Bersabarlah…

Oleh: mymuslimin.com

Masyarakat telah dihidangkan dengan pelbagai kisah tragis dan sedih akibat hilangnya sifat sabar daripada diri. Walaupun sabar ini dituntut oleh agama, tidak ramai yang mahu memupuk sifat sabar di dalam diri sebaliknya memilih untuk mengikut hati kerana itu lebih mudah (pada pendapat mereka).  

Berita terbaru, seorang peniaga ditangkap polis kerana bergaduh apabila pelanggannya menuduh lemang yang dijualnya tidak masak. Dalam berita lain, suami yang tidak sabar menyerang isteri sehingga menyebabkan kematian, dan banyak lagi. Di kala ini, sifat sabar itu seperti telah disalahtafsir atau tidak mahu disuburkan atau diendahkan oleh manusia.

Walhal, sabar merupakan sifat yang begitu dituntut oleh Islam. Sabar itu ialah kebolehan untuk mengharungi kesukaran dan bertenang dalam menghadapi kesusahan dan kesulitan. Sabar itu sememangnya tidak mudah, oleh itu ia merupakan sifat mulia yang akan diberikan ganjaran yang besar oleh Allah SWT seperti di dalam firman-Nya yang bermaksud:  

“Katakanlah (wahai Muhammad, akan firman-Ku ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): “Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira”.

(Az-Zumar, 39:10)

Sabr’ diulang beberapa kali di dalam Al-Quran untuk membawa maksud ketabahan. Ketabahan dalam menunaikan tanggungjawab kepada Allah SWT di sepanjang hayat, menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT di setiap ketika, serta bertahan dan bertabah apabila diri dan keluarga dilanda kesusahan dan bencana di sepanjang usia. 

Kesabaran yang sebenar adalah ketika pertama kali mendengar atau didatangi musibah atau kesedihan, sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis. Rasulullah SAW berkata yang maksudnya:

“Sesungguhnya kesabaran itu ketika pukulan pertama (musibah).”

(HR Bukhari No.1902) 

Sabar ialah sifat mulia yang memerlukan latihan. Allah SWT berfirman beberapa kali di dalam Al-Quran untuk menekankan berapa pentingnya kesabaran di dalam kehidupan insan. 

Apabila kita menghadapi kesukaran di dalam kehidupan, adalah penting untuk kita yakin bahawa Allah SWT akan membantu kita mengatasinya. Oleh itu, apabila berada di dalam kesulitan, kita disarankan untuk bersabar dan mengerjakan solat seperti yang dinyatakan di dalam Al-Quran yang bermaksud:  

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang..”

(Al-Baqarah, 2:45)

“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar”

(Al-Baqarah, 2:153)

Ganjaran mereka yang sabar ini sangat hebat dan tanpa sempadan. Lantas, kesabaran itu menuntut kesungguhan dan latihan. Teliti Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).”

(Ash-Shuraa, 42:43) 

Dan sifat sabar itu akan membawa manusia menikmati ganjaran syurga yang tertinggi, yang tiada tolok bandingnya.

“Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya,”

(Al-Furqan, 25:75)

Dalam kita menyuruh kepada yang ma’ruf dan melarang dari yang mungkar, tentu sekali tidak lekang daripada menghadapi kesulitan dan kesukaran yang menuntut sifat sabar seperti yang dinayatakan di dalam surah Luqman yang bermaksud: 

“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.”

(Luqman, 31:17)

Sabar juga merupakan amalan yang mulia. Sesungguhnya Allah mengingatkan kita bahawa mereka yang bersabar ialah mereka yang berbuat kebaikan, dan Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala kepada mereka. 

“Dan sabarlah (wahai Muhammad, engkau dan umatmu, dalam mengerjakan suruhan Allah), kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.”

(Hud, 11:115)

Dan Allah SWT mengasihi mereka yang sabar: 

“Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.”

( Ali ‘Imran, 3:146)

Sesungguhnya Allah SWT itu cukup bagi manusia dan Dia mengetahui segala apa yang kita hadapi di dalam hidup. Tatkala diri dilanda kesulitan dan ujian, marilah kita mengingatkan diri kita agar bersabar kerana Allah SWT sentiasa berada di sisi. Bersabarlah…. kerana itu adalah pilihan yang lebih baik dan lebih banyak ganjarannya. 

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”

( Al-Anfal, 8:46)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: