Oleh: mymuslimin.com
Masalah perkahwinan boleh mencetuskan masalah emosi, bebanan kewangan, retaknya hubungan kekeluargaan, dan berkemungkinan membawa kepada penceraian.
5 penyebab utama kegagalan perhubungan ialah hilangnya rasa percaya, komunikasi yang tidak berkesan, kurangnya rasa hormat, keutamaan yang berbeza, serta kurangnya keintiman dalam perkahwinan.
1. Hilang Rasa Percaya
Salah satu perasaaan penting yang perlu ada dalam sesebuah perkahwinan ialah perasaan percaya dan selamat. Ketiadaan sokongan emosi daripada pasangan ditambah lagi dengan mempunyai pasangan yang tidak boleh dipercayai akan menyebabkan rasa percaya yang mulanya mekar, semakin menipis dan terkikis.
Kalau pasangan kita mula berdolak-dalih, memberi penjelasan samar-samar tentang sesuatu perkara yang dimusykilkan, dan tidak komited kepada perhubungan, mungkin ada sesuatu yang tidak kena.
Pasangan yang sudah terbukti melanggar kepercayaan yang diberi, tentu sekali akan sukar memperolehinya semula kerana seperti pasu retak seribu, digam semula pun tidak akan sempurna.
Bagaimana rasa percaya ini terhakis?
- Penipuan – Mengapa ramai yang memilih untuk menipu? Kerana menipu itu lebih mudah untuk menutup kesalahan yang telah dilakukan berbanding bercakap benar. Menipu berkali-kali walaupun tentang benda remeh akan mengikis kepercayaan pasangan kepada kita dan berat natijahnya.
- Perasaan Memunya – Hati seronok jika kita dihargai, tetapi sifat posesif ini ialah mempercayai bahawa pasangan kita adalah milik mutlak semata yang tidak boleh dikongsi dengan orang lain langsung. Lantas, apabila pasangan tahu yang kita ada hubungan atau komunikasi dengan sesiapa sahaja, pertengkaran akan tercetus. Ini disebabkan oleh rasa kurang percaya yang ada terhadap pasangan anda.
- Cemburu – Cemburu itu perlu, namun biarlah berbatas. Cemburu buta akan memporak-perandakan keluarga kerana mempunyai pasangan yang sentiasa berprasangka.
- Curang – Kecurangan sering menjadi penyebab perkahwinan tidak dapat bertahan kerana tembok kepercayaan sudah dimusnahkan pasangan.
2. Komunikasi Kurang Berkesan
Perhatikan apa yang kamu berdua bualkan? Adakah topik yang tinggal hanyalah berkisar tentang jadual aktiviti anak-anak dan tugasan rumah masing-masing? Atau, adakah anda berdua berborak tentang apa sahaja dan menikmati masa yang dihabiskan bersama walaupun hanya berdua? Adakah komunikasi anda berat sebelah di mana sebelah pihak sahaja yang berpendapat dan sebelah lagi mendengar dan mengiyakan secara paksa? Adakah keduanya kepala angin, setiap kali berbicara akan berakhir dengan pertengkaran dan pertelingkahan berpanjangan?
Konflik itu biasa. Terdapat banyak cara untuk menangani konflik sebenarnya. Komunikasi yang baik sepatutnya penuh empati, kefahaman dan penuh kemahiran, di mana kedua-dua diberi ruang untuk bercakap, didengari dan mendengar, tidak dinilai, berasa selamat untuk meluah dan sebagainya.
Malangnya, ramai pasangan yang bercakap untuk menang, mendengar untuk membantah, tiada niat untuk memahami atau memberi empati, dan ini bukanlah komunikasi.
Namun, ada juga pasangan yang tidak pernah atau jarang berselisih faham atau bertengkar. Kemungkinannya ada dua; satu, mereka benar-benar memahami dan kedua, masing-masing mengelak daripada konflik, membenamkan isu berat jauh-jauh, semoga isu itu tidak timbul lagi di masa akan datang.
Masalahnya, kebarangkalian isu berat tadi tidak muncul lagi ialah 50-50, dan jika keduanya tidak mahu menyelesaikan isu tersebut, keduanya akan mencari jalan keluar dari perkahwinan kerana itu adalah cara yang lebih mudah.
Seperti yang diluahkan di Twitter baru-baru ini, seorang wanita yang baru berumahtangga menyedari bahawa suaminya bukanlah seorang yang pembersih setelah sebulan berumahtangga. Dia tidak mahu menegur atau berbincang dengan suaminya tentang perkara itu sebaliknya menceritakan masalah tadi di Twitter dan merasakan dia telah membuat pilihan yang salah, dan ingin keluar dari perkahwinan yang dibina. Begitulah rapuhnya sesebuah perhubungan yang dibina tanpa teras dan kemahiran yang baik.
3. Kurang Rasa Hormat
Keserasian tidak hadir secara automatik apabila anda berumahtangga. Banyak pasangan yang tidak sependapat dalam pelbagai isu kerana perbezaan nilai dan personaliti. Anda mungkin seorang yang jimat, sedangkan isteri anda belanja tanpa sempadan. Suami mungkin datang dari keluarga kecil, dan beliau tidak gemarkan kekecohan dan kemeriahan keluarga besar.
Isteri mungkin bergaji besar daripada suami dan mengambil tanggungjawab kewangan yang lebih hanya kerana dia mampu dan mahukan pilihan yang terbaik untuk diri dan keluarga.
Semuanya tidak menjadi masalah jika adanya keikhlasan, kematangan dan rasa hormat. Masalah mula timbul apabila pasangan berdepan dengan sesuatu isu dan ketika bertengkar, semuanya diungkit dibangkit sehingga mencalar emosi dan ego masing-masing, dan perasaan hormat antara satu sama lain semakin hilang. Tanpa perasaan hormat, perkahwinan yang dibina umpama tiada nakhodanya.
4. Perbezaan Keutamaan
Sekiranya anda dan pasangan mempunyai matlamat hidup dan keinginan yang berbeza, agak sukar untuk anda menelusuri masa depan bersama. Pilihannya ialah anda berdua perlu berusaha untuk menyelaraskan matlamat masing-masing, atau mencari jalan masing-masing yang berbeza.
- Matlamat Perhubungan yang Berbeza – Seorang mungkin mahukan anak secepat mungkin sedangkan seorang lagi ingin mengejar kerjaya terlebih dahulu. Anda mungkin ingin memiliki rumah dan kereta mewah, manakala pasangan anda ingin melihat dunia dengan wang tersebut. Anda mungkin inginkan keluarga besar sedangkan pasangan tidak terfikir untuk menukar lampin selama 10 tahun dalam kehidupannya. Lantas, jika matlamat ini tidak dibincang awal dan kedua-duanya tidak mahu berkompromi selepas berumahtangga, kesannya amat bahaya sekali.
- Matlamat Hidup Yang Berbeza – Apakah yang anda inginkan dalam hidup? Sekiranya anda ingin mencari reda Allah SWT dan pasangan anda masih ghaflah dan terpukau dengan dunia dan gemerlapannya, ini akan menyukarkan perhubungan. Andai anda ingin dedikasikan kehidupan anda kepada kerjaya sedangkan pasangan anda inginkan masa bersama anda, ini juga akan meretakkan perhubungan.
Berbincanglah tentang matlamat masing-masing dan berusahalah untuk mencari keserasian demi perkahwinan yang dibina.
5. Kurang Keintiman
Apabila kita intim dengan pasangan, tubuh kita merembeskan hormon oxytocin atau dikenali sebagai “hormon cinta”. Berpelukan, bersentuhan, bercumbu dan perbuatan-perbuatan yang menunjukkan kasih sayang fizikal akan menambahkan penghasilan hormon oxytocin dan mengurangkan tekanan serta menambah rasa gembira.
Apabila pasangan tidak berkasih-kasihan, kurang bersentuhan, kualiti perhubungan akan merosot. Apabila pasangan tidak lagi berkehendakkan hubungan intim, perkahwinan akan menuju kehancuran jika masalah ini tidak dibendung dan dibincangkan.
Jangan mencari solusi mudah pula dengan menukar pasangan, carilah penyelesaian dengan berbincang dan berusaha untuk menghidupkan cetusan api cinta di antara kamu berdua.
Perkahwinan memerlukan usaha yang berterusan daripada kedua belah pihak. Selain sabar dan usaha, panjatkanlah doa kita kepada Allah SWT agar dipelihara perkahwinan kita daripada bisikan syaitan yang sering berusaha untuk meruntuhkannya.
Leave a Reply