Ketahuilah bahawa negeri yang dikenali akan kesengsaraan dan kepedihannya adalah neraka. Lawannya adalah negeri yang diharapkan kenikmatan dan kebahagiaannya. Barangsiapa yang dijauhkan dari salah satunya, nescaya dia menetap pada yang lain.
Oleh itu, tanamkanlah ketakutan dalam hati anda dengan begitu lama merenungi ketakutan akan neraka. Lalu, tanamkan harapan dengan agak lama merenungi kenikmatan yang abadi yang dijanjikan kepada penghuni syurga.
Pukullah diri anda dengan cemeti ketakutan dan kendalikanlah dengan kekang harapan menuju jalan yang lurus (as-Sirat al-Mustaqim). Dengan cara itu, anda memperoleh kekuasaan yang besar dan selamat dari seksaan yang pedih.
Fikirkanlah tentang para penghuni syurga dan wajah mereka yang diliputi kenikmatan. Mereka meneguk air dari minuman yang lazat. Mereka duduk-duduk di atas mimbar dari yakut merah (rubi) di dalam khemah yang diperbuat dari mutiara putih. Sungai-sungainya dialiri arak dan madu yang dikelilingi oleh pelayan-pelayan yang dihias dengan hiasan yang menawan dari segala kebaikan, seakan-akan yakut (rubi) dan marjan yang tidak pernah disentuh oleh sesiapa pun sebelum mereka baik manusia mahupun jin.
Mereka berjalan di tempat-tempat tinggi di syurga. Setiap kali kaki mereka menyentuh pijakan, mereka diiringi oleh tujuh puluh ribu bidadari yang memakai sutera putih yang menawan, memakai mahkota yang bertatahkan mutiara dan marjan, menyebarkan wangian, terhindar dari ketuaan dan penderitaan, serta mengelilingi khemah di istana dari yakut (rubi). Istana itu dibina di tengah taman syurga yang menyilaukan pandangan mata. Kemudian kepada mereka dikelilingkan cawan, teko dan cawan yang berisi air yang berwarna putih dan lazat bagi peminumnya. Mereka pun dikelilingi pelayan dan bidadari seperti mutiara yang tersembunyi, sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan.
Mereka berada di tempat dipercayai di syurga, mata air dan sungai, di tempat duduk di sisi Raja Yang Maha Pemberi takdir. Di situ mereka memandang wajah Raja Yang Maha Mulia. Pada wajah mereka terpancar kesenangan yang tidak tersentuh kerendahan dan kehinaan.
Bahkan mereka adalah hamba-hamba yang dimuliakan dengan berbagai persembahan dari Tuhan mereka yang telah dijanjikan. Di situ mereka kekal dan memperoleh segala yang mereka inginkan. Tidak ada rasa ketakutan dan kesedihan. Mereka terhindar dari keraguan.
Di situ mereka bersenang-senang dan makan dari makanan syurga dan minum dari sungai-sungai syurga berupa susu, arak, madu dan air yang tidak berubah rasa dan baunya. Lantainya dari perak, kerikilnya dari marjan, tanahnya dari kasturi yang sangat wangi dan tumbuhannya adalah za’faran. Didatangkan kepada mereka cawan-cawan dari perak yang bertatahkan mutiara, yakut dan marjan.
Ada gelas yang berisi air yang menyegarkan yang dicampur arak tawar. Ada pula gelas yang memancarkan cahaya kerana sangat jernihnya, sementara bayangan nampak dari sebaliknya kerana kelembutan dan merahnya yang tidak boleh dibuat oleh manusia. Gelas-gelas itu berada di tangan pelayan yang wajahnya memancarkan cahaya bagai matahari. Namun matahari tidak ada apa-apanya dibandingkan dengan keindahan pelipis dan biji matanya.
Di dalam syurga terdapat ketakjuban bagi orang yang meyakini negeri yang demikian adanya dan mempercayai bahawa penghuninya tidak akan mati. Penyakit tidak menyentuh orang yang singgah di pelatarannya dan mata tidak memandang perubahan pada penghuninya. Bagaimana ia berasa senang kepada negeri yang telah Allah perkenankan kehancurannya dan suka akan kehidupan yang lain? Demi Allah, walaupun di dalam syurga hanya ada keselamatan badan serta keamanan dari ancaman kematian, kelaparan, kehausan dan berbagai penderitaan lain, nescaya menjadi penting meninggalkan dunia beserta segala isinya. Bagaimana tidak?
Para penghuni syurga adalah raja-raja yang aman dan tenteram, serta berada dalam berbagai kesenangan. Mereka diberi kenikmatan dengan segala apa yang mereka inginkan. Setiap hari mereka berada di pelataran Arasy dan memandang wajah Allah Yang Maha Mulia. Mereka pun memperoleh pandangan Allah tanpa memandang-Nya. Bersama-Nya mereka tidak berpaling kepada kenikmatan-kenikmatan syurga yang lain. Mereka kekal dalam berbagai kenikmatan ini yang datang terus-menerus dan tidak pernah hilang.
Abu Hurairah meriwayatkan hadith Rasulullah s.a.w. bahawa nanti ada seruan:
“Wahai penghuni syurga, kini kamu sihat tanpa didatangi penyakit untuk selama-lamanya. Kini kamu hidup tanpa disentuh kematian untuk selama-lamanya. Kini kamu menjadi muda tanpa ditimpa ketuaan untuk selama- lamanya.”
Inilah makna firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan mereka diseru: “Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”
(Al-A’raf 7:43)
Kalau anda ingin mengenal sifat-sifat syurga, bacalah Al- Quran. Sebab, tidak ada lagi penjelasan di balik penjelasan Allah. Bacalah firman-Nya:
“Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua Syurga,”
(Ar-Rahman 55:46)
Sehingga akhir surah ar-Rahman. Baca pula surah al-Waqi’ah dan surah-surah yang lain. Jika anda ingin mengetahui perincian sifat-sifatnya dari hadith-hadith, kini perhatikanlah sebahagiannya yang saya kemukakan.
Tentang firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua Syurga,”
Baginda bersabda: “Iaitu dua syurga dari perak yang aku harapkan beserta isinya dan dua syurga dari emas yang aku harapkan beserta isinya. Tidaklah suatu kaum memandang Tuhan mereka melainkan dari balik tirai kemahabesaran wajah-Nya di dalam syurga ‘Adn, Kemudian aku memandang pintu-pintu syurga yang nampak banyak sekali menurut banyaknya pokok-pokok ketaatan, sebagaimana pintu-pintu neraka jumlahnya sebanyak pokok-pokok kemaksiatan.”
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa menafkahkan hartanya kepada pasangan suami isteri di jalan Allah, ia dipanggil dari semua pintu syurga. Syurga itu memiliki lapan pintu. Orang yang ahli solat dipanggil dari pintu solat. Orang yang ahli puasa dipanggil dari pintu puasa. Orang yang ahli sedekah dipanggil dari pintu sedekah. Orang yang ahli jihad dipanggil dari pintu jihad.”
Abu Bakar RA bertanya: “Demi Allah, apakah penting seseorang mengetahui dari pintu mana ia dipanggil? Apakah ada orang yang dipanggil dari semua pintu itu?”
“Ya,” jawab Rasul SAW.
“Kalau begitu, aku berharap termasuk dari mereka,” kata Abu Bakar.
‘Asim ibn Dhumrah RA meriwayatkan hadith dari Ali ibn Ab Talib RA bahawa dia pernah menyebut neraka. Lalu gementarlah badannya. Kemudian Ali k.w. berkata: “Allah SWT berfirman yang bermaksud, ‘Orang-orang yang patuh kepada Tuhannya dihalau ke dalam syurga dalam beberapa rombongan,’ sehingga ketika mereka sampai di salah satu pintunya, mereka menemui di sisinya ada sebatang pokok yang dari pangkalnya keluar dua mata air yang mengalir.”
Mereka menuju salah satu mata air itu, sebagaimana yang diperintahkan, lalu meminumnya hingga hilanglah penyakit yang ada dalam perut mereka. Kemudian mereka menuju mata air yang lain hingga mereka menjadi suci. Lalu nampak pada diri mereka kegembiraan. Setelah itu, rambut mereka tidak berubah dan kepala mereka tidak lusuh untuk selama-lamanya seakan-akan diminyaki. Kemudian mereka sampai di syurga. Firman Allah SWT ertinya:
“Penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:” Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya” (mereka pun masuk) -”
(Az-Zumar 39: 73)
Kemudian datanglah pelayan-pelayan mengelilingi mereka, sebagaimana pelayan-pelayan penghuni dunia mengelilingi kekasihnya. Mereka mengatakan kepadanya: “Allah menyampaikan khabar gembira dan menyediakan untukmu kemuliaan ini dan itu.”
Salah seorang pelayan di antara mereka pergi menemui bidadari-bidadari yang menjadi isteri orang itu. Dia berkata: “Si Fulan yang pernah dipanggil di dunia telah datang.”
“Engkau telah melihatnya?” tanya bidadari.
“Aku telah melihatnya,” jawab pelayan.
“Aku pun telah melihatnya,” kata bidadari. “Ia adalah simpananku.”
Lantas kebahagiaan meliputi dirinya hingga dia menuju ke ambang pintu syurga.
Ketika sampai ke tempat tinggalnya, dia memandang dasar bangunannya. Tiba-tiba tompokan besar mutiara yang di atasnya ada istana merah, hijau, kuning dan pelbagai warna. Kemudian dia mengangkat kepalanya, memandang atapnya, tiba-tiba nampak seperti kilat. Jika Allah SWT tidak memberinya kekuasaan, nescaya dia jatuh sakit kerana sangat silau. Lalu dia pun menundukkan kepalanya. Tiba-tiba datang pasangan-pasangannya. Piala-piala diletakkan, bantal-bantal disusun dan permadani dihamparkan.
Dia bersandar, lalu mengucapkan syukur: “Segala puji bagi Allah Yang telah menunjuk kami ke sini. Tidaklah kami akan mendapat petunjuk seandainya Allah tidak menunjuk kepada kami.”
Kemudian ada seruan: “Kamu hidup, tidak akan mati untuk selama-lamanya. Kamu tinggal di situ, tidak akan berpindah untuk selama-lamanya. Kamu sihat, tidak akan sakit untuk selama-lamanya.“
Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW:
“Pada hari kiamat aku mendatangi pintu syurga. Aku membuka pintu itu, lalu penjaganya bertanya, ‘Siapakah anda?” Jawabku, Muhammad.’ Kata malaikat penjaga itu, ‘Oleh kerana anda, saya diperintahkan agar tidak membukakan pintu untuk siapa pun sebelum anda.”
Kemudian, perhatikanlah bilik-bilik syurga dan tahapnya yang berlainan. Akhirat itu merupakan darjat yang paling tinggi dan paling utama. Sebagaimana di antara manusia ada perbezaan yang jelas dalam ketaatan lahiriah dan akhlak-akhlak batin yang terpuji, demikian pula apa yang mereka lalui memiliki perbezaan-perbezaan yang jelas. Jika anda menginginkan darjat tertinggi, berusahalah agar tidak seorang pun mendahului anda dalam ketaatan kepada Allah SWT. Allah telah memerintahkan berlumba-lumba dan bersaing dalam hal itu.
Allah SWT berfirman yang bererti:
“Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi”
(Al-Hadid 57: 21)
Allah SWT berfirman yang ertinya:
“Dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan;”
(Al-Muthaffifin 83:26)
Namun anehnya, kalau kerabat atau tetangga anda memiliki kelebihan satu dirham atau rumahnya lebih bagus, sempitlah dada anda dan susahlah hidup anda kerana iri hati. Oleh kerana itu, perbaikilah keadaan anda agar dapat tinggal di syurga. Janganlah anda berasa tenang terhadap orang lain yang mendahului anda dalam kesabaran dan kelembutan. Janganlah anda membandingkannya dengan dunia dan perhiasannya.
Abu Sa’id al-Khudri berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Para penghuni syurga memerhatikan penghuni bilik-bilik yang ada di atas mereka, sebagaimana mereka memerhatikan bintang-bintang yang berjalan dari timur ke barat, kerana perbezaan keutamaan di antara mereka.”
“Ya Rasulullah, itukah tempat tinggal para Nabi yang tidak dapat diraih oleh selain mereka?” tanya para sahabat.
“Tentu,” jawab Nabi SAW.
“Demi Zat Yang diriku ada dalam kekuasaan-Nya, orang-orang yang beriman kepada Allah, dan para penghuni darjat tertinggi melihat mereka dari bawah, sebagaimana mereka melihat bintang-bintang yang terbit di salah satu ufuk langit.”
Jabir meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW berkata kepada dirinya dan para sahabat yang lain:
“Mahukah aku beritahu kepada kamu bilik-bilik syurga?”
“Tentu, ya Rasulullah; demi bapa kami, kamu dan ibu kami,” jawab para sahabat.
“Di dalam syurga ada bilik-bilik dari berbagai jenis mutiara. Bahagian luarnya boleh dilihat dengan jelas dari bahagian dalamnya, dan demikian sebaliknya. Di dalamnya terdapat kenikmatan, kelazatan dan kebahagiaan yang tidak dilihat mata; tidak terdengar telinga dan tidak terfikir oleh hati manusia.” kata Nabi SAW.
Jabir lantas bertanya: “Ya Rasulullah, untuk siapakah bilik-bilik itu?”
“Untuk orang yang menyebarkan salam, memberi makan orang miskin, melazimkan puasa dan mendirikan solat malam ketika orang lain terlelap tidur,” jawab Nabi SAW.
Sahabat lain bertanya: “Ya Rasulullah, siapakah yang mampu untuk itu?”
“Umatku mampu melakukan itu,” jawab Nabi.
“Akan aku beritahu kepada kamu hal itu, iaitu orang yang bertemu dengan saudaranya, lalu memberinya salam, bererti dia telah menyebarkan salam; orang yang memberi kerabat dan keluarganya makan sehingga membuat mereka kenyang, bererti dia telah memberi makan; orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan dan tiga hari setiap bulan, bererti dia telah melazimkan puasa; orang yang mendirikan solat Isyak pada akhir waktunya dan solat Subuh berjemaah, bererti dia dihitung telah solat malam; sementara orang-orang yang tidur adalah orang-orang Yahudi, Nasrani dan Majusi.”
Rasulullah SAW pernah ditanya tentang firman Allah SWT yang ertinya:
“Mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam “Syurga Adn””
(At-Taubah 9:72)
Baginda menjawab: “Iaitu taman-taman dari mutiara. Di setiap istana terdapat tujuh puluh rumah dari yakut (rubi) merah. Di dalam setiap rumah terdapat tujuh puluh ruangan dari zamrud hijau. Di dalam setiap ruangan terdapat bangku. Di atas setiap bangku terdapat tujuh puluh tilam dengan berbagai warna. Di atas setiap tilam terdapat seorang isteri, bidadari. Di setiap ruangan terdapat tujuh puluh hidangan. Di atas setiap hidangan terdapat tujuh puluh jenis makanan. Di setiap ruangan terdapat tujuh puluh seorang pelayan. Setiap pagi diberikan kepada orang mukmin kekuatan untuk mendatangi itu semua.”
Sumber: Mendidik Hati Mendekati llahi, Imam Al-Ghazali
Leave a Reply