Kenali Masjid Al Aqsa di Baitulmaqdis

Masjid Al Aqsa merupakan salah satu di antara tiga masjid utama umat Islam selepas Masjid Al Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah. Masjid ini juga dikenali dengan nama Masjid Paling Jauh kerana jaraknya dari Masjid Al Haram ialah sekitar 1200km. 

Masjid Al Aqsa signifikan kepada umat Islam kerana peristiwa Israk Mikraj yang merakamkan perjalanan Rasulullah (saw) dari Masjid Al Haram di Kota Mekah ke Masjid Al Aqsa yang terletak Palestin dalam masa separuh malam, sedangkan pada masa itu perjalanan yang sama penggembara akan mengambil masa lebih 40 hari. 

Anas bin Malik (ra) meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya: “Kemudian aku didatangkan dengan seekor haiwan yang berwarna putih yang dinamakan sebagai al-buraq. Bentuknya lebih tinggi berbanding keldai dan rendah sedikit berbanding baghal.” Kemudian Baginda (saw) menceritakan bahawa Baginda dibawa naik ke atas belakang haiwan tersebut dengan sabdanya yang bermaksud “Aku dibawa naik ke atasnya (Buraq) kemudian kami pun bertolak sehinggalah kami sampai ke langit dunia.” Riwayat Muslim (164).

Peristiwa perjalanan Rasulullah (saw) dari Masjid Al Haram ke Masjid Al Aqsa ini dikenali oleh umat Islam sebagai peristiwa Israk.  

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Isra yang bermaksud: “Allah SWT yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjid Al Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (1). 

Ketika sampai ke Baitulmaqdis (Jerusalem), Rasulullah (saw) bertemu dan mengimamkan solat bersama Rasul-Rasul yang terdahulu di Masjid Al Aqsa sebelum meneruskan perjalanan Baginda (saw) ke langit untuk menghadap Allah SWT di Sidrat Al-Muntaha, perjalanan yang dikenali sebagai peristiwa Mikraj di mana Rasulullah telah mendapat arahan menunaikan solat daripada Allah SWT. 

Kubah Al Sakhrah atau the Dome of Rock juga terletak di Baitulmaqdis berdekatan dengan Masjid Al Aqsa tetapi ia bukanlah Masjid Al Aqsa

Selain daripada menjadi lokasi utama dalam peristima Israk dan Mikraj, Masjid Al Aqsa juga merupakan kiblat pertama umat Islam sebelum dipindahkan ke Kaabah di Mekah Al Mukarramah. Oleh itu, masjid Al Aqsa tentu sekali mendapat tempat yang begitu istimewa di hati setiap umat Islam di seluruh dunia.  

Masjid ini juga adalah tempat ibadah Nabi Ibrahim (as), Nabi Ishaq (as), Nabi Yaakub (as). Selepas Nabi Yusuf (as) ditabalkan menjadi Raja di Mesir, keluarga Nabi Yaakub telah berpindah ke Mesir dan meninggalkan Palestin untuk bersama dengan Nabi Yusuf (as).  

Berkeluasan 144,000 meter persegi, dan boleh memuatkan sehingga setengah juta jemaah, Masjid Al Aqsa ini bukanlah hanya binaan satu masjid, ia merangkumi beberapa masjid di kawasan bandar lama Baitulmaqdis. Masjid Al Aqsa ini telah dibina lebih kurang 40 tahun selepas pembinaan Masjid Al Haram, dan ia telah dibina semula, diubah suai dan diperbesarkan beberapa kali di dalam sejarah Islam. 

Menurut sejarah, selepas kematian Rasulullah (saw), khalifa kedua Islam, Umar Ibn Al Khattab, telah memasuki dan memerdekakan Baitulmaqdis atas jemputan ketua-ketua penganut Kristian pada masa itu dan beliau telah menjayakannya tanpa pertumpahan darah di samping menjanjikan keselamatan nyawa, harta dan tempat ibadah penganut lain yang ingin tinggal di bandar yang sama. 

Lorong di Kota Baitulmaqdis

Ketika khalifah Umar Ibn Al Khattab sampai ke Masjid Al Aqsa pada tahun 637/638 AD, kawasan ini tidak lagi menjadi tempat ibadat tetapi telah bertukar menjadi tempat pembuangan sampah oleh orang-orang Roman. Melihat keadaan yang menyedihkan ini, Umar telah membersihkan kawasan ini dan menaikkan kembali Masjid Al Aqsa. Kristian dan Yahudi juga bergembira dengan kedatangan Umar dan Islam kerana pemerintahan mereka yang adil.

Khat Nama Umar Ibn Al Khattab

Pada tahun 1099AD, Islam telah kehilangan Masjid Al Aqsa kepada tentera salib, dan peristiwa ini merupakan titik hitam di dalam sejarah umat Islam. Ketika tentera salib memasuki Baitulmaqdis, mereka mengumumkan bahawa mereka tidak akan mengambil apa-apa tahanan dan mendengar pengumuman ini, ramai orang Islam telah memasuki Masjid Al Aqsa untuk mendapatkan perlindungan. Malangnya, tentera salib telah memungkiri janji dengan mencerobohi Masjid Al Aqsa dan membunuh beribu-ribu umat Islam di dalamnya. 

Masjid Al Aqsa kemudiannya telah diubahsuai menjadi istana, dan ia mengambil masa 88 tahun sebelum umat Islam merampasnya semula di bawah pemerintahan pemimpin hebat Salahuddin Ayyubi. Seperti Umar Ibn Al Khattab, Salahuddin Ayubbi tidak membenarkan pembunuhan orang awam atau tentera di kota ini, dan setelah merampas semula Masjid Al Aqsa, Salahuddin sendiri telah membersihkan tanah suci ini dan merenjis air mawar ke sekeliling Masjid Al Aqsa. 

Sekali lagi umat Islam dapat memerintah Baitulmaqdis selama 8 abad dengan aman, adil dan penuh kemewahan, dan Masjid Al Aqsa telah menjadi pusat pembelajaran yang agung yang menyaksikan ramai ulama dari serata dunia datang untuk menimba ilmu di sini. Ihyaa Ulum Al-Din, buku hebat oleh Abu Hamid Al Ghazali, atau lebih dikenali sebagai Imam Al-Ghazali, telah ditulis di dalam Masjid Al Aqsa.

Selama beberapa abad pemerintahan khalifah Ottoman, bandar Baitulmaqdis dan Masjid Al Aqsa telah dipelihara dengan penuh kehormatan dan maruah, dan minoriti Kristian dan Yahudi yang tinggal di sini diberi kebebasan beragama. 

Namun semuanya berubah apabila pengerakan Zionist di Eropah muncul untuk membentuk negara Yahudi di tanah orang Islam Palestin dengan sokongan pihak British. Ketika Zionist tiba di bumi Palestin pada tahun 1917, mereka mendapati tanah Palestin didiami oleh 90% Arab dan 5% Yahudi Palestin yang asal. Namun begitu, pihak British masih membenarkan orang Islam mengawal Masjid Al Aqsa pada masa itu. Lima tahun selepas British menakluki Baitulmaqdis, kerja-kerja pembaikan Masjid Al-Aqsa telah dijalankan dan pada tahun 1924, Trans-Jordan telah mengambil alih penjagaan Masjid Al Aqsa dari kawalan umat Islam, dan pencerobohan serta pengusiran penduduk Palestin mula berlaku.

Pada Oktober 2014, pihak berkuasa Israel telah menutup Masjid Al Aqsa buat pertama kalinya semenjak 1967. Ini telah membangkitkan protes secara besar-besaran di seluruh Palestin dan di seluruh dunia Islam, yang kemudiannya memaksa mereka membuka semula Masjid Al Aqsa kepada umum.

Sebagai orang Islam, kita perlu mencintai Masjid Al Aqsa sebagaimana cintanya kita kepada Masjid Al Haram dan Masjid Nabawi. Jika berkesempatan dan berkemampuan, berusahalah untuk mengunjungi Masjid Al Aqsa di tanah suci Baitulmaqdis ini. Masjid Al Aqsa ialah lokasi penuh sejarah di dalam Islam dan ianya juga ialah simbol kebesaran Allah SWT. 

Sumber:

Al Aqsa Mosque – Five Things You Need To Know

Al Aqsa Mosque

Importance And History Of Al-Aqsa Mosque Jerusalem

Islamic History of Masjid Al Aqsa

Benarkah Al Isra dan Al Miraj Berlaku Dengan Roh Rasulullah Sahaja

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: