan akhlak dan peribadi umat, bahkan ia juga merupakan perisai atau benteng bagi mencegah manusia daripada melakukan perbuatan yang buruk dan ditegah, seperti mengeluarkan tutur kata yang tidak elok, mencetuskan permusuhan ke atas orang lain, serta melindungi diri daripada bertuhankan nafsu syahwat yang selalu mengajak manusia melakukan perkara-perkara kejahatan dan dosa. Hal ini telah dinyatakan dengan jelas sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abi Daud daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Puasa itu adalah perisai. Oleh itu, janganlah berkata keji dan jangan juga bertelingkah laku (seperti orang) jahil. Sekiranya ada seseorang membawanya berbunuhan atau mencelanya, maka katakanlah: Sesungguhnya aku sedang berpuasa – sebanyak dua kali.”

(HR Imam Abi Daud daripada Abu Hurairah RA)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Tawaran pahala yang dijanjikan Allah SWT menjadi daya semangat buat umat Islam memperkasakan jiwa masing-masing ketika dalam bulan Ramadan ini. Jika sebelumnya boleh jadi kita jarang sekali menghadiri solat berjemaah di masjid atau surau kerana kesibukan tugas dan lewat pulang, tetapi tidak di bulan ini kerana Ramadan menjadi pendorong untuk kita merebut peluang mengimarahkan rumah Allah.

Kegemilangan zaman Rasulullah SAW sangat berkait rapat dengan pembentukkan kekuatan rohani dan jasmani yang banyak dilakukan di masjid. Firman Allah SWT di dalam surah at Taubah ayat 18 yang maksudnya:

“Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.”

(At-Taubah 9:18)

Daripada maksud ayat ini, kita boleh bayangkan betapa besarnya ganjaran yang disediakan Allah SWT kepada orang yang mengimarahkan masjid. Lebih-lebih lagi aktiviti pengimarahan ini dilakukan di bulan Ramadan yang penuh dengan kelebihan dan keistimewaan terutamanya dari segi amal pahala ibadat yang dilipatgandakan oleh Allah SWT. Sesungguhnya pedoman yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW jelas mencerminkan kepada kita betapa tinggi dan bernilainya setiap detik dalam bulan Ramadan.

Kita perlu berusaha merebut peluang yang dikurniakan ini dengan meningkatkan penyertaan dan kehadiran ke masjid atau surau untuk menunaikan solat fardu dan solat sunat tarawih secara berjemaah, mengikuti kelas-kelas pengajian, program tadarus al-Quran, majlis berbuka puasa dan lain-lain aktiviti pengimarahan di masjid dan surau. Justeru, kita mesti merebut peluang ini dengan menjadikan masjid dan surau sebagai tempat utama untuk dikunjungi di bulan Ramadan agar kita dapat menjayakan tarbiah Ramadan untuk membina ketinggian takwa kepada Allah SWT.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Masjid dan surau merupakan tempat yang terpenting dan paling mulia dalam kehidupan umat Islam. Kewujudannya bagi memenuhi kewajipan ibadah di samping berperanan sebagai tempat menyemarakkan penyatuan umat Islam. Seiring dengan tuntutan arus kemajuan masa kini, masjid dan surau perlu terkehadapan dalam urus tadbirnya agar ia lebih berdaya maju dan cekap mendepani keperluan umat Islam. Justeru, pihak pengurusan masjid dan surau bersama-sama ahli kariah mesti mengorak langah sederap bersama dalam meningkatkan keupayaan institusi ini sebagai pusat pembinaan ummah.

Pemerkasaan fungsi masjid dan surau mesti diusahakan dalam aspek pentadbiran, fasiliti, perekonomian, pendidikan dalam semua peringkat umur dan kebajikan. Pengurusan dana yang cekap dan telus juga menjadi jaminan kepada kecemerlangan pengurusan institusi ini. Sememangnya pelbagai program telah dirangka dan disusun oleh masjid dan surau sebagai wadah kepada umat Islam menghidupkan bulan Ramadan ini. Selain sebagai tempat kita mencari rahmat dan pahala, program-program ini juga dapat mengeratkan persaudaraan dalam kalangan masyarakat Islam itu sendiri.

Namun demikian, masih ramai umat Islam yang perlu disantuni agar mereka lebih dekat dengan masjid dan surau. Para pentadbir dan Ahli Jawatankuasa yang diberi amanah mestilah memikirkan cara untuk memperkasa dan mempelbagaikan lagi aktiviti masjid dan surau termasuklah aspek pembangunan ekonomi dan sosial. Manakala setiap anggota masyarakat perlu saling mengingatkan antara satu sama lain untuk meluangkan masa bagi mengunjungi dan mengimarahkan masjid dan surau bagi merebut ganjaran besar yang dijanjikan Allah SWT. Semoga kita menjadi orang-orang yang istiqamah mengimarahkan rumah-rumah Allah SWT.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Ibadah puasa mampu membina, mempertingkatkan dan memperkukuhkan rohani dan akhlak serta melorong kita untuk taat dan patuh hanya kepada perkara-perkara yang diredai oleh Allah SWT.

Kedua: Ramadan menjadi pendorong untuk kita merebut peluang mengimarahkan rumah Allah. Rebutlah peluang mengimarahkan masjid dan surau melalui solat fardu berjemaah, solat tarawih, tadarus al-Quran dan sebagainya.

Ketiga: Perkasakaan fungsi masjid dan surau dalam aspek pentadbiran, fasiliti, perekonomian, pendidikan dalam semua peringkat umur dan kebajikan. Uruslah dana dengan cekap dan telus bagi menjamin kecerlangan dalam pengurusan institusi umat Islam ini.

Mengakhiri khutbah, renungkan bersama firman Allah SWT menerusi surah An-Nur, ayat 36 yang bermaksud:

“(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya ; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.”

(An-Nur 24:36)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Mimbar mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena sambutan Hari JPJ kali ke-77 bagi tahun 2023 yang akan disambut pada bulan April ini. Sesungguhnya tugas dan peranan jabatan ini amatlah besar demi memastikan keselamatan para pengguna jalan raya dan menguatkuasakan undang-undang jalan raya di negara ini. Tugas jabatan ini juga termasuk dalam aspek maqasid al-Syariah iaitu memelihara nyawa manusia.

Mimbar mengingatkan kepada seluruh masyarakat, marilah kita mengamalkan etika pengguna jalan raya yang mematuhi undang-undang dan peraturan, mengutamakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain, saling bertimbang rasa ketika memandu dan memastikan kenderaan kita sentiasa diselenggara dengan baik. Semoga dengan sikap kita sebagai pengguna jalan raya yang baik dapat mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang boleh meragut nyawa.

Tarikh Dibaca: 9 Ramadan 1444H/31 Mac 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: