Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan masuk syurga kecuali orang yang penyayang.”
“Ya Rasulullah, kita semua penyayang,” kata para sahabat.
“Penyayang itu bukan orang yang menyayangi dirinya saja. Akan tetapi, penyayang itu adalah orang yang menyayangi dirinya dan orang lain,” jawab Nabi.
Makna kasih sayang pada diri sendiri adalah menyayanginya serta keturunannya serta memelihara mereka daripada azab Allah SWT dengan meninggalkan kemaksiatan; bertaubat darinya serta mengerjakan ketaatan dan mengikhlaskannya. Sedangkan makna menyayangi orang lain adalah tidak berusaha menyakiti kaum muslim. Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang dikatakan muslim apabila orang lain terhindar dari gangguan tangan dan lidahnya.”
Hendaklah juga menyayangi binatang. Janganlah memikulkan padanya beban yang tidak mampu dipikulnya. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ketika seseorang berjalan dalam suatu perjalanan, dia berasakan sangat haus. Lalu dia menemui perigi dan turun ke dalamnya untuk mengambil air. Ketika hendak minum, tiba-tibat terlihat seekor anjing yang menjulurkan lidahnya kerana kehausan. Orang itu berkata, ‘Anjing ini kehausan seperti diriku.’ Lalu dia mengisi kasutnya dengan air dan membawanya ke atas dengan mulutnya, kemudian diberikan pada anjing itu. Allah SWT berterima kasih kepadanya, lalu mengampuni dosanya.”
“Ya Rasulullah, apakah kami mendapat pahala kerana menyayangi binatang?”, tanya para sahabat.
“Dalam kasih-sayang kepada setiap yang bernyawa terdapat pahala.”
Anas ibn Malik meriwayatkan bahawa ketika pada suatu malam Umar RA meronda, tiba-tiba dia melewati sekumpulan orang yang telah tertidur. Umar takut kalau-kalau datang pencuri kepada mereka. Umar lalu menemui Abdul Rahman ibn ‘Auf RA bertanya: “Amirul Mukminin, apa yang terjadi pada diri anda di saat seperti ini?”
“Saya melewati sekumpulan orang yang telah tertidur. Saya khuatir datang pencuri kepada mereka. Marilah kita pergi untuk menjaga mereka,” jawab Umar.
Mereka berdua pergi, lalu duduk tidak jauh dari tempat tidur sekumpulan orang itu untuk menjaga mereka. Ketika terbit fajar, Umar memanggil mereka: “Saudara-saudara, solatlah!”
Ketika Umar melihat mereka telah bangun, dia pun pulang. Dengan demikian, hendaklah kita mengikut para sahabat RA Allah SWT. telah memuji mereka dengan firman-Nya: “… mereka saling mengasihi.” Mereka berkasih sayang kepada sesama muslim dan kepada semua manusia. Mereka pun berkasih sayang kepada ahl az-zimmah.
Telah diriwayatkan dari Umar RA bahawa dia melihat lelaki dari kalangan ahl az-zimmah sedang meminta-minta di hadapan pintu rumah seseorang. Dia seorang lelaki yang sudah tua renta. Umar lantas berkata kepadanya: “Alangkah tidak adilnya kami kepada anda. Kami mengambil fizyah (pajak) darimu ketika anda masih muda, lalu kini kami membiarkan anda.”
Kemudian Umar memerintahkan agar diberikan kepadanya bahan makanan dari Baitul Mal milik kaum muslim.
Al-Hasan meriwayatkan hadith dari Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda: “Para budala di kalangan umatku tidak masuk syurga kerana banyak mengerjakan solat, tidak pula kerana banyak berpuasa; melainkan mereka masuk syurga kerana kelapangan dada, kemurahan hati dan kasih-sayang kepada semua kaum Muslim.”
Pada yang tempat lain Rasulullah SAW bersabda: “Orang-orang yang mengasihi akan disayangi Ar-Rahman. Oleh kerana itu, kasihanilah sesiapa sahaja yang ada di muka bumi, nescaya akan mengasihimu Penghuni yang ada langit.”
Tentang perkara yang sama, baginda bersabda: “Barangsiapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi. Barangsiapa yang tidak memaafkan dia tidak akan diampuni.”
Masih berkaitan dengan itu, Malik ibn Anas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ada empat hak kaum muslim yang harus kamu penuhi, menampakkan kebaikan mereka, memaafkan kesalahan mereka, menziarahi orang sakit di antara mereka, dan mencintai orang yang bertaubat di antara mereka.”
Diriwayatkan, Musa AS bertanya kepada Tuhannya: “Tuhanku, dengan apa Engkau jadikan aku orang yang jernih?”
“Dengan kasih sayangmu kepada makhluk-Ku,” jawab Allah.
Abu ad-Darda’ RA meriwayatkan bahawa dia pernah mengikut seorang anak kecil. Anak itu membeli beberapa ekor burung lalu melepaskannya. Dia berkata: “Pergilah, maka hiduplah kamu.”
Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan orang-orang mukmin dalam keadaan mereka berkasih-sayang, saling mencinta dan saling menyambung silaturrahim di antara mereka adalah seperti satu tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya sakit, tubuh yang lain berasakan demam dan susah untuk tidur.”
Ada satu kisah. Seorang ahli ibadah dari Bani Israel melalui bukit pasir. Ketika itu Bani Israel sedang ditimpa bencana kelaparan. Dalam hatinya dia selalu berharap bahawa kalau bukit ini menjadi tepung, dengannya kenyanglah perut Bani Israel. Kemudian Allah mewahyukan kepada Bani Israel agar menyampaikan firman Allah kepada orang itu yang bermaksud: “Allah telah mewajibkan pahala bagimu di atas harapanmu kalau bukit itu menjadi tepung, dengannya kenyanglah perut manusia.”
Rasulullah SAW bersabda: “Niat orang mukmin itu lebih baik daripada perbuatannya.”
Pada suatu hari, Isa AS keluar rumah. Dia bertemu dengan iblis yang sedang membawa madu di tangan kanannya dan debu di tangan kirinya. Isa AS bertanya: “Hai musuh Allah, apa yang kamu kerjakan dengan madu dan debu ini?”
“Madu aku sapukan pada mulut orang-orang yang sedang mengumpat sehingga mereka larut dalam umpatannya. Sementara debu aku lemparkan ke wajah anak-anak yatim sehingga orang-orang membenci mereka,” jawab iblis.
Rasulullah SAW bersabda: “Jika anak yatim dipukul, bergoncanglah Arasy Ar-Rahman kerana tangisannya. Allah SWT berfirman yang bermaksud, ‘Wahai para malaikatku, apa yang membuat anak yatim yang ditinggalkan mati oleh kedua-dua orang tuanya menangis?”
Dalam hadith lain Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang melindungi anak yatim hingga memberinya makan dan minum, Allah mewajibkan baginya syurga.”
Dalam Rawdhah al-‘Ulama ada menyebutkan: “Ketika Ibrahim AS hendak makan, dia berjalan satu atau dua batu mencari teman untuk makan bersamanya.”
Pada suatu hari, Imam Ali k.w. menangis. Lalu dia ditanya: “Apakah gerangan yang membuatkan anda menangis?”
Dia menjawab: “Sudah tujuh hari ini tidak datang bertamu ke rumahku. Aku takut Allah akan menghinaku.”
Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang memberi makan seorang yang sedang lapar kerana mengharap redha Allah, wajiblah syurga baginya. Sebaliknya, barangsiapa yang tidak memberi makan orang yang sedang lapar, pada hari kiamat Allah akan menahan kurnia-Nya dan mengazabnya dalam neraka.”
Rasulullah SAW bersabda: “Kedermawanan itu dekat kepada Allah, ke syurga dan dekat kepada manusia, serta jauh dari neraka. Sedangkan kebakhilan itu jauh dari Allah, dari syurga, dari manusia, dari manusia, tetapi dekat ke neraka.”
Baginda juga pernah bersabda: “Orang jahil yang dermawan lebih Allah sukai daripada ahli ibadah yang kedekut.”
Pada tempat lain baginda bersabda: “Pada hari kiamat nanti, ada empat orang yang masuk syurga tanpa dihisab, iaitu; ulama yang mengamalkan ilmunya; orang manunaikan haji yang tidak bercakap kotor dan tidak melakukan kefasikan hingga meninggal; syuhada yang terbunuh dalam peperangan untuk mengagungkan nama Allah; serta orang dermawan yang mencari harta yang halal dan menyedekahkannya di jalan Allah tanpa perasaan riak. Mereka berselisih satu sama lain, siapa yang terlebih dulu masuk syurga.”
Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT memiliki hamba-hamba yang dikhususkan dalam pemberian kenikmatan untuk dimanfaatkan oleh hamba-hamba yang lain. Barangsiapa yang bakhil untuk memberikannya kepada mereka, nescaya Allah mengambil darinya lalu diberikannya kepada orang lain.”
Diriwayatkan dalam sebuah hadith: “Kedermawanan adalah salah satu pohon di antara pohon-pohon syurga. Dahan-dahannya menjulur ke bumi. Barangsiapa mengambil salah satu daripada dahannya, dahan itu akan membimbingnya ke syurga.”
Jabir meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya: “Amalan apa yang paling utama?” “Kesabaran dan kelapangan dada,” jawab Nabi SAW
Al-Miqdam ibn Syuraih RA meriwayatkan hadith dari bapanya yang diterima dari datuknya. Katanya: “Saya bertanya kepada Nabi SAW, Ya Rasulullah, tunjukkanlah kepada saya jalan yang dapat memasukkan saya ke syurga.’ Baginda menjawab, ‘Di antara perkara-perkara yang mendatangkan keampunan adalah memberi makan (orang miskin), menyebarkan salam, dan berkata baik.”
Sumber: Mendidik Hati Mendekati Ilahi oleh Imam Ghazali
Leave a Reply