Oleh: Norana Johar
Saya tertonton drama TV1 berjudul Kau? CEO Aku? yang ditayangkan ketika hendak menunggu waktu berbuka puasa. Rata-ratanya kita disajikan dengan seribu satu sifat jelik masyarakat kita. Kalau boleh semua perlakuan buruk yang ada dalam masyarakat mahu ditonjolkan ke khalayak di dalam satu drama.
Ramai yang akan berhujah, ‘ala… drama je’. Natijahnya, apabila begitu ramai yang menonton ialah, ada yang mengambil pengajaran, tidak kurang juga yang merasakan perlakuan buruk itulah yang wajar dipraktikkan ke dalam situasi mereka. Bukan semua orang berfikiran wajar dan waras!
Pertamanya, perkahwinan Aisya dan Danial dirahsiakan kerana Danial seorang CEO. Bagi saya plot ini sangat tidak masuk akal kerana apa kena mengena pangkat dengan perkahwinan, tetapi begitulah jalan ceritanya.
Di dalam Islam, wa’ima pertunangan sekali pun, ianya perlu dihebahkan bagi mengelakkan berlakunya pinangan atas pinangan yang mana ianya jelas dilarang di dalam Islam seperti yang direkodkan di dalam sebuah hadis daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW telah bersabda:
لاَ يَبِعِ الرَّجُلُ عَلَى بَيْعِ أَخِيهِ وَلاَ يَخْطُبْ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ إِلاَّ أَنْ يَأْذَنَ لَهُ
(Riwayat Muslim 1412)
Maksudnya: Janganlah seseorang itu membeli atas pembelian saudaranya dan janganlah meminang atas pinangan saudaranya yang lain kecuali jika diizinkan.
Apatah lagi perkahwinan. Pernikahan hendaklah dihebahkan untuk mengelak fitnah orang ramai apabila melihat pasangan itu bersama tanpa mengetahui status mereka. Disebabkan kerahsiaan perkahwinan mereka pada mulanya, lantas, terjadilah episod-episod jelik seterusnya.
Kemudiannya, walaupun sudah berkahwin, suasana dalam rumah begitu tegang dan tidak dipenuhi dengan kasih sayang. Isteri boleh ‘menolak’ untuk bersama dengan suami. Keduanya tidak perlu tidur sebilik, bermasam-muka, berlagak seperti orang asing dan sebagainya. Semakin hari, semakin kerap kisah-kisah begini disogok kepada masyarakat. Adakah kita mencedok idea barat tentang perkahwinan? Islam telah memberi garis panduan yang jelas untuk pasangan yang telah berkahwin.
Antara tanggungjawab perkahwinan ialah layanan baik dan menunjukkan ahkhlak yang baik seperti Sabda Rasulullah SAW:
إِنَّ مِنْ أَكْمَلِ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَأَلْطَفُهُمْ بِأَهْلِهِ
(Riwayat al-Tirmidhi 2612)
Maksudnya: Sesungguhnya daripada orang beriman yang paling sempurna ialah yang paling baik akhlaknya dan yang paling mesra melayan ahli keluarganya.
Hubungan yang dijalinkan bukan semata-mata hubungan di tempat tidur bahkan wajib sebelum itu semua untuk merealisasikan antara kita persamaan pemikiran, jiwa dan perasaan. Membaca dan menelaah bersama-sama, menunaikan sebahagian ibadah bersama-sama serta menguruskan urusan rumahtangga bersama-sama, kemudian hendaklah juga terdapat ruang untuk bergurau-senda dan bermain bersama-sama. Sweet itu bukan hanya apabila menyambut hari-hari istimewa sahaja!
Watak Mila, sahabat baik Danial pula mempunyai niat jahat ke atas Aisya dan mahu merampas Danial serta meruntuhkan perkahwinan mereka dengan apa cara sekali pun. Tentu sekali watak Mila ini tidak berhijab, terlalu jahat dan semberono. Mula-mula dia cuba dengan cara menggoda, kemudiannya beransur menggunakan ilmu hitam.
Apabila rancangan awalnya tidak mendatangkan hasil, Mila mula memikirkan sesuatu yang lebih terdesak. Dia menceroboh ke rumah Aisya, mencederakannya dan membunuh bayi sehingga Aisya tidak dapat mengandung lagi, mengupah penjahat, mengadu domba, merasuah pihak berkuasa (doktor) dan menghilangkan bukti. Tentu sekali Mila tidak berseorangan dalam melaksanakan rancangan jahatnya.
Ya Allah, jahatnya orang Melayu! Itu yang terlintas di fikiran saya tatkala menonton drama ini.
Adakah masyarakat kita tidak boleh lari dari ilmu sihir sehinggakan orang muda moden juga digambarkan sudah berjinak dengan sihir untuk mendapatkan apa yang dihajati? Dan, ramai pula yang sudi bersekongkol dengan watak jahat asalkan ada sedikit ganjaran kewangan. Begitu teruk sekali watak Mila dan sekutunya ini seolah-olah tidak ada sekelumit cahaya sekali pun yang hadir di hati mereka, umpama sekumpulan syaitan lakunya.
Kita sorot pula kepada watak Aisya. Wanita bertudung, lemah-lembut, yang terlalu baik sehinggakan diherdik oleh rakan sepejabat, dia terima. Dicederakan oleh wanita yang ingin merampas suaminya sehingga dia tidak boleh mengandung lagi, dia terima. Ditengking oleh suami tanpa ada sebab yang munasabah, dia terima. Suami mencadangkan ingin berkahwin dengan wanita yang merosakkan rumahtangga dan mencederakannya, dia terima. Terkesima saya dengan reda yang dia ada.
Adakah wanita lemah seperti ini yang mahu diangkat sebagai contoh seorang muslimat dan isteri yang baik? Pasrah?
Dalam kepatuhan kepada suami, wanita juga punya hak-hak dan perlu bijaksana dalam menguruskan rumahtangga dan kehidupan! Saidatina Ai’sya RA apabila dituduh curang kepada Rasulullah SAW, dia tidak mendiamkan diri tetapi bangun mempertahankan maruahnya. Ketika Khaulah binti Tsa’labah dicemuh suaminya dengan menyamakan dia dengan punggung ibunya, Khaulah begitu sedih sehingga dia berdoa kepada Allah SWT sehingga doanya dimakbulkan dengan turunnya ayat Al-Mujadalah 1-4.
Janganlah kita mendidik masyarakat untuk mencontohi watak wanita yang sebodoh dan selemah ini! Islam tidak melemahkan wanita, malah memperkuatkan wanita dengan hak-hak yang baik dan adil.
Akhir sekali mari kita lihat watak Danial, seorang suami, CEO, yang pada pandangan saya, sangat lemah dan tidak berfikiran kritis! Bercakap benda yang sama berulang-ulang. Walaupun sudah berumahtangga, masih lagi ingin menghabiskan masa untuk lepak dengan teman perempuan atas alasan, dia teman baik saya. Kemudian watak ini suka menceritakan masalah peribadi kepada orang lain, di taman, di kedai makan, di tepi jalan, di mana sahaja! Apabila menghadapi sedikit masalah, suara sudah naik tinggi di hadapan isteri dan sudah mula keluar dengan wanita lain. Watak Danial ini bukanlah contoh lelaki yang baik, pada pendapat saya.
Saya tidak bercadang untuk menonton drama ini sehingga tamat kerana bagi saya, drama seperti ini tidak perlu disogok kepada masyarakat. Cerita seperti ini memperlekehkan institusi perkahwinan yang begitu dipandang tinggi oleh Islam. Cerita seperti ini juga menormalisasi perangai-perangai buruk orang kita sehinggakan menengking-nengking pasangan itu sesuatu yang biasa, membuat rancangan jahat untuk memusnahkah seseorang itu biasa.
Wanita yang baik dilihat lemah, tidak bermaya, tidak berupaya mempertahankan maruah dan nasibnya sendiri. Wanita yang sebaliknya begitu gedik, gatal dan jahat sekali. Walaupun saya pasti di akhir rancangan, semuanya akan ada pengajaran, perjalanan cerita sebegini memualkan.
Aduhai, apa nak ambil serius. Kan ini cerita fiksyen?
Realitinya, minggu lepas kita dipaparkan berita seorang suami memukul isteri dengan tukul besi kerana cemburu. Minggu lepas juga seorang suami menikam isteri yang sedang berada di pasar sehingga mati kerana tidak boleh menahan sabar. Dan beberapa minggu lepas seorang lelaki di pantai timur menampar isteri di khalayak ramai kerana tidak membenarkan isteri keluar bekerja.
Andai drama TV itu refleksi masyarakat, masyarakat kita di tahap mana?
Rujukan
Irsyad Al-Fatwa Ke-163: Hukum Menyembunyikan Pertunangan
Al-Kafi #1064: Tanggungjawab Sebuah Perkahwinan
Al-Kafi # 253 :Pendirian Islam Berkenaan Sihir
Leave a Reply