Ciri-Ciri Ahli Syurga dan Neraka

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata yang ertinya: 

“Nabi SAW bersabda, ‘Syurga dan neraka saling berhujah, neraka berkata, ‘Aku hanyalah khusus bagi orang-orang yang membesar diri dan sombong,’ manakala syurga berkata, ‘Apakah yang berlaku kepadaku apabila seorang pun tidak masuk ke dalamku melainkan orang yang lemah dan dipandang rendah – dalam riwayat Muslim terdapat penambahan: … dan orang yang lalai (serta jahil namun masih beriman) – dalam kalangan manusia?’ Lalu Allah SWT berfirman kepada syurga, ‘Engkaulah rahmat-Ku, Aku merahmati sesiapa sahaja yang Aku kehendaki dalam kalangan para hamba-Ku denganmu.’ Dia berfirman pula kepada neraka, ‘Sesungguhnya engkaulah azab-Ku, Aku seksa sesiapa sahaja yang Aku kehendaki dalam kalangan para hamba-Ku denganmu. Setiap satu daripada kedua-duanya terdapat para penghuninya.’ Adapun neraka, maka ia tidak akan dipenuhi sehingga Allah SWT meletakkan kaki-Nya lalu ia berkata, ‘Cukup, cukup.’ Maka ia telah penuh dengan sebahagiannya menindih sebahagian yang lain dan Allah tidak pernah menzalimi seorang pun dalam kalangan makhluknya. Adapun syurga, maka sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan makhluk untuknya (masuk ke dalamnya).” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi dan Ibnu Hibban-lafaz al-Bukhari. Menurut al-Tirmizi, hadis ini hasan shahih. Tahkik Shahih Ibni Hibban: Hadis ini sahih.)

Diriwayatkan daripada ‘Iyadh bin Himar al-Mujasyi’i RA ertinya: “Bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika berkhutbah, “Ingatlah, sesungguhnya Tuhan saya memerintahkan saya supaya mengajarkan kepada kalian apa yang kalian tidak ketahui daripada apa yang Dia telah ajarkan kepada saya pada hari ini (dengan firman-Nya), ‘Setiap harta yang Aku berikan kepada seorang hamba adalah halal. Sesungguhnya Aku telah ciptakan para hamba-Ku kesemuanya dalam keadaan lurus, dan sesungguhnya mereka telah didatangi syaitan lalu ia menyimpangkan mereka daripada agama mereka. Syaitan telah mengharamkan ke atas mereka apa yang Aku telah halalkan kepada mereka, dan memerintahkan mereka supaya menyekutukan-Ku pada suatu perkara yang Aku tidak turunkan sebarang bukti padanya (yang menyokong perbuatan menyekutukan Allah SWT).

Sesungguhnya Allah SWT melihat kepada penduduk bumi (sebelum kebangkitan Nabi Muhammad SAW), lalu Dia murka kepada mereka sama ada yang berbangsa Arab atau bukan Arab, melainkan saki-baki dalam kalangan ahli kitab. Dia berfirman, ‘Sesungguhnya Aku mengutuskanmu untuk mengujimu dan mendatangkan ujian denganmu (sama ada manusia beriman atau tidak dengan risalah Islam), dan Aku turunkan ke atasmu sebuah kitab yang tidak pernah dibasuh air (kiasan kepada sebuah kitab yang terpelihara) yang dibaca oleh orang yang tidur dan jaga. Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan saya supaya membakar – dalam riwayat Ibnu Hibban: Memberitahu – kaum Quraisy, lalu saya berkata, ‘Wahai Tuhanku, kalau begitu mereka akan memecahkan kepalaku dan menjadikannya roti.’ Dia berfirman, ‘Keluarkanlah mereka sepertimana mereka telah mengeluarkanmu, dan perangilah mereka nescaya Kami akan menolongmu. Infaklah maka Kami memberikan kecukupan harta kepadamu. Utuslah sepasukan tentera maka Kami akan mengutus lima pasukan yang serupa dengannya. Perangilah bersama-sama orang yang mentaatimu orang yang derhaka kepadamu.””

Baginda SAW bersabda, “Penghuni syurga ada tiga: Orang yang berkuasa, adil, bersedekah, lagi diberi petunjuk kepada kebaikan; lelaki yang mengasihani, berlembut hati kepada setiap kerabat dan Muslim; dan orang yang menjaga diri (daripada melakukan perkara yang dilarang), menahan diri (daripada meminta-minta) lagi mempunyai keluarga (dengan kuat bertawakal kepada Allah) – dalam riwayat Ibnu Hibban: … dan lelaki yang menjaga diri, fakir, lagi suka bersedekah -.” Baginda bersabda lagi, “Penghuni neraka ada lima: Orang yang lemah yang tidak mempunyai akal (lalu berfikir dan menghalangnya daripada melakukan maksiat); orang- orang yang berada dalam kalangan kalian sebagai pengikut (para khadam) namun mereka tidak menginginkan ahli keluarga dan harta (yang halal serta mengambil perkara yang haram); pengkhianat yang tidak tersembunyi baginya sifat tamak walaupun pada perkara yang kecil melainkan dia akan khianat padanya; seorang lelaki yang tidak berada pada waktu pagi dan malam melainkan dia memperdayamu pada ahli keluarga dan hartamu; – dan Baginda menyebutkan (yang kelima), – orang yang bakhil atau berdusta serta buruk akhlak lagi banyak melakukan kejahatan (pada percakapan).

Dalam riwayat lain di sisinya (Muslim) terdapat penambahan (Baginda SAW bersabda): “Sesungguhnya Allah SWT telah mewahyukan kepada saya supaya kalian merendah diri sehingga seseorang tidak berbangga dan mereka ialah orang ke atas orang lain dan seseorang tidak berlaku zalim ke atas orang lain.” Baginda SAW telah bersabda dalam hadisnya tadi, dalam kalangan kalian sebagai pengikut yang tidak menginginkan ahli dan harta (yang halal).” (“Iyadh bin Himar al-Mujasyi’i berkata,) “Lalu saya berkata, ‘la berlaku begitu, wahai Abu Abdullah (Mutharrif bin Abdullah, salah seorang perawi hadis ini)?’ Beliau menjawab, Ya. Demi Allah, saya telah mendapati mereka pada zaman jahiliah. Sesungguhnya seorang lelaki mengembala ternakan di tanah yang subur, namun tidak ada sesuatu padanya melainkan seorang budak perempuan yang dia setubuhi.” Dalam riwayat Ibnu Hibban: Lalu seorang lelaki berkata kepadanya (Mutharrif bin Abdullah, salah seorang perawi hadis ini), “Wahai Abu Abdullah, adakah dia dalam kalangan orang bekas hamba (bukan Arab) atau orang Arab?” Beliau menjawab, “Dia ialah khadam kepada seorang lelaki, namun dia bersetubuh dengan isteri tuannya secara zina, bukan melalui pernikahan.” (Riwayat Muslim dan Ibnu Hibban-lafaz Muslim. Tahkik Shahih Ibni Hibban: Sanadnya sahih.)

Pengajaran

  • Setiap hamba diciptakan dalam keadaan fitrah yang suci sebelum syaitan memesongkan mereka daripada jalan yang lurus.
  • Ciri-ciri ahli syurga dan neraka dapat diketahui melalui sifat mereka semasa hidup di dunia.
  • Anjuran menjaga hubungan persaudaraan dengan berbuat baik sesama manusia.

Sumber: Hadis Qudsi, Menelusuri Hikmah di Sebalik Firman Allah SWT, Muhammad Yusuf A Kadir

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: