Teks Khutbah Jumaat: Muhasabah Asas Kesempurnaan

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya di samping istiqamah melakukan amal-amal ibadah. Mudah-mudahan kita sentiasa berada dalam rahmat dan perlindungannya di dunia dan di akhirat.

Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: “Muhasabah Asas Kesempurnaan”.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Amalan bermuhasabah sangat digalakkan iaitu perbuatan menilai diri ke arah satu pembaikan yang lebih baik. Justeru, di saat ini setiap muslim sewajarnya bermuhasabah terhadap ibadah puasa dan amalan-amalan ketaatan yang lain. Sesungguhnya amalan muhasabah sangat penting untuk memperbaiki kekurangan dalam melakukan amal ibadah supaya kita dapat membentuk jiwa hamba yang benar-benar ikhlas dan tawaduk menghambakan diri kepada Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hasyr ayat 18 sebagaimana yang dibaca pada permulaan khutbah tadi yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan), bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.”

(Al-Hasyr 59: 18)

Bulan Ramadan adalah umpama sebuah cermin yang membolehkan kita melihat dan menilai kembali diri kita. Dengan demikian, kita dapat mengukur tahap pencapaian sama ada daripada aspek ibadah, akhlak, keimanan dan ketakwaan. Ibadah puasa akan bermakna apabila ia menghasilkan takwa dalam diri seseorang insan.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Demi memastikan tarbiah Ramadan dapat memberi kesan positif, maka kita perlu memahami bahawa segala ibadah dan amalan-amalan kebaikan yang dilakukan pada bulan Ramadan merupakan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah SWT, bukannya semata-mata kerana bulan tertentu.

Dengan itu, segala amalan yang baik yang telah dilakukan sepanjang Ramadan dapat kita teruskan pada bulan-bulan yang lain. Sesungguhnya beruntunglah bagi orang soleh kerana mereka akan memastikan apa yang dibina sepanjang Ramadan akan dipertahankan. Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa

Rasulullah SAW bersabda  yang bermaksud:

“Solat lima waktu, solat jumaat ke jumaat berikutnya, Ramadan ke Ramadan berikutnya adalah penghapus dosa yang dilakukan antara keduanya, selagi mana dia menjauhi dosa-dosa besar.”

Biarpun Ramadan meninggalkan kita namun teruskanlah melakukan sebanyak mungkin amal ibadah dan kebaikan dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT. Jika kita berjaya mendirikan solat terawih di bulan Ramadan, maka di bulan-bulan yang lain pula kita teruskan dengan melakukan solat-solat sunat yang sangat dituntut seperti solat sunat rawatib, tahajud, taubat dan sebagainya. Di samping itu, jangan lupa untuk berterusan melakukan amalan kebajikan seperti sedekah dan berinfak.

Ramadan pasti akan kembali pada tahun-tahun yang akan datang namun tiada jaminan kita masih berpeluang untuk bertemu dengannya lagi.

Oleh itu, jadikan didikan Ramadan sebagai penyuntik semangat ke arah perubahan akhlak dan tingkah laku yang mulia. Kadangkala tanpa disedari kita telah melakukan dosa kepada Allah SWT terutama di zaman maklumat di hujung jari ini kita begitu mudah melakukan perbuatan yang mengundang dosa di media-media sosial.

Marilah kita berdoa agar Allah SWT menerima segala amal ibadah dan kebaikan yang kita lakukan, mengampunkan segala dosa dan memberikan peluang mencipta perubahan untuk menjadi hamba-hamba-Nya yang taat melaksanakan amal soleh dengan penuh keikhlasan.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Musim perayaan Aidilfitri sudah tentu sangat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam. Dalam keriangan menyambut Aidilfitri, kita diingatkan supaya berhemah berbelanja dalam membuat persiapan menyambut perayaan. Kesederhanaan sangatlah dituntut untuk diamalkan. Belilah mengikut keperluan dan tahap kewangan yang kita miliki.

Di musim perayaan ini juga, sudah semestinya ramai dalam kalangan kita yang mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman bagi merayakan Aidilfitri bersama ibu bapa, keluarga dan sanak-saudara. Mimbar ingin mengingatkan kepada para jemaah yang akan bermusafir, sentiasalah mengamalkan adab dan akhlak yang mulia di jalan raya, berhati-hati, berhemah dan bertoleransi dengan pengguna jalan raya yang lain. 

Sebelum memulakan perjalanan, selenggara kenderaan kita dan pastikan ia berada dalam keadaan yang baik. Di samping itu, pastikan rumah kediaman ditinggalkan dalam keadaan selamat untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini daripada berlaku. Marilah kita bertawakal dan berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan kesejahteraan, keselamatan dan pemeliharaan daripada musibah supaya Aidilfitri dapat diraikan dengan penuh kesyukuran dan kebahagiaan.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Ramadan bukan penamat kepada momentum ibadah kita bahkan sebagai langkah permulaan penyucian jiwa dan rohani untuk berubah kepada yang lebih baik.

Kedua: Perbaikilah kekurangan dalam amal ibadah yang dilakukan supaya kita dapat membentuk jiwa hamba yang benar-benar ikhlas dan tawaduk menghambakan diri kepada Allah SWT.

Ketiga: Teruskan momentum ibadah kita sepanjang Ramadan pada bulan-bulan yang lain seperti solat berjemaah, tadabbur al-Quran, sedekah dan sebagainya.

Mengakhiri khutbah, renungkan bersama firman Allah SWT menerusi surah al-Zumar, ayat 73 yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata: Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya (mereka pun masuk).”

(Az-Zumar 39:73)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Bersempena dengan Hari Bumi 2023 yang disambut pada 22 April setiap tahun yang bertemakan ‘Invest in Our Planet’, mimbar ingin menarik perhatian sidang jemaah sekalian mengenai peranan kita sebagai khalifah di muka bumi ini untuk menjaga dan memelihara alam sekitar demi kelestarian bumi Allah SWT ini.

Di musim perayaan Aidilfitri ini, marilah kita melaksanakan amalan hijau semasa menyambut perayaan ini. Perkara utama yang mesti diamalkan ialah dengan mengelakkan pembaziran makanan, penggunaan tenaga elektrik dan sumber air. Berpada-padalah dalam penyediaan makanan supaya kita dapat mengurangkan pembuangan sisa makanan yang mengundang pencemaran, di samping mengelakkan penggunaan plastik, berkongsi kenderaan semasa aktiviti ziarah dan mengamalkan aktiviti kitar semula bermula di rumah keluarga kita sendiri.

Semoga dengan peranan kita ini dapat menjamin kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang.

Tarikh Dibaca: 30 Ramadan 1444H/21 April 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: