Oleh: mymuslimin.com
Semakin hari semakin ramai yang mudah putus asa, mengalami kemurungan, kesedihan melampau dan natijahnya, hilang semangat untuk meneruskan kehidupan. Sebenarnya Islam itu sarat dengan motivasi tentang kehidupan dan tidak sesekali mengesyorkan agar umatnya bermuram, melayan perasaan, berfikir-fikir tentang perkara yang tidak nyata, dan meneka-neka tentang masa hadapan.
Islam itu memberikan manusia keyakinan tentang kehidupan, kematian, serta kehidupan seterusnya di alam abadi berpandukan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah, dan semua ini memberi kedamaian jiwa kepada umatnya kerana segala yang dijanjikan Allah SWT itu pasti.
Ikutilah antara 8 cara Islam menangani kemurungan di dunia yang fana ini.
1. Percaya Dengan Pertolongan Allah SWT
Allah SWT itu Maha Penolong, Tuhan yang memenuhi segala keperluan dan permintaan hambanya. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)”. (Ali-‘Imran 3: 173) Sebagai hamba-Nya, kita tidak perlu berasa murung dengan merasakan tiada siapa-siapa yang membantu ketika kita berada di dalam kesusahan kerana sesungguhnya Allah SWT itu berada dekat dengan hamba-Nya dan Dialah tempat hamba-Nya meminta segala-gala. Berdoalah kepada Allah SWT seperti yang disarankan di dalam firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah (Muhammad), ‘Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah tempat meminta segala sesuatu’.” (Al-Ikhlas 112:1-2). Segala musibah dan ujian yang menimpa diri, ada kemudahan dan kelapangan yang diturunkan oleh Allah yang Maha Kuasa seperti yang dijelaskan dalam Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan”. (Al-Insyirah 94:5). Elakkan bermurung diri dan percayalah kepada pertolongan Allah SWT yang sentiasa ada.
2. Marilah Berhusnuzon
Husnuzon, iaitu berbaik sangka kepada orang lain, atau positive thinking ini adalah perbuatan yang dituntut di dalam Islam, kerana kesan husnozon ini lebih baik berbanding dengan Suudzon, iaitu berprasangka buruk. Elakkan berprasangka buruk dengan manusia, dan jangan sesekali berprasangka buruk terhadap Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT berfirman: Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya ketika dia mengingati-Ku.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) Dan, berburuk sangka itu membawa fikiran kita meliar dan melayani bisikan syaitan yang sentiasa ingin menyesatkan manusia. Amalkan husnuzon dan lihatlah kebaikan yang akan hadir di dalam diri kita kerana sifat ini.
3. Berpada-pada Melayan Emosi
Jangan mudah melayan emosi secara berlebihan, terutamanya dalam hal berkait dengan putus asa. Mereka yang putus asa seolah-olah menidakkan kuasa dan pertolongan Allah SWT yang amat luas dan melimpah ruah. Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran yang maksudnya: “Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus dari rahmat Allah melainkan orang orang yang kufur” (Yusuf 12: 87). Putus asa tidak akan membawa seseorang itu keluar daripada kekusutan yang dialami. Sebaliknya umat Islam itu dituntut untuk sering berdoa kepada Allah SWT sama ada ketika dia di dalam kesenangan atau kepayahan. Doa itu juga dikira ibadah dan pohonlah segalanya dari Dia yang Maha Kuasa. “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu.” (Al-Baqarah 2: 186).
4. Teguhkan Sifat Sabar
Islam begitu menuntut umatnya supaya bersabar. Bukan semua orang dilahirkan dengan kesabaran dan tentu sekali sifat sabar ini perlu dilatih di dalam diri ketika berdepan dengan pelbagai masalah dan situasi kehidupan. Begitu banyak ganjaran yang dijanjikan Allah SWT kepada mereka yang bersabar seperti yang dijelaskan dalam Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan berikanlah berita gembira kepada orang orang yang sabar, yaitu yang ketika ditimpa musibah mereka mengucapkan : sungguh kita semua ini milik Allah dan sungguh kepada Nya lah kita kembali”(Al Baqarah 2: 155-156). Sebaliknya, sifat marah merupakan sifat jelik yang begitu digemari syaitan. Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang gagah perkasa tidak diukur dengan kemenangan dalam pertarungan, tetapi kekuatan yang sebenar ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) Teguhkan kesabaran dalam menempuh apa jua rintangan hidup, insyaAllah adanya jalan keluar daripada kesulitan yang dihadapi.
5. Bertawakkallah, Berserah Hanya Kepada Allah SWT
Jangan sesekali murung jika apa yang dihajati dan diusahakan tidak berhasil kerana sebagai seorang mukmin, kita seharusnya faham dan jelas dengan konsep tawakkal, iaitu menyerahkan segala sesuatu atau menyerahkan hasil usaha kita hanya kepada Allah setelah kita berusaha dan berdoa sedaya mungkin. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud: “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”. (At Taubah 9:51). Apabila sesuatu berlaku, berlapang dada dan bersangka baik dengan Allah SWT. Tidak semestinya perkara yang kita hajati itu bagus untuk kita, dan sesungguhnya kita perlu yakin bahawa perancangan Allah SWT itulah yang terbaik untuk diri kita.
6. Latihlah Diri Untuk Banyak Bersyukur
Bersyukur membawa kita dekat kepada Allah SWT dan perasaan syukur itu mendamaikan hati. Apabila kita berterima kasih dengan setiap pemberian dan tidak merasakan apa yang diterima itu ada kekurangan, kita akan menjadi mereka yang berpuas hati dan bahagia. Mereka yang mudah murung sering merasakan mereka memperoleh kurang dalam semua segi, dan kemudiannya mempersoalkan rezeki sedangkan jika dihitung rahmat Allah SWT itu, tentu sekali tidak terjangkau fikiran. Jadilah mereka yang sering bersyukur dan lihatlah perubahan yang akan berlaku di dalam kehidupanmu seperti yang dijelaskan dalam Firman Allah SWT yang bermaksud, “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”. (Ibrahim 9:7).
7. Beriman Kepada Allah SWT dan Hari Akhirat
Mereka yang berusaha untuk menguatkan iman dengan beramal soleh, bertaqwa dan sering mengingati Allah SWT tentulah mereka yang yakin dengan janji-janji Allah SWT tentang kehidupan yang kekal selepas alam dunia. Tiada sebab untuk murung di dunia yang dibebankan dengan kepalsuan sedangkan Allah SWT telah menjanjikan sesuatu yang lebih baik seperti dinyatakan di dalam Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.”(An-Nahl 16:97). Sebaliknya, jalankanlah tanggungjawab kita sebagai seorang mukmin, agar usaha kita itu akan diberi ganjaran yang sebaik-baiknya di akhirat kelak.
8. Jangan Mudah Mengalah
Bersemangatlah untuk hidup kerana hidup itu sendiri merupakan rahmat terbesar yang Allah SWT berikan kepada insan. Renungkanlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bersemangatlah untuk memperoleh apa yang bermanfaat bagimu dan mohonlah pertolongan kepada Allah dan jangan sekali kali kamu merasa tidak berdaya”(HR Abu Hurairah). Dan fahamilah bahawa dunia ini merupakan pentas ujian kepada manusia. Ada mereka yang diuji dengan kesenangan dan ada yang diuji dengan kepayahan serta kesengsaraan. Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Kahfi yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.” (Al-Kahfi 18:7) Di dalam surah Al-Ankabut, Allah berfirman lagi yang maksudnya: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” (Al-Ankabut 29:2) Yakinlah bahawa segala apa yang kita hadapi di dunia ini adalah ujian dari Allah SWT dan sekiranya kita bertaqwa dan bertawakkal kepada-Nya, insyaAllah kita akan diberi ganjaran yang berlipat ganda di hari akhirat kelak.
Kesimpulannya, umat Islam perlu percaya dan yakin dengan kuasa Allah SWT yang mutlak, lantas tiada sebab untuk umat Islam berfikiran negatif dan bermurung diri. Rezeki, jodoh, ajal, maut, semuanya telah ditentukan Allah SWT. Sebagai manusia, fikirkanlah cara bagaimana kita dapat melunaskan amal makruf, nahi mungkar supaya kesemua kita dapat sampai dengan selamatnya ke syurga yang dijanjikan yang Maha Esa. InsyaAllah.
Leave a Reply