Banyak hadith dalam Sahih Al-Bukhari dan selainnya yang membincangkan galakan meninggikan suara apabila membaca Al-Quran. Walau bagaimanapun, terdapat athar para sahabat yang menggalakkan diperlahankan suara semasa membaca. Bab berhubung merendahkan suara ketika membaca Al-Quran akan dibahaskan secara ringkas bagi menunjukkan asal usul isu ini.
Abu Hamid Al-Ghazali dan ulama lain mengatakan, “Cara kita menyelaraskan antara pelbagai hadith dan athar yang dalam isu ini adalah memperlahankan suara ketika membaca Al-Quran lebih jauh daripada unsur riyak.” Ia lebih utama bagi sesiapa yang takut pada sifat negatif tersebut.
Seandainya seseorang itu tidak takut riyak, maka mengangkat dan meninggikan suara adalah lebih utama. Ini kerana usaha itu lebih banyak daripada membaca secara perlahan dan faedahnya diperoleh orang lain. Perkara yang memberi kesan kepada orang lain lebih utama daripada sesuatu yang tidak memberi tidak memberi apa-apa kesan.
Selain itu, meninggikan suara dapat membangkitkan hati pembaca Al-Quran dan membantu bagi memikirkan maksud ayat-ayat Al-Quran. Perbuatan itu juga dapat:
- Memantapkan pendengaran dengan lebih baik.
- Menghilangkan rasa mengantuk.
- Meningkatkan kecergasan badan.
- Membangunkan orang yang sedang tidur dan leka supaya mereka dapat kembali cergas.
Para ulama mengatakan, “Selama mana niat-niat yang baik tadi dapat dihadirkan dalam hati, maka meninggikan suara adalah lebih utama. Jikalau kesemua niat ini dihimpunkan, sudah pasti ganjaran akan berganda.”
Imam Al-Ghazali mengatakan, “Oleh itu, kita berpandangan membaca Al-Quran berpandukan mushaf lebih utama. Inilah hukum kepada isu ini.” Walaupun athar-athar yang disampaikan begitu banyak dan penulis nyatakan sebahagian daripadanya secara ringkas.
Dalam sebuah hadith shahih, Abu Hurairah r.a. mengatakan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. mengatakan,
“Allah tidak mendengar suara yang lebih baik daripada suara Nabi-Nya yang melagukan bacaan Al-Quran dengan bacaan yang kuat.”
(HR Imam Al-Bukhari dan Muslim)
Abu Musa Al-Asy’ari r.a. melaporkan, Rasulullah s.a. w. mengatakan,
“Saya dianugerahkan seruling daripada seruling-seruling keluarga Nabi Daud.”
(HR Imam Al-Bukhari dan Muslim)
Imam Muslim merekodkan, Rasulullah s.a.w. berkata kepada Abu Musa Al-Asy’ari,
“Sesungguhnya kamu sudah melihatku dan saya mendengar bacaan kamu semalam.”
(HR Imam Muslim daripada laporan Buraid bin Al-Khashib)
Fadhalah bin ‘Abid r.a. menyatakan, Rasulullah s.a.w. berkata,
“Allah memberi tumpuan kepada bacaan Al-Quran yang dibaca dengan baik daripada suara nyanyian pemilik penyanyi perempuan yang didendangkan kepada penyanyi perempuannya.”
(Direkodkan oleh Imam Ibnu Majah)
Abu Musa Al-Asy’ari juga melaporkan, Rasulullah s.a.w. mengatakan,
“Sesungguhnya saya benar-benar mengetahui suara keluarga Al-Asy’ariyyun pada waktu malam ketika mereka masuk ke rumah. Saya juga mengetahui suara-suara mereka pada waktu malam ketika mereka membaca Al-Quran walaupun saya tidak mengetahui kedudukan rumah-rumah mereka ketika menjelang waktu siang.”
(HR Imam Al-Bukhari dan Muslim)
Al-Barra’ bin ‘Azib r.a. melaporkan, Rasulullah s.a.w. mengatakan,
“Hiasilah Al-Quran dengan kemerduan suara kamu.”
(HR Imam Abu Daud, An-Nasaie, dan selain daripada mereka berdua)
Ibnu Abu Daud melaporkan, Saidina Ali r.a. menyatakan beliau mendengar suara bising sekumpulan manusia di dalam masjid yang membaca Al-Quran. Beliau pun mengatakan, “Berbahagialah mereka semua kerana mereka adalah orang yang paling disayangi oleh Rasulullah s.a.w.”
Banyak hadith berhubung perbuatan menguatkan bacaan Al-Quran. Athar-athar para sahabat, tabiin, melalui perkataan dan perbuatan mereka begitu banyak dan terkenal.
Amalan menguatkan bacaan adalah bagi sesiapa yang tidak bimbang terhadap unsur riyak atau bangga diri yang mungkin terbit, ataupun tidak takut terhadap perkara buruk yang lain. Bacaan itu juga tidak boleh menyakiti orang lain, yang dapat mengganggu solat mereka ataupun mengelirukan bacaan mereka.
Sebahagian daripada salaf melaporkan bahawa mereka memilih bagi memperlahankan suara kerana bimbang dengan faktor-faktor yang dinyatakan. Al-A’masyh mengatakan bahawa beliau menemui Ibrahim yang pada ketika itu sedang membaca Al-Quran. Kemudian seorang lelaki datang dan meminta izin bagi menemuinya. Lantas Ibrahim menutup mushaf yang dibacanya. Beliau mengatakan, lelaki yang menemuinya itu tidak perasan bahawa beliau membaca Al-Quran pada setiap masa.
Abu Al-‘Aliyah mengatakan, “Saya pernah duduk bersama-sama dengan para sahabat Rasulullah s.a.w. Lantas seorang daripada mereka berkata, ‘Kamu sudah membaca Al-Quran pada malam sekian… sekian… Mereka menjawab, ‘Ini adalah bahagian ganjaran daripada bacaan tersebut.”” Mereka (para sahabat) menjadikan hadith ‘Uqbah bin ‘Amir sebagai hujah.
‘Uqbah mendengar Rasulullah s.a.w. mengatakan, “Orang yang menguatkan bacaan Al-Quran adalah seperti orang yang memberi sedekah secara terang-terangan. Orang yang memperlahankan ataupun menyembunyikan bacaan Al-Quran adalah seperti orang yang memberi sedekah secara sembunyi.”
(HR Imam Abu Daud, At-Tirmidzi, dan An-Nasaie. Imam At-Tirmidzi mengatakan hadith ini bertaraf hasan)
Imam At-Tirmidzi mengulas, “Maksud hadith adalah, orang yang menyembunyikan bacaan Al-Qurannya (memperlahankannya: penterjemah) lebih utama daripada orang yang menguatkan bacaan. Ini kerana sedekah secara diam-diam lebih utama menurut pandangan ahli ilmu daripada bersedekah terang-terangan.”
Maksud hadith tadi menurut ahli ilmu adalah, supaya seseorang itu terselamat daripada perasaan bangga diri. Ini kerana orang yang menyembunyikan perbuatannya tidak perlu bimbang terhadap perasaan bangga diri sebagaimana dia takut kepada perbuatan yang dilakukan secara terang-terangan.
Saya (An-Nawawi) berpandangan, “Ini semua bertepatan dengan apa yang sudah kita bahaskan secara terperinci dalam bab-bab awal dalam buku ini. Iaitu apabila seseorang bimbang bacaan yang kuat dapat menyebabkan perasaan tidak selesa, dia tidak perlu menguatkan bacaannya. Jikalau dia tidak bimbang, digalakkan bagi menguatkan bacaan Al-Quran. Sekiranya Al-Quran dibaca dalam keadaan mereka berhimpun dalam satu majlis, membaca Al-Quran dengan kuat lebih digalakkan sebagaimana apa yang diterangkan sebelum ini. Lebih-lebih lagi, sekiranya memberi faedah kepada orang lain yang mendengarnya.”
Wallahu a’lam.
Sumber: Adab Berdamping dengan Al-Quran, Imam An-Nawawi, Penterjemah Hakim Rosly
Leave a Reply