Mencari Sakinah Dalam Perhubungan

Oleh: Ida Natasha

Akhbar Berita Harian melaporkan pada 15 September 2021, terdapat 66,440 kes cerai membabitkan pasangan beragama Islam didaftarkan sepanjang tempoh pandemik COVID-19 bermula Mac 2020 hingga Ogos 2021. Pada tahun 2023 juga, rakyat Malaysia dipersembahkan dengan kes-kes cerai selebriti serta pelbagai kisah masalah rumahtangga yang semakin membimbangkan. Hakikatnya, perceraian di kalangan pasangan Islam semakin meningkat tahun demi tahun.

Tatkala setiap pasangan yang berumahtangga itu mendambakan perkahwinan yang kekal bahagia, lantas di manakah salahnya? 

Masalah yang sering dikemukakan oleh pasangan di dalam sesi kaunseling perkahwinan ialah perasaan kecewa apabila pasangan tidak mencapai jangkaan yang diharapkan, impian yang diharapkan tidak kesampaian, pasangan tidak melunaskan tanggungjawab, pasangan tidak memahami perasaan, pasangan tidak menghargai, tidak menyayangi, dan tidak membuatkan kita terasa penting; yang, kadangkala, membawa kepada penindasan dan penderaan. Secara ringkasnya, sakinah yang dicari di dalam perkahwinan tidak ditemui, sebaliknya rumahtangga yang dibina sarat dengan konflik dan ketidakharmonian yang berpanjangan.

وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًۭا لِّتَسْكُنُوٓا۟ إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةًۭ وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍۢ لِّقَوْمٍۢ يَتَفَكَّرُونَ (٢١)
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

(Ar-Rum, 30:21)

Sakina, Sakinah, Sakeena bukanlah sekadar nama seorang wanita. Sakinah (سكينة)  membawa erti ketenangan, kedamaian, kepastian, kemesraan dan ciri inilah dicari-cari di dalam setiap perkahwinan. 

Al-Quran menonjolkan sifat-sifat tertentu sebagai ciri-ciri orang beriman, sifat-sifat yang penting dalam memastikan hubungan yang sihat dengan orang lain, seperti sabar, adil, jujur, amanah, pemurah, baik hati, rendah hati, dan belas kasihan. Sifat ini dituntut daripada lelaki dan wanita, dan sangat penting dalam mewujudkan sakinah dalam perkahwinan dan perhubungan. 

Allah menciptakan lelaki dan perempuan itu berbeza sifatnya. Cara keduanya berkomunikasi, beremosi, berfikir dan bertindak itu berlainan, ada kalanya kelihatan berlawanan. Ini tidak bermakna kelainan itu akan menghasilkan pergaduhan dan pertelingkahan. Sebaliknya sifat-sifat inilah yang menjadi pelengkap di antara lelaki dan wanita dalam menghasilkan gabungan perkahwinan yang mantap dan jitu. 

Memahami Perbezaan & Sumbangan

Untuk menghasilkan sakinah dalam perkahwinan, suami dan isteri perlulah belajar untuk memahami perbezaan dan sumbangan masing-masing dalam perhubungan. Berusahalah untuk mengenali pasangan kita dengan lebih dekat. Proses ini tidak mudah atau cepat. Setahun dua adalah terlalu singkat untuk benar-benar mengenali pasangan kita.

Proses ini memerlukan masing-masing mendengar, memahami, mempelajari, tidak menghakimi, dan menghargai kekuatan serta perbezaan pasangan kita.

Jangan terlalu taksub dengan peranan gender dalam keluarga sehinggakan kita tidak perasan bahawa pasangan kita tertekan dengan keadaan. Ada isteri yang tidak suka melakukan tugasan tipikal seperti memasak, mengemas rumah, membasuh baju dan sebagainya, tetapi dalam masa yang sama cekap dalam menguruskan bajet keluarga serta pengurusan anak-anak. Bagaimana suami boleh membantu dalam hal ini? Oleh itu, suami dan isteri perlu jelas dengan sumbangan masing-masing dalam perkahwinan dengan berbincang dan mengenalpasti tugasan yang perlu dilakukan supaya keduanya tidak lelah dan lemas. Tanpa usaha untuk mengenali dan memahami pasangan, agak sukar untuk mewujudkan keserasian yang jitu.

Mantapkan Komunikasi

Di samping itu, pasangan juga perlu meluangkan masa bersama. Berkongsilah kisah-kisah hidup, idea dan pandangan serta harapan masa depan. Ceritalah tentang hobi masing-masing, kesukaan dan ketidakselesaan. Bagaimana mungkin dapat melayari kehidupan bersama bertahun lamanya tanpa mengenali pasangan? Masa bercinta memang semuanya indah belaka, namun adakah itu realiti pasangan selepas berumahtangga? Pendek kata, berkomunikasilah dengan niat untuk mengenali satu sama lain dan mengukuhkan kasih sayang.

Jangan bermonolog, menyimpan perasaan di dalam hati dengan harapan pasangan kita perlu pandai mengagak dan memahami. Bagaimana mungkin pasangan boleh memahami dan memperbetulkan keadaan tanpa mendapat maklumat yang tepat? Dan apabila pertelingkahan berlaku, ianya akan mencetuskan salah komunikasi yang membahayakan perhubungan. 

Menghormati

Memupuk sakinah juga menuntut suami isteri untuk menghormati.  Elakkan meninggi suara, mengejek dan merendah-rendahkan pasangan dalam apa jua situasi, sentiasa menghormati privasi, elakkan curiga, jangan mengintip, atau menjadi perisik untuk ‘membongkar’ kekurangan pasangan. Di zaman telefon pintar ini, segalanya mungkin. Oleh itu, berhati-hati dan jangan didorong emosi. Elakkan membuka aib pasangan kepada umum kerana tanggungjawab kita sebagai pasangan ialah umpama pakaian yang bukan sahaja menutup malu, malah memperindahkan pasangan di khalayak. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah dalam ayat 187 yang bermaksud:

 “Isteri-isteri kamu itu adalah seumpama pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” 

(Al-Baqarah 2:187)

Ini tidak bermakna kita perlu mendiamkan diri dalam kes-kes yang melibatkan keganasan rumahtangga, contohnya. Apabila berlaku kes-kes serius begini, adalah perlu dilaporkan kepada pihak berwajib supaya tindakan yang sewajarnya dapat diambil berbanding menjaja kisah begini di platform awam.

Jangan Menilai Luaran Sahaja

Apabila kita mencari pasangan, jangan dipilih yang cantik dipandang sahaja. Sebaliknya, pilihlah pasangan yang sedap mata memandang, sedap hati berjumpa, sedap hati ketika ditinggalkan, sedap hati ketika meluangkan masa bersama, dan juga sedap hati ketika kita sedang menghadapi masalah.

Inilah sakinah yang dicari, damai, tenang, mesra dan stabil dalam apa jua situasi dalam perkahwinan. Bukan perkahwinan yang sering bergelora umpama kita sedang berada di atas kapal di lautan yang dilanda badai setiap kali bersama. 

Mencari sakinah itu tidak mudah tetapi dengan usaha yang berterusan, ianya tentu sekali bukan mustahil. InsyaAllah,

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: