Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA,
Ertinya: “Bahawa suatu hari, Nabi SAW bersabda dalam keadaan di sisinya terdapat seorang lelaki dalam kalangan orang kampung, ‘Seorang lelaki dalam kalangan ahli syurga telah meminta izin kepada Tuhannya untuk bercucuk tanam. Lalu Allah berfirman kepadanya, ‘Bukankah engkau mendapat apa yang engkau kehendaki?’ Dia menjawab, ‘Benar tetapi aku suka bercucuk tanam.” Baginda bersabda, ‘Lalu dia menanam benih dan tumbuhannya cepat meninggi, berdiri kukuh dan cepat mengering untuk sedia dituai, dan keadaannya adalah seperti gunung-ganang. Maka, Allah berfirman, Ambillah ia wahai anak Adam, kerana sesungguhnya suatu perkara itu tidak akan mengenyangkanmu.” Lantas orang kampung itu berkata, ‘Demi Allah, tuan tidak akan mendapatinya (orang yang bercucuk tanam itu) melainkan kaum Quraisy atau Ansar. Sesungguhnya mereka ialah golongan petani. Adapun kami, kami bukanlah dalam kalangan para petani.’ Lalu Nabi SAW pun ketawa.”
(Riwayat al-Bukhari)
Ertinya: Bahawa beliau bertemu Abu Hurairah RA, lalu Abu Hurairah berkata, “Saya memohon kepada Allah agar Dia menghimpunkan saya dan kamu di dalam pasar syurga.” Sa’id berkata, “Adakah di dalamnya terdapat pasar?” Beliau menjawab, “Ya, Rasulullah SAW telah mengkhabarkan kepada saya, ‘Bahawa apabila penduduk syurga masuk ke dalamnya, mereka berada di dalamnya menurut tingkatan amalan mereka. Kemudian diberi keizinan kepada mereka mengikut tempoh masa seminggu daripada kiraan hari dunia, lalu mereka menziarahi Allah SWT dan Dia menampakkan Arasy-Nya kepada mereka dan Dia terzahir di dalam taman daripada taman-taman syurga. Disediakan bagi mereka mimbar-mimbar daripada cahaya, mutiara, ruby, zabarjad, emas dan perak. Orang yang paling rendah martabatnya – sedangkan sebenarnya tidak ada orang yang paling rendah martabat – dalam kalangan mereka duduk di atas bukit pasir daripada butiran kasturi dan kafur, di mana mereka tidak melihat orang-orang yang duduk di atas kerusi itu lebih utama kedudukannya daripada mereka.”
(Riwayat al-Tirmizi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban-lafaz Ibnu Hibban. Menurut al-Tirmizi, hadis ini hadis gharib. Tahkik Shahih Ibni Hibban dan Sunan Ibni Majah: Sanadnya lemah.)
Abu Hurairah berkata, “Wahai Rasulullah, adakah kita melihat Tuhan kita?” Baginda bersabda, “Ya, adakah kalian berasa ragu-ragu pada penglihatan ke arah matahari dan bulan di malam purnama?” Kami menjawab, “Tidak.” Baginda bersabda, “Begitu juga kalian tidak ragu-ragu dalam penglihatan kepada Tuhan kalian dan seseorang itu tidak berada dalam majlis tersebut (melihat Tuhannya) melainkan Allah menguasainya dengan sebenar-benarnya – dalam riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Majah: melainkan Allah SAW bergaul dan berbicara kepadanya dengan sebenar- benarnya sehingga sesungguhnya Dia berkata kepada seorang lelaki dalam kalangan mereka – dalam riwayat Ibnu Majah: … dalam kalangan kalian -, ‘Wahai si polan, adakah kamu ingat pada hari kamu mengerjakan sekian dan sekian?’ Dia mula mengingati sebahagian maksiatnya di dunia, lalu berkata, ‘Wahai Tuhanku, bukankah Engkau telah mengampuniku?’ Allah menjawab, ‘Benar, dengan sebab luasnya keampunan-Ku, kamu telah sampai ke kedudukanmu saat ini.’”
Baginda bersabda, “Ketika mereka berada dalam keadaan demikian, tiba-tiba sekumpulan awan di atas mereka memayungi mereka, lalu menurunkan hujan yang harum ke atas mereka yang bau tersebut tidak pernah dihidu oleh mereka. Kemudian Allah SWT berfirman, ‘Pergilah ke arah kemuliaan yang Aku telah sediakan untuk kalian, lalu ambillah apa yang kalian inginkan.’” Baginda bersabda, “Lantas kita akan datang ke pasar yang dikelilingi oleh para malaikat, yang pasar itu tidak pernah dilihat yang seumpamanya oleh pandangan mata, tidak pernah didengari oleh telinga dan tidak pernah terlintas dalam hati.” Baginda bersabda, “Maka dibawakan kepada kita apa yang kita inginkan tanpa ada sesuatu yang dijual atau dibeli di dalamnya. Di pasar itu, penduduk syurga bertemu sesama sendiri.” Baginda bersabda, “Lantas seorang lelaki yang mempunyai kedudukan yang tinggi bertemu dengan orang lain yang lebih rendah daripadanya – sedangkan dalam kalangan mereka tidak ada orang yang rendah kedudukannya, lalu dia (orang yang rendah kedudukannya) membuatkan orang tersebut (yang berkedudukan tinggi) kagum ketika melihat pakaian yang ada padanya. Tidak terucap kata-katanya (yang menunjukkan kekaguman) sehingga dia membayangkan bahawa dia dapat mempunyai pakaian yang lebih baik daripada saudaranya itu. Hal demikian kerana tidak ada seorang pun yang akan bersedih di dalam syurga.”
Baginda bersabda, “Kemudian kita akan pulang ke rumah-rumah kita dan berjumpa dengan para isteri kita, lantas mereka berkata, ‘Selamat datang dengan penuh kecintaan daripada kami. Sesungguhnya kamu telah datang dan sesungguhnya kamu memiliki kecantikan dan ketampanan yang lebih baik berbanding ketika kamu meninggalkan kami tadi.’ Dia menjawab, ‘Sesungguhnya pada hari ini, kami telah bertemu dengan Tuhan kita Yang Maha Perkasa. Dia melayakkan kami untuk berpenampilan seperti ini sama seperti ketika kami beredar (daripada-Nya).’”
Pengajaran
- Nikmat di dalam syurga diberikan kepada orang yang beriman menurut amalan mereka di dunia.
- Allah akan memberikan apa sahaja permintaan penghuni syurga.
- Nikmat melihat dan bertemu Allah SWT merupakan nikmat terbesar yang diberikan kepada penghuni syurga.
Sumber: Hadis Qudsi, Menelusuri Hikmah di Sebalik Firman Allah SWT, Muhammad Yusuf A Kadir
Leave a Reply