Teks Khutbah Jumaat: Tingkatkan Amalan Capai Ketakwaan 

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita menzahirkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan kesungguhan melakukan segala amalan ketaatan serta menjauhkan diri daripada segala perbuatan kemungkaran. Semoga kita tergolong dalam kalangan hamba-hamba Allah SWT yang “muttaqin”.

Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: “Tingkatkan Amalan Capai Ketakwaan”.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Ramadan mempunyai pelbagai kelebihan dan keistimewaan yang tidak terdapat pada bulan-bulan yang lain. Allah SWT mengurniakan kepada kita satu malam yang sangat istimewa sebagai kurniaan yang tidak terhingga nilainya. Inilah malam al-Qadar yang disebutkan secara khusus oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang dibacakan tadi dalam surah al-Qadr, ayat 1 hingga 3 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran ini pada malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan.”

(al-Qadr 97: 1-3)

Alangkah bertuahnya jika kita dikurniakan kesempatan untuk beribadah pada malam tersebut. Tentulah sesuatu yang sangat bermakna sekiranya kita dapat menumpukan amal ibadah pada bulan Ramadan ini dengan sepenuh penghayatan dan pengharapan terhadap Allah SWT serta diizinkan pula melalui dan dianugerahi lailatulqadar, maka kita seolah-olah memperolehi nilai pahala beribadah sepanjang hidup.

Justeru, momentum ibadah yang sedang kita laksanakan ini haruslah dikekalkan dan dipertingkatkan seperti menunaikan solat fardu berjemaah, beriktikaf di masjid, membaca dan mentadabbur al-Quran, berzikir, bersedekah dan memberi makan orang berpuasa serta pelbagai lagi amalan yang diredai Allah SWT. Jangan jemu untuk terus berusaha sedaya upaya mengawal lidah daripada bertutur perkara yang keji dan sia-sia, mata daripada melihat perkara yang diharamkan, telinga daripada mendengar perkara yang melalaikan dan kaki daripada menuju ke tempat-tempat yang mengundang kemurkaan Allah SWT.

Perbanyakkan memohon harapan dan keampunan kepada Allah SWT agar diampuni segala dosa yang telah kita lakukan dan menerima amalan-amalan ketaatan yang kita lakukan. Beruntunglah jika kita dapat mencontohi Rasulullah SAW ketika melalui sepuluh terakhir Ramadan sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada ‘Aisyah Radiallahuanha, beliau menyatakan yang bermaksud: 

“Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya pada malam sepuluh akhir Ramadan melebihi usahanya daripada malam-malam yang lain.”

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Ramadan semakin menghampiri ke penghujungnya. Di dalam bulan ini, kita juga diwajibkan untuk menunaikan zakat fitrah sama ada merdeka mahupun hamba sahaya, ke atas diri sendiri dan juga semua orang yang berada di bawah tanggungannya. Imam Ibnu Majah meriwayatkan hadis, daripada Ibnu ‘Abbas Radiallahuanhuma, beliau berkata yang maksudnya: 

“Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang yang berpuasa daripada perkara lalai dan perkataan keji, dan juga untuk memberi makan orang miskin. Sesiapa yang membayarkan sebelum solat (Aidilfitri) maka zakatnya diterima. Sesiapa yang membayarkan selepas daripada solat maka ia hanya dianggap sebagai sedekah.”

Terdapat tiga waktu yang berkaitan untuk membayar zakat fitrah.

Pertama; waktu yang harus ialah membayar zakat fitrah setelah masuknya bulan Ramadan.

Kedua; waktu wajib ialah pada malam satu syawal.

Ketiga; waktu sunat ialah membayar pada pagi hari raya iaitu setelah terbitnya matahari sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Manakala makruh hukumnya jika dibayar selepas selesai solat sunat Aidilfitri dan jika ditunaikan setelah selesai terbenamnya matahari satu Syawal atau setelah luputnya hari pertama satu Syawal maka hukumnya adalah haram dan berdosa.

Justeru, dalam kesibukan kita sehari-harian, janganlah sampai mengabaikan kewajipan ini. Jika kita memilih untuk menunaikannya pada waktu sunat, hadirlah awal ke masjid supaya kewajipan ini dapat kita tunaikan sebelum berakhir waktunya.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Zakat merupakan salah satu ibadah yang menggabungkan antara konsep ibadah harta dan tanggungjawab sosial. Kewajipan berzakat memberi kesan yang positif bukan sahaja kepada individu pembayar itu sendiri, malah ianya sangat berkait rapat dengan keberkatan harta, keutuhan ekonomi, keadilan dan keseimbangan sosial, kestabilan politik, pemurnian iman dan akhlak. Sebagaimana kefarduan puasa adalah untuk meningkatkan takwa, ia disempurnakan pula oleh ibadah zakat fitrah di penghujungnya. Maka, zakat fitrah hadir sebagai pembatas, supaya kita dapat melentur sifat tamak dan menundukkan kebakhilan dalam diri.

Bagi memudahkan umat Islam melaksanakan kewajipan ini, seramai 74 orang Ketua Penolong Amil dan 846 Penolong Amil telah dilantik oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada tahun ini. Zakat fitrah boleh ditunaikan menerusi amil-amil yang dilantik oleh MAIWP yang akan membuka kaunter-kaunter kutipan di pelbagai lokasi di sekitar Wilayah Persekutuan. Zakat fitrah juga boleh ditunaikan melalui kaunter-kaunter Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) atau boleh juga dilaksanakan secara dalam talian.

Perlu diingatkan bahawa zakat mesti dibayar kepada PPZ-MAIWP jika kita mencari rezeki di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan kerana daripada kutipan zakat itulah agihannya dibuat kepada golongan asnaf di negeri ini. Institusi masjid dan surau yang kita imarahkan di samping sekolah-sekolah agama yang menjadi tempat anak-anak kita mempelajari ilmu agama turut menerima manfaat daripada zakat yang dibayar tersebut. Janganlah bertanggung-tangguh mengeluarkan zakat kerana ia sememangnya menyucikan harta kita. Malah kita juga boleh mendapat rebat cukai sebanyak seratus peratus bagi cukai individu.

Sebagai pembayar zakat, kita juga boleh memohon Wakalah bagi mengagihkan sendiri zakat yang dikeluarkan berdasarkan peratusan daripada jumlah yang dibayar mengikut syarat-syarat tertentu.

Di samping sedekah dan zakat, Islam juga menggalakkan amalan berwakaf yang disyariatkan sebagai salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui pemberian harta pada jalan-Nya. Ganjarannya sangat besar dan berterusan walaupun selepas kematian pewakaf. Wakaf boleh ditakrifkan sebagai pemberian harta secara sukarela untuk digunakan oleh orang ramai sama ada berkaitan dengan keperluan agama mahupun keperluan kebajikan dengan manfaat yang berpanjangan. PPZ-MAIWP bukan sahaja bertanggungjawab dalam urusan kutipan zakat bahkan peranannya telah diperluaskan sebagai institusi penting yang menguruskan kutipan wakaf tunai yang merangkumi tujuh sektor iaitu perumahan dan hartanah, pendidikan, sosial, sains dan teknologi, kesihatan, ekonomi serta kecemasan.

PPZ-MAIWP turut menguruskan kutipan wakaf khas bagi projek-projek pembinaan masjid dan surau tertentu. Mengambil keberkatan di bulan yang mulia ini, marilah kita merebut gandaan pahala yang berpanjangan melalui amalan berwakaf menerusi pembayaran wakaf tunai kepada PPZ-MAIWP.

Walaupun dengan jumlah wang yang sedikit, di sisi Allah SWT ianya tetap dinilai sebagai amalan jariah sebagai saham kita di akhirat kelak.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Pohonlah setinggi harapan dan doa agar Allah SWT mengurniakan kepada kita lailatulqadar sebagai satu malam yang sangat istimewa dan lebih baik daripada seribu bulan.

Kedua: Tingkatkan amalan dan penghayatan di sepuluh terakhir Ramadan dengan sepenuh pengharapan dan keikhlasan serta tinggalkan perkara yang merosakkan pahala.

Ketiga: Zakat fitrah adalah wajib. Laksanakan kewajipan ini mengikut masa yang telah ditetapkan syariat demi meraih keredaan Allah SWT dan menyempurnakan ibadah puasa di bulan Ramadan.

Mengakhiri khutbah, renungkan bersama firman Allah SWT menerusi surah al-Baqarah, ayat 265 yang bermaksud: 

“Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.”

(Al-Baqarah 2:265) 

Tarikh Dibaca: 23 Ramadan 1444H/14 April 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: