Diriwayatkan daripada An-Nawwas bin Sam’an RA, beliau berkata, ertinya:
“Rasulullah SAW telah menyebutkan perihal dajal pada suatu pagi, lalu Baginda merendahkan (mencelanya) dan meninggikan (memperingatkan tentang besarnya fitnahnya) padanya, sehingga kami menyangka bahawa dia berada di kebun kurma.
Ketika kami pergi kepada Baginda SAW, Baginda mengetahui perkara tersebut (kerisauan kepada dajal) pada keadaan kami. Baginda SAW bersabda, ‘Apakah keadaan kalian?’ Kami menjawab, ‘Wahai Rasulullah, tuan telah menyebutkan tentang dajal pada pagi ini, lalu tuan meninggikan dan merendahkan padanya sehingga kami menyangka dia berada di kebun kurma.’
Lalu Baginda SAW bersabda, ‘Bukan dajal yang saya takuti ke atas kalian. Jika dia keluar dalam keadaan saya berada dalam kalangan kalian, maka saya ialah penghujah dengannya di hadapan kalian. Jika ia keluar sedangkan saya tidak berada dalam kalangan kalian, maka seseorang ialah penghujah kepada dirinya. Sedangkan Allah SWT pula ialah pembantu kepada setiap Muslim. Sesungguhnya dia ialah pemuda, sangat keriting rambutnya, satu matanya tertonjol (buta) seolah-olah saya menyamakannya dengan Abdul ‘Uzza bin Qathan. Sesiapa dalam kalangan kalian yang mendapatinya, maka bacalah ke atasnya ayat-ayat permulaan surah al-Kahf. Sesungguhnya dia akan keluar dari suatu jalan di antara Syam dengan Iraq, lalu melakukan kerosakan di kanan dan kirinya. Wahai hamba-hamba Allah, tetaplah (dalam agama Islam).’
Kami berkata, ‘Wahai Rasulullah, berapa lamakah pendudukannya di bumi?’ Baginda SAW menjawab, ’40 hari, satu hari adalah seperti setahun, satu hari adalah seperti sebulan, satu hari adalah seperti satu Jumaat (seminggu), dan hari-hari lain adalah seperti hari-hari kalian.’ Kami berkata, ‘Wahai Rasulullah, hari yang sama seperti setahun, adakah memadai bagi kami mengerjakan solat sehari?’ Baginda bersabda, ‘Tidak tetapi tetapkanlah baginya kadarnya.’
Kami berkata, ‘Wahai Rasulullah, bagaimanakah kecepatannya di bumi?’ Baginda bersabda, ‘la seperti hujan yang disusuli angin. Dia datang kepada suatu kaum dan menyeru mereka, lalu mereka beriman dengannya dan menyahut seruannya. Maka, dia memerintahkan langit (supaya menurunkan hujan), maka ia menurunkan hujan, (serta memerintahkan) bumi (supaya mengeluarkan tanaman), maka ia menumbuhkan tumbuhan. Binatang-binatang ternakan mereka (yang keluar pada waktu pagi) pulang dalam keadaan mempunyai bonggol yang paling tinggi (kiasan kepada lemak yang bertambah banyak), kantung susu yang sangat penuh dan rusuk yang membesar. Kemudian, dia datang kepada suatu kaum lain, lalu menyeru mereka namun mereka menolak seruannya dan dia pun pergi meninggalkan mereka.
Lantas mereka ditimpa kemarau tanpa ada suatu harta di sisi mereka. Dia juga melalui sebuah kawasan yang kering kontang dan berkata kepadanya, ‘Keluarkanlah simpanan-simpananmu.’ Maka keluarlah simpanan-simpanannya seperti pohon-pohon kurma yang terbaik. Kemudian dia menyeru seorang pemuda yang gagah, lantas melibasnya dengan pedang dan memotongnya dua bahagian (lalu terpisah) sejauh jarak lontaran suatu sasaran.
Setelah itu, dia menyerunya dan dia pun datang dalam keadaan wajah yang bercahaya sambil ketawa. Ketika lelaki itu berada dalam keadaan sedemikian, tiba-tiba Allah SWT mengutuskan al-Masih bin Maryam (Nabi Isa AS). Baginda turun di menara putih di selatan Damsyik, memakai pakaian berlapis yang dicelup (dengan waras dan za’faran), sambil meletakkan kedua-dua tapak tangannya di atas sayap-sayap dua malaikat.
Apabila baginda menundukkan kepalanya, air jatuh meleleh. Apabila baginda mengangkatkan kepalanya pula, air seperti batu permata menitis daripadanya. Tiada orang kafir yang mencium bau tubuh badannya melainkan akan mati, sedangkan nafasnya boleh dicium sejauh mata memandang. Lantas baginda mencari dajal sehingga mendapatinya di pintu Ludd lalu membunuhnya.
Kemudian, suatu kaum yang dipelihara oleh Allah SWT daripada dajal datang kepada Nabi Isa, dan baginda pun menyapu muka mereka dan memberitahu mereka tentang kedudukan mereka di dalam syurga. Ketika baginda berada dalam keadaan tersebut, tiba-tiba Allah SWT mewahyukan kepada Nabi Isa AS, ‘Sesungguhnya Aku telah mengeluarkan para hamba-Ku di mana seorang pun tidak mampu membunuh mereka. Maka, lindungilah para hamba-Ku yang lain ke sebuah bukit.’
Allah pun mengeluarkan Yakjuj dan Makjuj dalam keadaan mereka turun dari setiap tempat yang tinggi. Kumpulan terawal mereka melalui tasik Tiberia dan meminum kesemua airnya. Manakala kumpulan mereka yang datang kemudian melaluinya dan berkata, ‘Sesungguhnya tempat ini pernah dipenuhi air.’ – Dalam riwayat di sisinya dan al-Tirmizi terdapat penambahan: Selepas itu, mereka berjalan sehingga tiba di bukit al-Khamar, iaitu sebuah bukit di Baitulmuqaddis, lalu berkata, ‘Sesungguhnya kita telah membunuh makhluk di bumi. Marilah kita membunuh makhluk di langit pula.’
Lantas mereka membaling tombak-tombak mereka ke langit dan Allah SWT pun mengembalikan tombak-tombak itu kepada mereka dalam keadaan sudah berlumuran darah. – Nabi Allah Isa AS dan para pengikutnya bersembunyi sehingga nilai kepala lembu jantan ketika itu adalah lebih baik bagi salah seorang mereka daripada 100 dinar kepunyaan salah seorang kalian pada hari ini (gambaran keadaan yang sukar). Nabi Isa AS dan para pengikutnya berdoa kepada Allah SWT, lalu Allah SWT menghantar kepada mereka sejenis ulat yang menyerang tengkuk mereka. Mereka (Yakjuj dan Makjuj) pun binasa seperti matinya suatu jiwa. Selepas itu, Nabi Isa AS dan para pengikutnya turun ke bawah dan mereka tidak mendapati suatu jengkal pun di atas tanah melainkan telah dipenuhi daging dan bau busuk mereka.
Maka, Nabi Allah Isa AS dan para pengikutnya berdoa lagi kepada Allah SWT, lalu Allah SWT mengutuskan sekumpulan burung yang tengkuknya seperti tengkuk unta, lalu membawa mereka dan membuangnya ke tempat yang dikehendaki oleh Allah. – Dalam riwayat al-Tirmizi: Lantas burung tersebut membawa dan mencampakkan mereka di al-Mahbil (satu kawasan di Baitulmuqaddis), manakala orang-orang Muslim membakar panah-panah, tombak-tombak dan bekas-bekas anak panah mereka selama tujuh tahun. Kemudian, Allah SWT menurunkan hujan tanpa terhalang oleh tanah dan bulu, dan mencuci bumi sehingga menyebabkannya menjadi seperti cermin (kiasan kepada bersihnya bumi).
Selepas itu, dikatakan kepadanya, “Tumbuhkanlah buah-buahanmu dan kembalikanlah kesuburanmu.’ Pada hari itu, sekumpulan manusia dapat memakan sebiji buah delima, – dalam riwayat Ibnu Majah terdapat dan mereka dapat penambahan: Lalu dapat mengenyangkan mereka berlindung dengan kulitnya. Begitu juga susu yang diberkati, sehingga seekor unta yang mempunyai susu dapat mencukupkan sekumpulan besar manusia, seekor lembu yang mempunyai susu dapat mencukupkan satu kabilah manusia dan seekor kambing yang mempunyai susu dapat mencukupkan satu kerabat manusia. Ketika mereka berada dalam keadaan sedemikian, Allah mengutuskan angin yang lembut, lantas melalui di bawah ketiak-ketiak mereka dan mematikan roh setiap Mukmin dan Muslim. Tinggallah orang-orang yang jahat yang melakukan persetubuhan di muka bumi seperti persetubuhan keldai (secara terang-terangan). Setelah itu, hari kiamat berlaku ke atas mereka.””
(Riwayat Muslim, al-Tirmizi dan Ibnu Majah-lafaz Muslim. Menurut al-Tirmizi, hadis ini hasan shahih gharib. Tahkik Sunan Ibni Majah: Hadis ini sahih.)
Pengajaran
- Perkhabaran tentang peristiwa akhir zaman dan kiamat termasuk daripada perkara ghaibiyyat yang diwahyukan oleh Allah ke atas Nabi Muhammad.
- Beriman dengan hari kiamat merupakan salah satu rukun iman dan banyak ditekankan oleh Baginda dalam hadisnya. Dajal ialah ujian terbesar ke atas manusia dan berita kedatangannya telah dikhabarkan sejak pengutusan para nabi terdahulu kepada umat masing-masing.
- Tanda-tanda besar kiamat yang akan berlaku menandakan permulaan kehancuran sistem peredaran alam.
Sumber: Hadis Qudsi, Menelusuri Hikmah di Sebalik Firman Allah SWT, Muhammad Yusuf A Kadir
Leave a Reply