Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu memaksa diri dalam menjamu tetamu sehingga membuat kamu membencinya. Siapa yang membuat tetamunya marah, dia akan membuat Allah murka. Barangsiapa membuat Allah murka, Allah akan memurkainya.” Juga sabdanya: “Tidak ada kebaikan dari orang yang tidak suka menjamu tetamu.”
Pada suatu hari, Rasulullah SAW melalui seorang lelaki yang mempunyai banyak unta dan lembu. Namun, orang itu membiar kan baginda, tidak menjamunya. Kemudian Rasulullah SAW melalui seorang perempuan yang mempunyai banyak kambing. Perempuan itu mempersilakan Rasulullah SAW untuk singgah dan menjamunya dengan menyembelih kambing. Baginda berkata kepada para sahabatnya: “Perhatikanlah dua orang itu. Perempuan itu berakhlak sesuai dengan tuntunan Allah. Barangsiapa ingin dianugerahi akhlak yang baik, beramallah!”
Abu Rafi’, pembantu Rasulullah SAW bercerita: “Pada suatu waktu baginda didatangi oleh seorang tetamu. Baginda lalu menyuruhku agar menemui seorang Yahudi, ‘Katakan kepadanya bahawa aku meminjam gandum sampai bulan Rejab.’ Namun, orang Yahudi itu berkata, ‘Demi Allah, aku tidak akan meminjam gandum kecuali Rasulullah memberiku barang jaminan.’ Setelah hal itu diberitahu kepada Rasulullah SAW, baginda bersabda, ‘Demi Allah, aku adalah orang yang dipercayai baik di langit mahupun di bumi. Seandainya dia meminjam aku, pasti akan ku bayar. Pergilah dengan membawa serbanku ini sebagai barang jaminan.'”
Ibrahim AS jika akan makan, dia keluar rumah sampai satu batu atau dua batu hanya untuk mengajak orang ramai agar makan bersamanya. Baginda tidak melewatkan hari-harinya kecuali mengajak orang lain makan bersamanya paling sedikit tiga, sepuluh, sehingga seratus orang. Kerana itulah baginda digelar Abu adh-Dhiyaf ertinya bapa penjamu tetamu.
Rasulullah SAW ditanya tentang hakikat iman. Baginda menjawab: “Memberi makan dan menyebarkan salam. Memberi makan dan solat malam saat orang ramai sedang tidur lelap dapat menghapus dosa dan meninggikan darjat.”
Baginda pun ditanya tentang hakikat haji mabrur. Baginda menjawab: ‘“Hakikat haji mabrur adalah memberi makan dan bercakap baik.”
Dalam hadith yang diriwayatkan Anas dikatakan bahawa rumah yang tidak dimasuki tetamu tidak akan dimasuki malaikat.
Kepada orang yang mengundang, sepatutnya dia mengundang orang yang bertakwa, bukan orang fasik, kerana Rasulullah SAW bersabda bahawa yang patut memakan makanan kita adalah orang-orang yang baik. Juga ada kekhususan bahawa orang yang diundang adalah orang-orang fakir, bukan orang- orang kaya. Sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: “Seburuk-buruk makanan walimah adalah jika tamu yang diundang hanya orang-orang kaya, bukan orang-orang fakir.”
Ketika mengundang orang untuk menikmati jamuan, sudah sepatutnya tidak membiarkan kaum kerabat, kerana hal itu boleh menimbulkan kedengkian dan memutuskan hubungan silaturrahim. Oleh kerana itu, harus diatur urutan orang-orang yang akan diundang mulai dari teman, lalu orang-orang yang sudah dikenali. Sebab, mengkhususkan sebahagian atas sebahagian yang lain akan menimbulkan kedengkian.
Undangan pun tidak boleh bermaksud untuk berbangga-bangga diri dan pamer kemewahan. Namun diniatkan untuk mengikat tali persaudaraan dan menjalankan sunnah Rasulullah SAW dalam rangka memberi makan dan membahagiakan kaum mukmin.
Disarankan agar jangan mengundang orang yang diketahui enggan untuk menghadiri undangan, kerana hal itu akan menimbulkan perkara-perkara kurang baik kepada orang-orang yang hadir.
Seharusnya orang yang diundang hanyalah orang- orang yang dipastikan akan memenuhi undangannya dengan perasaan senang. Sufyan berkata bahawa mengundang seseorang yang diketahui enggan memenuhi undangan adalah termasuk kesalahan, memberi jamuan kepada orang-orang yang takwa akan mendorongnya kepada ketaatan dan memberi jamuan kepada orang-orang fasik akan mendorongnya kepada kefasikan.
Memenuhi undangan adalah sunat muakkad (sangat dianjurkan). Anjuran untuk memenuhi undangan telah diterangkan dalam beberapa hadith Nabi SAW. Rasulullah SAW. bersabda: “Jika aku diundang untuk menikmati masakan daging kaki unta, tentu aku akan memenuhinya, Walaupun aku dihidangkan dengkulnya, pasti aku menerimanya dengan senang hati.”
Sumber: Mendidik Hati Mendekati Ilahi oleh Imam Al-Ghazali
Leave a Reply